Penjelasan Tuntutan Sulu


 

1. Perbincangan umum baru-baru ini mengenai “Notis Sita” yang dikeluarkan di Luxembourg terhadap aset milik Petronas untuk menunaikan award USD14.92 bilion oleh penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa, telah dicemari dengan maklumat palsu dan pembohongan yang mengelirukan. Orang ramai berhak mengetahui pendedahan yang sebenar tentang perkara-perkara berkaitan pertikaian antara pihak menuntut Sulu dan kerajaan Malaysia, yang telah membawa kepada award yang besar namun tidak sah sama sekali ini.
Nota ini untuk merekodkan pengalaman saya dalam menangani pertikaian tersebut selepas saya ditaklimatkan mengenainya pada Ogos/September 2019 semasa enam bulan terakhir saya sebagai peguam negara. Pada permulaannya, saya harus nyatakan bahawa saya tidak lagi mempunyai akses kepada dokumen, melainkan dokumen yang berada dalam domain awam. Saya berharap artikel ini akan mendorong mereka yang memiliki fakta yang penuh untuk turut menyertai perbincangan umum.
2. Perjanjian Pemberian 1878 merupakan asas tunggal dan eksklusif bagi tuntutan waris Sultan Sulu. Pemberian itu menyerahkan pemunyaan dan kedaulatan sebahagian daripada Sabah pada masa kini kepada Syarikat Borneo Utara British untuk selama-lamanya. Ia merupakan peninggalan sebuah empayar. Ia mirip pemberian Bombay oleh Portugis kepada British pada 1661 dan penyerahan New York (New Amsterdam) oleh Belanda kepada British pada 1664. Di tanah air, pemberian Pulau Pinang pada 1786 oleh Kesultanan Kedah dan Singapura pada 1819 oleh Kesultanan Johor; kedua-duanya kepada British dalam hal ini. Namun, tidak timbul dalam mana-mana pemberian tersebut suatu tuntutan yang serupa ini dalam abad ke-21 yang berbangkit daripada pemberian untuk selama-lamanya.
-ADVERTISEMENT-Ads by 
Oleh itu, tuntutan Sulu mesti dilihat dalam konteks empayar dan penjajahan. Pemberian tanah milik bangsa lain oleh sebuah empayar kepada empayar yang lain adalah lazim pada abad-abad yang lalu; tuntutan undang-undang melalui proses timbang tara (seperti yang berlaku kini) berabad-abad kemudian adalah suatu perkara baharu.
A) Persetujuan di bawah Perjanjian Pemberian 1878
Tiga bahagian penting dalam perjanjian tersebut berbunyi seperti berikut:
“Grant by Sultan of Sulu of Territories and Lands on the Mainland of the Island of Borneo. Dated 22nd January, 1878.
“We…Sultan of Sulu…hereby grant and cede of our own free and sovereign will to Gustavus Baron de Overbeck of Hong Kong and Alfred Dent Esquire of London as representatives of a British Company…forever and in perpetuity all the rights and powers belonging to us over all the territories and lands…
“In consideration of this grant…to pay as compensation to the Sultan the sum of five thousand dollars per annum.
“In case any dispute shall arise between His Highness the Sultan his heirs or successors and the said Gustavus Baron de Overbeck or his Company it is hereby agreed that the matter shall be submitted to Her Britannic Majesty’s Consul-General for Borneo.”
(penekanan saya)
3. Tiada apa-apa dalam bahagian-bahagian penting tersebut yang tidak jelas. Ianya digubal menggunakan istilah dan implikasi undang-undang yang jelas, dan dengan itu, menunjukkan hasrat pihak-pihak. Ia bertujuan untuk mempunyai kuatkuasa undang-undang.
Perenggan pertama dalam Perjanjian 1878 dengan jelas, terang, dan nyata memberikan tanah-tanah yang diperihalkan dalam dokumen tersebut “untuk selama-lamanya dan berkekalan” (for ever and in perpetuity) kepada dua orang ejen dan wakil Syarikat Borneo Utara British. Dalam apa jua cara sekalipun, perenggan tersebut tidak dapat ditafsirkan selain sebagai sebuah pemberian yang dengan jelasnya mempunyai kesan undang-undang bagi memindahkan pemunyaan tanah tersebut daripada Sultan Sulu kepada syarikat British.
Ia bukannya pajakan, dan tidak pernah dihasratkan untuk suatu tempoh yang sementara. “Balasan” (consideration) untuk penyerahan itu ialah pampasan sejumlah 5,000 dolar setahun, yang secara tersirat juga adalah untuk selama-lamanya. Ianya suatu jumlah yang tetap, dan tidak tertakluk kepada sebarang kenaikan atau semakan.
