Perlukah Sujud Tilawah Apabila Mendengar Ayat Sajdah Dibaca Melalui Radio Atau Televisyen
Soalan:
Saya sering memainkan bacaan al-Quran dari radio di dalam kereta, komputer riba dan mendengar di televisyen. Kadang-kadang saya terdengar ayat-ayat sajadah dibacakan. Soalan saya, adakah saya perlu untuk sujud tilawah apabila saya mendengarnya?
Jawapan:
Ibadah sujud tilawah disyariatkan bagi sesiapa yang membaca atau mendengar ayat-ayat sajadah. Ini berdasarkan dalil daripada al-Quran dan hadith, antaranya ialah:
Firman Allah SWT:
قُلْ آمِنُوا بِهِ أَوْ لَا تُؤْمِنُوا ۚ إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِن قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا
Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): “Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk).” (Surah al-Israa’: 107)
Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar RA bahawa beliau RA berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَ سَلَّمَ يَقْرَأ عَلَيْنَا السُورَةَ فِيهَا السَجْدَةُ فَيَسْجُدَ وَ نَسْجُد
“Pada satu ketika, Rasulullah SAW membacakan kepada kami satu surah yang mempunyai ayat Sajdah, maka Baginda SAW pun sujud lalu kami pun ikut sujud juga.” (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:556)
Para ulama Syafi’iyyah dan Hanabilah berpendapat bahawa sujud tilawah selepas daripada membaca atau mendengar ayat tilawah ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut). (Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, 24:213)
Ia bukanlah sesuatu ibadah yang wajib kerana Nabi SAW pernah meninggalkan sujud tilawah setelah mendengar surah Surah al-Najm yang mempunyai ayat sajdah di dalamnya. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan Zaid Ibn Thabit RA, bahawa beliau RA berkata:
قَرَأْتُ عَلَى النَبِيّ وَ النَجْم فَلَم يَسْجُد فِيهَا. وَ فِي رِوَايَةٍ : فَلَمْ يَسْجُدْ منَّا أَحَدٌ
“Aku (Zaid Ibn Thabit RA) membacakan kepada Rasulullah SAW Surah al-Najm (yang mempunyai ayat sajdah di dalamnya), dan Baginda SAW tidak sujud padanya. Dalam riwayat yang lain pula: Maka kami pun ikut tidak sujud juga.” (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:554)
Manakala para ulama’ Hanafiyyah mengatakan bahawa sujud tilawah dan apa yang menggantikannya seperti memberi isyarat padanya adalah wajib. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW, bahawa Baginda SAW bersabda:
السَجْدَةُ عَلَى مَن سَمِعَهَا
“Hendaklah sujud ke atas sesiapa yang mendengarnya (iaitu ayat sajdah).”
Mereka mentafsirkan maksud ‘عَلَى’ membawa erti wajib. (Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, 24:214)
Juga, mereka bersandarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا قَرَأَ ابْنُ آدَمَ السَجْدَةَ فَسَجَدَ اعْتَزَلَ الشَيْطَانُ يَبْكِي يَقُولُ: يَا وَيْلَه أمِرَ ابْنُ آدَمَ بِالسُجُودِ فَسَجَدَ فَلَهُ الجَنَّة وَ أُمِرْتُ بالسُجُودِ فَأَبَيْتُ فَلِي الناَّر
Jika seorang anak Adam membaca ayat al-Sajdah kemudian dia sujud, maka syaitan akan melarikan diri dan menangis sambil berkata: “Celakalah aku, anak Adam disuruh untuk sujud dan dia sujud dengan patuh, dan baginya Syurga. Tetapi aku diperintahkan untuk sujud dan aku enggan untuk sujud,maka bagi aku Neraka.” (Rujuk Sahih Muslim, 1:87)
Berdasarkan dalil di atas, terdapat tiga perkara di dalam ayat-ayat sajadah yang menyebabkan para ulama’ Hanafiyyah mewajibkan sujud tilawah, iaitu:
Kata perintah yang jelas menyuruh umat Islam supaya sujud kepada Allah SWT.Celaan terhadap golongan-golongan kafir yang enggan sujud kepada Allah SWT.Perbuatan para nabi dan golongan beriman yang melaksanakan perintah Allah SWT, dan mengikut perbuatan para nabi yang melaksanakan perintah Allah SWT merupakan satu kewajipan. (Rujuk Fatawa Syar’iyyah Wa Buhuth Islamiyyah, 1:288)
Walau bagaimanapun, kewajipan itu tidak wajib dengan segera setelah mendengar atau membaca ayat sajdah tersebut. Sebaliknya, diharuskan untuk menangguhnya ke waktu yang lain, jika terdapat kesukaran seperti tempat tidak sesuai atau berada dalam keadaan hadath dan sebagainya. (Rujuk Fatawa Syar’iyyah Wa Buhuth Islamiyyah, 1:288)
Adapun berkaitan keperluan sujud tilawah apabila mendengar ayat-ayat sajadah dibaca melalui corong radio, komputer riba, televisyen dan seumpamanya, Syeikh Hasanain Makhluf RA menyatakan dalam fatwanya: “Apa yang kami ingin jelaskan berkaitan itu, bahawa mendengar ayat sajdah daripada radio dan televisyen juga sama seperti mendengar bacaan daripada orang yang membacanya, walaupun dalam kedudukan yang jauh dan melalui alat pembesar suara. Tidak ada beza antara perkara tersebut dengan mendengar bacaan daripada orang yang berada di belakang dinding, penghadang daripada kayu atau kaca, atau daripada jarak yang jauh menggunakan pembesar suara. Semua perkara tersebut hendaklah untuk sujud apabila mendengar bacaannya daripada pembaca (berdasarkan pandangan ulama’ Hanafiyyah), begitu juga melalui radio dan televisyen.” (Rujuk Fatawa Syar’iyyah Wa Buhuth Islamiyyah: 1:289)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk sujud tilawah bagi sesiapa yang mendengar bacaan ayat-ayat sajadah melalui corong radio, televisyen dan lain-lain berdasarkan pendapat jumhur ulama’. Ini kerana mendengar bacaan ayat-ayat sajadah dalam keadaan tersebut sama seperti mendengar terus daripada orang yang membacanya di belakang dinding atau seumpamanya.
Walaubagaimanapun, dibolehkan untuk menangguh sujud tersebut jika sekiranya keadaan tidak mengizinkan seperti tempat yang tidak sesuai, dalam keadaan tidak berwuduk, tidak dapat menghadap kiblat dan sebagainya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap kita dalam beramal dengan ikhlas kepadaNya. Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar untuk dibaca dalam sujud tilawah:
اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ سَجَدَ وَجْهِى لِلَّذِى خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
“Ya Allah! Kepada-Mu aku sujud, dengan-Mu aku beriman, dan kerana-Mu aku berserah. Wajahku sujud kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuk rupanya serta mengurniakan pendengaran dan penglihatannya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta.” [Riwayat Muslim (1848)]
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/06/perlukah-sujud-tilawah-apabila.html