Pesta Demokrasi Biarlah Meriah
Kata Juwairiya Zulkifli yang kalah kepada Azmin Ali di Hulu Kelang pada PRN Selangor 12 Ogos lalu, keputusan itu tidak mencerminkan kehendak sebenar rakyat kawasan itu. Mengapa? Sebab 22,125 orang atau 31% tidak keluar mengundi, kata calon Pakatan Harapan itu.
DUN Hulu Kelang merekodkan 71,702 pengundi. Bagaimanapun hanya 49,577 orang atau 69% keluar mengundi. Ertinya jumlah yang tidak mengundi yang dikatakan Juwairiya sememangnya besar. Beliau kalah dengan beza 1,617 undi, walaupun tipis kalah tetap kalah.
Lalu mungkin beliau boleh dituduh sour grape. Mungkin juga beliau boleh ditanya jika 22,123 yang tidak mengundi itu keluar mengundi adakah mereka akan undi beliau? Mungkin ya, mungkin tidak namun itu bukan isunya.
Apa yang beliau kata bahawa keputusan tidak mencerminkan kehendak rakyat ada benarnya dan senada dengan apa yang kerap dikatakan di luar negara khususnya dalam kalangan pejuang demokrasi dan mereka yang memegang pendirian mengundi mesti diwajibkan. Ertinya pihak pro-compulsory voting.
Menurut mereka keputusan yang diperolehi menerusi proses demokrasi yakni pilihan raya di sesebuah negara akan lebih legitimate atau sah apabila jumlah pengundi besar. Peratusan mengundi yang besar akan menunjukkan keputusan dibuat secara menyeluruh. Reflective of the wishes of the people dalam sistem satu orang satu undi.
Negara demokrasi menyifatkan ambil bahagian dalam proses pilihan raya satu hak kewarganegaraan dan banyak negara berpegang kepada prinsip mengundi adalah tugas dan tanggungjawab rakyatnya. Malaysia pun begitu tetapi berbeza. Bab Malaysia sebentar lagi.
Di negara yang melihat rakyatnya bertanggungjawab mengundi, proses mengundi dijadikan sesuatu yang wajib dan lengkap dengan hukuman kepada yang ingkar. Ada negara yang mewajibkan rakyatnya mengundi tetapi tidak melaksanakannya.
Bagi yang melaksanakannya, Australia dan Singapura misalnya, rakyat yang tidak mengundi akan didenda tetapi kadar yang agak kecil. Ringkasnya denda mampu bayar. Namun di Singapura di samping denda, nama orang yang tidak mengundi akan dikeluarkan daripada senarai pengundi. Sekilas pandang itu bermaksud mereka hilang hak mengundi buat selamanya. Tetapi nama mereka akan dimasukkan semula dalam senarai jika mereka memohon untuk menjadi pengundi.
Di Malaysia seperti dikatakan tadi kita sering diberitahu menerusi slogan dan hebahan media bahawa mengundi adalah tanggungjawab anda, tetapi kita bebas sama ada mahu atau tidak menunaikan tanggungjawab itu. Nak pun boleh, tak nak pun boleh. Maka terjadilah apa yang terjadi di Hulu Kelang 12 Ogos lalu. Malah peratusan mengundi pada PRU15 dan juga enam PRN tempoh hari juga kecil.
Lantas persoalan adakah tiba masanya negara mewajibkan mengundi? Siap dengan hukuman kepada sesiapa yang tidak keluar mengundi?
Ini untuk memastikan keputusan pilihan raya benar-benar melambangkan suara rakyat keseluruhannya menerusi peratusan penglibatan yang tinggi. Tetapi adakah rakyat sudah bersedia? Boleh terima undang-undang sedemikian? Mungkin ada eloknya pakar perundangan mengkaji setiap aspek dan menyatakan sama ada itu bagus atau tidak untuk Malaysia. Kajian dan perbincangan mesti disertai Suruhanjaya Pilihan Raya dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil dan semua stateholder.
Mesti juga dipastikan proses mengundi dipermudahkan jika mahu pengundian diwajibkan, umpamanya proses undi awal dan undi luar negara serta mengkaji sama ada pusat mengundi perlu ditambah atau tidak. Paling penting tidak boleh berlaku penipuan. Kaedah pengiraan undi setakat ini memuaskan tetapi pasti boleh ditambah baik.
Sebelum itu jika Malaysia berhasrat menguatkuasakan pengundian mandatori, mesti dikaji terlebih dahulu mengapa ramai pengundi tidak minat keluar mengundi terutamanya seperti dikatakan tadi pada PRU15 dan enam PRN tempoh hari. Tentu ada sebabnya.
Penting demokrasi terus subur. Hak rakyat terjamin dan suara rakyat dihargai. Teramat penting apa yang diputuskan rakyat dihargai, dihormati, dan jangan dinodai. Apa gunanya ada pilihan raya jika keputusan rakyat boleh dikotak-katik.
Kerajaan pilihan rakyat boleh ditumbangkan dengan permainan sang politikus, lantas kerajaan yang menggantikan pilihan rakyat masuk ikut pintu belakang atau tebuk atap. Jangan ada lagi rampasan kuasa ala Langkah Sheraton. Jika mahu juga tak payah lah pilihan raya. Buang masa dan duit sahaja. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2023/08/pesta-demokrasi-biarlah-meriah.html