4. Kesan undang-undang Perjanjian 1878 telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Borneo Utara pada 1939 dalam kes Dayang Dayang Haji Piandao Kiram (f) lwn Kerajaan Borneo Utara. Berikut kenyataan Ketua Hakim Macaskie dalam kes tersebut:
“The deed of Cession was a complete and irrevocable grant of territory and the right reserved was only the right to an annual payment, a right which is in the nature of movable property.”
B) Kesan Surat Ikatan Pengesahan 1903
5. Pada 22 April 1903, Sultan Sulu menandatangani surat ikatan pengesahan yang menyatakan bahawa beberapa pulau yang tidak dinamakan dalam Perjanjian Pemberian 1878 juga diserahkan kepada kerajaan Borneo Utara British. Selanjutnya, jumlah “wang serahan” (cession money) dinaikkan sebanyak 300 dolar setahun. Surat ikatan 1903 ini turut ditandatangani Gabenor Borneo Utara British, EW Birch. Sejak 1903, jumlah pampasan tahunan ditetapkan sebanyak 5,300 dolar.
C) Keberertian penghakiman Macaskie 1939
6. Kes yang dirujuk dalam perenggan 4 di atas difailkan di Mahkamah Tinggi Borneo Utara pada 1939 oleh keturunan Sultan Sulu untuk menentukan siapa di antara mereka yang berhak untuk menerima pampasan tahunan sebanyak 5,300 dolar. Ia tidak melibatkan Borneo Utara British mahupun Kerajaan British, yang mana kedua-duanya tidak mempersoalkan kewajipan di sisi undang-undang untuk terus membayar pampasan sebanyak 5,300 dolar setiap tahun.
Dalam hal itu, pihak menuntut Sulu yang mempunyai pertikaian sesama mereka dan mereka telah memilih untuk memulakan tindakan undang-undang di mahkamah Borneo Utara. Pilihan mereka untuk mengambil tindakan undang-undang di Borneo Utara (dan bukannya proses timbang tara ataupun di mana-mana forum lain) adalah sangat penting dari segi undang-undang, dan relevan dengan pertikaian sekarang. Ia satu lagi faktor yang menunjukkan bahawa Borneo Utara (atau sekarangnya Sabah) merupakan forum yang natural dan wajar (natural and proper forum) untuk penyelesaian pertikaian yang berkaitan atau timbul daripada Perjanjian 1878, dan dengan itu mengetepikan sebarang forum lain.
D) Kesan penubuhan Malaysia pada 1963
7. Kerajaan British menjadi pengganti dalam hak milik (successor in title) Syarikat Borneo Utara British pada 1946 apabila Borneo Utara menjadi tanah jajahan United Kingdom. Oleh itu kerajaan British lah yang membayar pampasan tahunan sebanyak 5300 dolar kepada pihak menuntut Sulu semasa 1946 hingga 1963.
8. Pembentukan Malaysia pada 1963 memberikan peluang untuk Malaysia menamatkan pembayaran tahunan kepada pihak menuntut Sulu. Bapa pengasas kita boleh secara mudahnya mempertikaikan bahawa Perjanjian Pemberian 1878 adalah peninggalan penjajah yang tidak mengikat persekutuan yang baharu ditubuhkan dan British hendaklah kekal melaksanakan kewajipan tahunan untuk membayar pampasan tersebut.
Malangnya, persekutuan yang baharu sebaliknya memikul kewajipan undang-undang untuk membayar pampasan tahunan daripada penjajah British yang ketika itu berundur, tanpa keraguan atau bantahan. Malaysia membuat pembayaran tersebut setiap tahun dan tanpa gangguan sehingga 2013. Pembayaran berterusan oleh Malaysia selama 50 tahun adalah bukti kukuh ̶ yang tidak dapat dipertikaikan ̶ bahawa Malaysia telah mengambil alih kedudukan Kerajaan British sebagai pengganti dalam hak milik, dan terhalang dari segi undang-undang untuk mengambil kedudukan yang sebaliknya.
Demikianlah dalam setengah abad itu, kewajipan undang-undang Malaysia untuk membayar pampasan tahunan kepada pihak menuntut Sulu tidak pernah dipersoalkan oleh kerajaan Malaysia.
E) Mengapakah Malaysia menghentikan pembayaran pada 2013?
9. Sepanjang pengetahuan saya, kerajaan Malaysia tidak pernah membuat penjelasan secara umum pada 2013 berkenaan sebab-sebab mengapa pembayaran pampasan tahunan kepada pihak menuntut Sulu dihentikan. Ini berlaku semasa pentadbiran Najib Razak. Perdana menteri, menteri luar negeri atau pertahanan mahupun peguam negara seharusnya mengeluarkan suatu kenyataan awam untuk memperjelaskan keputusan mereka.
Malah, sehingga hari ini, sedekad kemudian, anggota pentadbiran tersebut masih berdiam diri, yang mana telah membawa kepada spekulasi dan kekeliruan yang tak perlu.
10. Penjelasan tidak rasmi yang sering diberikan adalah bahawa Malaysia menghentikan pembayaran kerana pencerobohan bersenjata pada 2013 ke atas Lahad Datu di Sabah. Bagaimanapun, tiada bukti jelas yang boleh mengaitkan pihak menuntut Sulu yang menerima pampasan tahunan daripada Malaysia dengan penceroboh bersenjata Lahad Datu.
Sekiranya kerajaan Malaysia mempunyai bukti sedemikian, langkah yang hemat seharusnya adalah untuk memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Sabah di Kota Kinabalu terhadap pihak menuntut Sulu (yang mana kesemua identiti mereka diketahui oleh kedutaan kita di Filipina, di mana bayaran tahunan dibuat kepada mereka), bagi memohon suatu perintah dari mahkamah Sabah bahawa oleh kerana pihak menuntut Sulu terlibat secara peribadi dan secara langsung dalam pencerobohan Lahad Datu, mereka kehilangan hak mereka untuk menerima bayaran pada masa hadapan dan bahawa Perjanjian 1878 telah berhenti berkuatkuasa.
Sekiranya itu berlaku, tindakan kerajaan untuk menghentikan pembayaran akan menerima “judicial imprimatur” (kebenaran secara rasmi oleh mahkamah). Malangnya, opsyen ini tidak diambil oleh mereka yang bertanggungjawab pada 2013.
11. Tanpa memberikan sebarang sebab untuk menghentikan pembayaran selepas 50 tahun kepada pihak menuntut Sulu, dan tanpa pernah memohon kebenaran secara kehakiman untuk penamatan pembayaran, Malaysia telah memungkiri Perjanjian 1878. Akibatnya, pihak menuntut Sulu berhak kepada pelaksanaan spesifik (specific performance) kontrak, iaitu Perjanjian 1878, yang secara praktikalnya bermaksud bahawa Malaysia mesti memulihkan tunggakan pampasan tahunan sebanyak RM5,300 setahun dari 2013 hingga 2022, dan seterusnya berjanji untuk membayar jumlah tahunan tersebut.
12. Dari segi praktikal, pelaksanaan spesifik kontrak 1878 bermaksud pembayaran wang secara tahunan, yang mana jumlahnya telah ditetapkan pada 1878 dan 1903. Satu-satunya kerugian yang dialami pihak menuntut Sulu ialah kehilangan wang pampasan tahunan sebanyak RM5,300; tidak lebih dan tidak kurang.
Undang-undang asas bagi ganti rugi atau pampasan yang perlu dibayar untuk kerugian yang disebabkan oleh kemungkiran kontrak ialah, apabila sesebuah kontrak itu dimungkiri, pihak yang tidak bersalah berhak untuk menerima, daripada pihak yang memungkiri kontrak, pampasan untuk sebarang kerugian atau kerosakan yang dialaminya, yang timbul secara lazim kesan daripada kemungkiran tersebut.
Dalam erti kata lain, pihak yang dipersalahkan hendaklah, setakat yang mampu dilakukan dari segi kewangan, memulihkan kedudukan pihak yang tidak bersalah agar kembali kepada kedudukan yang sepatutnya jika kontrak itu tidak dimungkiri.
13. Melalui surat bertarikh 19 September 2019, saya menulis kepada peguam yang mewakili pihak menuntut Sulu, dengan tawaran untuk membayar tunggakan berjumlah RM37,100.00 dari 2013 hingga 2019, berserta faedah mudah 10% berjumlah RM11,130.00. Oleh itu tawaran yang dibuat kepada mereka adalah sejumlah RM48,230.00.
Dari segi undang-undang, ini merupakan kerugian yang mereka alami dalam tempoh 7 tahun. Selanjutnya, sekiranya tawaran sejumlah RM48,230.00 itu diterima, ia bermakna tiada lagi pertikaian antara pihak-pihak. Jaminan juga diberikan kepada mereka bahawa Malaysia akan terus membayar jumlah tahunan tersebut untuk tahun-tahun yang akan datang.
Surat saya dengan jelas menyatakan bahawa kes itu telah dibawa secara salah dalam bidang kuasa Sepanyol dan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf mahupun patuh kepada bidang kuasa Sepanyol, sama ada bidang kuasa yang dilaksanakan oleh mahkamahnya, tribunal timbang tara atau sebaliknya.
F) Apakah asas timbang tara pada 2018 oleh mahkamah Sepanyol dalam pelantikan penimbang tara tunggal?
14. Perlu diingati bahawa Perjanjian Pemberian 1878 mengandungi ayat ini:
“In case any dispute shall arise between His Highness the Sultan his heirs or successors and the said Gustavus Baron de Overbeck or his Company it is hereby agreed that the matter shall be submitted to Her Britannic Majesty’s Consul-General for Borneo.”
15. Pembacaan yang nyata dan biasa bagi ayat ini menghasilkan kesimpulan berikut:
(i) perkataan “timbang tara” tidak disebut, walaupun semasa 1878 timbang tara telah berkembang matang, terutamanya di bawah undang-undang Inggeris;
(ii) tempat bagi tribunal timbang tara tidak disebut;
(iii) undang-undang kontrak yang sepatutnya diguna pakai oleh tribunal timbang tara tidak disebut;
(iv) pihak berkuasa untuk melantik penimbang tara tidak disebut;
(v) sama ada tribunal timbang tara harus terdiri daripada penimbang tara tunggal atau tiga orang penimbang tara tidak disebut; dan
(vi) Sepanyol tidak disebut; begitu juga dengan Perancis.
16. Oleh itu, ayat ini contoh klasik suatu percubaan yang “pathologically flawed” untuk merujuk kepada timbang tara. Ia tidak mungkin dapat dituruti, sebahagiannya kerana pejabat “Konsul Besar Baginda Queen Britain di Borneo” (Her Brittanic Majesty’s Consular General for Borneo) tidak lagi wujud dan sebahagiannya atas sebab enam kecacatan yang disenaraikan di atas. Itu mungkin menjelaskan sebab mengapa Kementerian Luar Negeri United Kingdom menolak permintaan, yang tampaknya dibuat pada 2017, untuk menggunakan UK sebagai forum yang sesuai.
Sekiranya kerajaan British telah dengan tepat memutuskan bahawa rujukan kepada pejabat “Her Brittanic Majesty’s Consular General for Borneo” yang tidak lagi wujud, tidak memberikan bidang kuasa kepada mahkamah di UK untuk melantik penimbang tara yang “bertempat di British”, adalah amat sukar untuk dipercayai bagaimanakah mahkamah Sepanyol dan Perancis boleh bertindak seperti yang telah mereka lakukan. Ianya langsung bertentangan dengan undang-undang dan amalan timbang tara antarabangsa.
G) Keberertian keputusan Mahkamah Tinggi Sabah pada 2020
17. Selepas notis sewajarnya diberikan kepada penimbangtara tunggal, Stampa, dan peguam British yang bertindak bagi pihak menuntut Sulu, kerajaan Malaysia memulakan prosiding undang-undang di Mahkamah Tinggi Sabah pada Disember 2019, seperti mana yang dilakukan oleh pihak menuntut Sulu pada 1939. Oleh kerana tidak wujud klausa timbang tara dalam Perjanjian 1878, dan pejabat “Her Brittanic Majesty’s Consular General for Borneo” telah lama pupus, satu-satunya forum untuk menyelesaikan pertikaian yang timbul daripada Perjanjian 1878 tersebut adalah mahkamah Sabah.
Keputusan mana-mana forum lain yang kononnya mempunyai bidang kuasa ke atas perkara ini adalah tidak sah dan seharusnya tidak diendahkan langsung oleh kerajaan Malaysia.
18. Dalam penghakiman yang dilaporkan dalam kes Kerajaan Malaysia lwn Nurhima Kiram Fornan [2020] 6 CLJ 429 Hakim Mairin Idang memutuskan empat isu yang sangat relevan, iaitu:
(i) tiada perjanjian timbang tara yang sah atau mengikat;
(ii) tiada penepian kekebalan kedaulatan Malaysia yang boleh memberikan bidang kuasa bagi prosiding di hadapan mahkamah di Sepanyol yang melantik penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa;
(iii) Mahkamah Tinggi Sabah adalah forum semula jadi dan wajar untuk memutuskan semua pertikaian; dan
(iv) wujudnya “forum shopping” oleh pihak menuntut.
19. Walaupun penghakiman ini tidak mempunyai kesan luar wilayah, ia menunjukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sabah merupakan forum untuk menyelesaikan pertikaian. Malangnya, penimbangtara tunggal, Stampa, tidak menghiraukan penghakiman itu.
H) Tingkah laku Stampa
20. Kewajipan utama sesiapa yang dipinta untuk menjadi penimbang tara bagi sesuatu pertikaian adalah untuk membaca perjanjian timbang tara dengan teliti. Penimbang tara yang mungkin dilantik hendaklah, sebelum menerima lantikan tersebut, yakin bahawa mereka mempunyai bidang kuasa untuk bersidang dan memutuskan pertikaian.
Lazimnya, perjanjian timbang tara dalam bentuk suatu klausa di dalam kontrak antara pihak-pihak yang bertikai. Ianya tidak sama seperti mahkamah domestik, yang mana kuasa dan bidang kuasa untuk menyelesaikan pertikaian sivil antara individu-individu (termasuk syarikat dan korporat) dalam had wilayahnya adalah diperuntukkan oleh undang-undang domestik; ini membawa maksud bahawa tidak akan wujudnya persoalan sama ada suatu pihak boleh menolak atau tidak bersetuju terhadap bidang kuasa mahkamah terhadap sesuatu pertikaian.
Sebaliknya, prosiding timbang tara memerlukan persetujuan. Secara definisinya, ia hendaklah secara kerelaan (kedua-dua pihak). Pihak-pihak hendaklah, dengan bebas dan sukarela, bersetuju secara bertulis dalam terma yang jelas untuk mengemukakan pertikaian mereka kepada timbang tara. Sekiranya tiada perjanjian timbang tara secara bertulis, maka proses untuk merujuk kepada timbang tara adalah tidak tersedia. Ia tidak boleh dikenakan secara paksa. Oleh itu, bagaimana Stampa boleh mentafsirkan ayat dalam Perjanjian 1878 (iaitu kontrak yang relevan dan berkuatkuasa dalam hal ini) sebagai sebuah klausa timbang tara adalah amat sukar untuk dipercayai.
21. Dalam artikel bertajuk “The Sultan of Sulu Award: Is it enforceable in the US under the New York Convention?” yang diterbitkan dalam ITA in Review [2022] Vol 4, Isu 1, pakar timbang tara Gary J Shaw dan Rafael T Boza membuat pemerhatian berikut:
“The Award against Malaysia is one of the largest awards ever issued against a state, surpassed only by the Yukos Award. It arises out of a 150-year-old contract with very ambiguous terms. It was issued in the context of a highly disputed ad hoc arbitration, in which neither the alleged arbitration clause, nor the conduct of the proceedings was accepted by the parties or the courts of the seat, Spain. The Arbitrator took actions which may be considered unreasonable, extreme, or even defiant, such as relocating the seat of arbitration, to ultimately issue a polarizing Award. Any enforcement effort, in any jurisdiction will likely be met with substantial resistance.”
(penekanan saya)
I) Timbang tara Sepanyol dan Perancis
22. Malaysia telah memohon untuk mengetepikan kesemua keputusan Mahkamah Tinggi Madrid, termasuk keputusannya untuk melantik Stampa. Pada Jun 2021, mahkamah Sepanyol memberi keputusan yang memihak kepada Malaysia, dan mengetepikan kesemua keputusan mahkamah tinggi yang dibuat sebelum ini terhadap Malaysia. Mahkamah tinggi kemudiannya mengarahkan Stampa untuk menamatkan prosiding dengan serta-merta, berdasarkan perintah pengenepian mahkamah.
Stampa, ternyata seorang penyangak, ingkar arahan mahkamah dan mendakwa bahawa campur tangan mahkamah adalah tidak dibenarkan di bawah Akta Timbang Tara Sepanyol.
23. Pihak menuntut Sulu kemudiannya memindahkan kes mereka ke Perancis. Mereka memohon ke mahkamah di Paris, yang selanjutnya membenarkan permohonan mereka untuk membolehkan Stampa menempatkan semula tempat bagi timbang tara dari Sepanyol ke Perancis.
Stampa menyebut dalam awardnya bahawa keputusan mahkamah negaranya sendiri (Sepanyol) adalah merupakan suatu bentuk “campur tangan oleh mahkamah tempatan yang tidak dibenarkan” (unauthorised intrusions by local court) terhadap prosiding timbang tara yang telah mewujudkan “risiko tertentu bahawa pihak-pihak yang terlibat bakal dinafikan keadilan di Madrid” (a certain risk for the parties of incurring in a denial of justice in Madrid).
Akibat perintah Mahkamah Paris tersebut, prosiding dipindahkan ke Perancis pada Oktober 2021.
24. Pada Disember 2021, Malaysia membuat rayuan di mahkamah rayuan terhadap perintah Mahkamah Paris. Mahkamah Rayuan Perancis menggantung perintah mahkamah rendah. Malaysia kemudian menghantar perintah mahkamah Perancis tersebut kepada Stampa, dan meminta supaya timbang tara diberhentikan dengan serta-merta. Sekali lagi, Stampa menolak permintaan Malaysia.
25. Stampa meneruskan dan mengeluarkan award akhir nya pada 28 Februari 2022, yang terang-terangan mengingkari keputusan Mahkamah Madrid dan Paris. Malaysia segera mencabar award ini di mahkamah rayuan di Paris. Disebabkan oleh notis sitaan tersebut, permohonan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan award di Perancis telah dibenarkan. Nampaknya, itulah kedudukan kes pada masa ini.
Pada masa yang sama, duta besar Malaysia telah membuat aduan kepada pihak berkuasa Sepanyol terhadap Stampa. Pendakwa raya Sepanyol telah memfailkan aduan jenayah terhadap Stampa atas alasan penghinaan mahkamah yang serius dan gangguan profesional. Mahkamah Jenayah Madrid telah pun memulakan siasatan jenayah berhubung aduan ini.
26. Perlu ditegaskan bahawa pelantikan Stampa sebagai penimbang tara tunggal telah dibuat oleh mahkamah di Sepanyol. Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan di atas, ini bertentangan dengan peruntukan nyata Perjanjian 1878, yang merupakan asas tunggal dan eksklusif pertikaian oleh pihak menuntut Sulu.
Tambahan lagi, permohonan itu dibuat tanpa serahan yang sewajarnya ke atas Malaysia. Begitu juga pemindahan timbang tara ke Perancis yang dibuat secara “ex-parte” dan tanpa persetujuan daripada Malaysia: Mahkamah Paris juga tidak mempunyai bidang kuasa di bawah Perjanjian 1878 untuk memutuskan pertikaian ini.
J) Tuntutan tidak kukuh di sisi undang-undang oleh pihak menuntut Sulu
27. Dalam menolak tawaran Malaysia berkenaan kesemua tunggakan dan faedah berjumlah RM48,230 seperti yang dinyatakan dalam surat saya bertarikh 19 September 2019, Paul Cohen, peguam bagi pihak menuntut Sulu dalam surat jawapannya bertarikh 21 Oktober 2019 menyebut bahawa tuntutan yang dituntut oleh pihak menuntut Sulu dalam timbang tara Sepanyol adalah:
“There remains the issue of the unconscionable imbalance between the annual payment amount and the actual value of the territory, in light of the unanticipated discovery and development of certain substantial natural resources (hydrocarbons, crops and others). That is the heart of the dispute. The quantum of your suggested payments to my clients is frankly derisory in comparison to the actual value of their claim.”
(penekanan saya)
28. Bagaimanapun, Perjanjian Pemberian 1878 tidak mengandungi sebarang hak yang membolehkan pihak menuntut untuk membuat tuntutan yang melampau dan tidak kukuh di sisi undang-undang sekiranya Malaysia memungkiri kontrak. “Nilai sebenar wilayah” (actual value of the territory) iaitu, nilai pasaran pada 2022 bagi tanah yang diserahkan kepada Syarikat Borneo Utara pada 1878 tidak boleh menjadi subjek sebarang tuntutan oleh Pihak Menuntut. Ia amat terpencil dan sangat oportunistik berdasarkan mana-mana jangka ukur sekalipun.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, hak milik, pemunyaan, dan kedaulatan tanah-tanah yang diserahkan pada 1878 telah bertukar tangan pada tarikh perjanjian, dan selanjutnya tidak pernah lagi menjadi milik Sultan Sulu mulai 22 Januari 1878. Oleh itu, sebarang tuntutan terhadap tanah tersebut selepas daripada tarikh itu adalah tidak boleh dipertahankan dari segi undang-undang.
Sememangnya tiada sebarang tuntutan sedemikian dibuat selama 130 tahun yang berikutan; ianya muncul buat kali pertama dalam timbang tara Sepanyol. Ini merupakan tuntutan yang tidak berasas dari segi fakta mahupun undang-undang. Apa yang dituntut oleh pihak menuntut Sulu adalah untuk menulis semula secara sepihak (unilateral) Perjanjian 1878. Tidak dapat dinafikan bahawa Stampa telah menulis semula terma-terma dalam Perjanjian 1878 apabila beliau memberikan USD14.9 bilion dalam awardnya.
K) Kekebalan kedaulatan
29. “Kekebalan Kedaulatan” (state immunity) merupakan peraturan adat dalam undang-undang antarabangsa awam yang matan di mana sesebuah negara tidak boleh didakwa di mahkamah domestik negara lain, di luar kehendak mereka. Perjanjian Pemberian 1878 bukanlah sebuah perjanjian komersial, tetapi adalah tindakan pemerintah (sovereign act) untuk menyerahkan wilayahnya.
30. Sehubungan itu, sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, Malaysia kebal daripada bidang kuasa mahkamah Sepanyol dan Perancis. Seperti yang dinyatakan oleh Lord Wilberforce di House of Lords dalam kes I Congreso Del Partido [1983] 1 AC 244:
“It is necessary to start from first principle. The basis upon which one state is considered to be immune from the territorial jurisdiction of the courts of another state is that of ‘par in parem’ which effectively means that the sovereign or governmental acts of one state are not matters upon which the courts of other states will adjudicate.”
L) Imperialisme timbang tara
31. Terdapat keangkuhan imperialis yang terpendam namun tidak dapat disangkal dalam tindakan Stampa serta mahkamah Perancis dan Sepanyol dalam kononnya menjalankan bidang kuasa mereka ke atas kerajaan Malaysia. Begitu jua, terdapat juga keangkuhan imperialis dalam mahkamah-mahkamah tersebut apabila tidak dengan segera menerima hakikat bahawa pertikaian ini adalah jelas dan nyata di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sabah.
Adalah tepat bagi kerajaan Malaysia untuk menolak kesahan timbang tara dari awal lagi dan dengan tepat juga dalam menolak kesahan award timbang tara Stampa.
32. Bagi sesiapa pun yang menghargai kedaulatan negara dan kemerdekaan kita daripada cengkaman Empayar British, seharusnya adalah amat membimbangkan yang mahkamah dan penimbang tara dari negara bekas kuasa penjajah Eropah beranggapan adalah wajar bagi mereka untuk memaksakan bidang kuasa mereka ke atas negara ini, di luar kehendak kita. Cuba bayangkan untuk sesaat pun sekiranya peranan tersebut diterbalikkan.
33. Lebih membimbangkan lagi bahawa seorang penyangak, yang bertindak melanggar perintah mahkamah atasan negaranya sendiri, dapat mengeluarkan award berbilion dolar terhadap kerajaan Malaysia, yang merupakan salah satu award terbesar yang pernah dikeluarkan terhadap sesebuah negara. Ini amat keterlaluan terutamanya kerana asas bagi award berjumlah berbilion dolar itu adalah kononnya kemungkiran kontrak yang cuma bernilai RM5,300 setahun.
M) Tindakan terhadap Stampa dan Cohen
34. Kelakuan penimbang tara, Stampa, dan peguam Amerika Syarikat bagi pihak menuntut Sulu, Paul Cohen, yang menyalahi undang-undang adalah tidak boleh diterima sama sekali dan tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa Malaysia mengambil tindakan terhadap mereka secara peribadi di negara mereka masing-masing. Pihak yang menuntut Sulu itu sendiri tidak mempunyai kepakaran undang-undang untuk terlibat dalam perang litigasi ini.
Pembiaya litigasi, Therium, nampaknya telah menanggung kos melebihi USD10 juta termasuk award kos yang amat besar berjumlah USD2.79 juta kepada Cohen dan USD2.33 juta kepada Stampa. Tetapi dalang perundangan yang bertanggungjawab secara peribadi dan langsung dalam menyerang Malaysia adalah Cohen dan Stampa. Oleh itu, Malaysia harus membuat aduan terhadap Cohen kepada badan tatatertib untuk peguam di England di mana beliau beramal, iaitu, “the Bar Standards Board” di England.
Pengamal profesion undang-undang yang berpengalaman di England tertakluk kepada standard integriti dan profesionalisme yang tinggi; Cohen pastinya telah melanggar standard ini. Berhubung Stampa, Malaysia harus membuat aduan terhadapnya kepada pihak berkuasa yang mengawal selia penimbang tara di Sepanyol. Sekiranya tiada pihak berkuasa sedemikian, Malaysia perlu mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam terkemuka yang beramal di Sepanyol berhubung hak Malaysia di bawah undang-undang Sepanyol terhadap penimbang tara penyangak ini.
35. Selain itu, Malaysia mestilah mendapatkan perintah injunksi “secara peribadi” (in personam) terhadap Stampa dan Cohen di kedua-dua mahkamah Sepanyol dan Perancis bagi menghalang setiap satu daripada mereka, daripada bertindak secara langsung atau tidak langsung, berdasarkan timbang tara tersebut di mana-mana bahagian di seluruh dunia. Di Sepanyol, saya percaya Stampa telahpun dihalang; perintah serupa mesti diperolehi di Perancis berhubung tindakannya dalam memindahkan timbang tara yang salah di sisi undang-undang. Begitu juga Cohen.
36. Malaysia mesti menyiasat bagaimana pembiaya insurans, Therium, bersetuju untuk membiayai kes yang langsung tidak berpeluang dari segi undang-undang setakat mana ia berkenaan dengan kuantum pampasan yang perlu dibayar secara sah kepada pihak menuntut Sulu.
Kita mesti mendapatkan nasihat daripada peguam terbaik di London (atas andaian Therium menjalankan perniagaan di United Kingdom) sama ada Malaysia boleh mendapatkan injunksi terhadap Therium untuk menghalangnya daripada terus membiayai timbang tara tuntutan tersebut. Sebaik sahaja aliran wang terhenti, maka aktiviti timbang tara penyangak juga akan dengan ajaibnya terhenti.
37. Saya gembira bahawa Malaysia telah memulakan prosiding jenayah terhadap Stampa; ini mesti juga diteruskan secara serentak, sambil kita mendalami strategi baharu yang telah saya gariskan. Kita harus akui bahawa ini adalah imperialisme undang-undang oleh kuasa dan personaliti Eropah tertentu; oleh itu kita mestilah mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah negara dengan seluruh kekuatan kita. Serangan adalah bentuk pertahanan yang terbaik; dan Malaysia mesti melancarkan serangan terhadap Stampa, Cohen, dan Therium. Permohonan untuk mengetepikan award timbang tara Stampa yang menyalahi undang-undang semata-mata adalah tidak mencukupi. Langkah-langkah punitif yang lain mesti diambil oleh Malaysia dengan kadar segera.
38. Perlu diingat bahawa pihak yang berkaitan dengan Perjanjian Pemberian 1878 adalah kerajaan Malaysia, sebagai pengganti dalam hak milik. Pihak yang dibawa, walaupun secara salah, ke timbang tara oleh pihak menuntut Sulu juga adalah kerajaan Malaysia, yang dibawa pada mulanya di Sepanyol dan kemudiannya di Perancis. Award USD14.9 bilion itu dibuat terhadap Kerajaan Malaysia.
Adalah undang-undang yang matan, dan pastinya sesuatu yang Cohen seharusnya tahu, bahawa hanya aset Malaysia boleh menjadi subjek penahanan atau pelaksanaan untuk memenuhi award tersebut. Cohen seharusnya tahu bahawa Malaysia menikmati “kekebalan kedaulatan” di semua mahkamah domestik di setiap negara di mana aset Malaysia berada. Untuk melepasi halangan yang tidak dapat diatasi ini, Cohen terus menyalahgunakan undang-undang dengan menahan aset anak syarikat milik Petronas di Luxemburg.
Tetapi, Petronas adalah entiti yang berasingan daripada Malaysia. Award tersebut tidak mengikat Petronas, dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap aset Petronas. Ketamakan Cohen tidak mengenal batas; peguam AS yang bereputasi buruk ini nampaknya tidak teragak-agak dalam menyalahgunakan prinsip undang-undang yang matan dan digunapakai sejagat.
N) Penguatkuasaan award timbang tara di bawah Konvensyen New York
39. Dalam Dallah lwn Government of Pakistan [2011] 1 AC 763, sebuah pihak persendirian, dengan bersandarkan pada Konvensyen New York, berusaha di mahkamah England untuk menguatkuasakan suatu award timbang tara yang dibuat di Perancis oleh panel tiga orang penimbang tara, yang memberi hak kepada pihak plaintif untuk mengambil tindakan pelaksanaan terhadap harta kepunyaan Pakistan di England.
Kerajaan Pakistan enggan mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara di Perancis kerana mengatakan bahawa tiada perjanjian timbang tara yang sah antara Pakistan dan Plaintif, yang membawa maksud bahawa penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan pertikaian tersebut. Tribunal bagaimanapun memutuskan bahawa ianya mempunyai bidang kuasa, dan seterusnya mengeluarkan award terhadap Pakistan.
40. Pakistan cuma menentang di mahkamah Inggeris buat pertama kalinya apabila plaintif cuba untuk menguatkuasakan award tersebut di England. Lord Mance, dalam menyampaikan penghakiman mahkamah tertinggi di UK, iaitu mahkamah agung, menyatakan bahawa:
“…it is well established, and indeed was common ground, that a person against whom an award has been made is not bound to challenge it before the supervisory court in order to challenge its enforcement in another jurisdiction.
“An arbitral tribunal’s decision as to the existence of its own jurisdiction cannot therefore bind a party who has not submitted the question of arbitrability to the tribunal…a party who has not submitted to the arbitrator’s jurisdiction is entitled to a full judicial determination…before the English Court.
“The very issue is whether the person resisting enforcement had agreed to submit to arbitration in that country. Such a person has…no obligation to recognise the tribunal’s activity or the country where the tribunal conceives itself to be entitled to carry on its activity…”
41. Mahkamah agung memutuskan bahawa sebenarnya tidak wujud sebarang perjanjian timbang tara, dan enggan untuk menguatkuasakan award yang tidak sah terhadap Pakistan.
42. Oleh itu, keputusan Malaysia untuk tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara di hadapan Stampa adalah berdasarkan otoriti undang-undang yang unggul. Malah, penyertaan boleh dianggap sebagai mengakui kewujudan perjanjian untuk merujuk ke timbang tara dan memberikan kesahan kepada sebuah tribunal yang tidak sah.
Walau apa pun, mengambil kira keputusan keterlaluan yang dibuat oleh Stampa, meskipun Malaysia berhujah di hadapannya bahawa tidak wujud perjanjian timbang tara, beliau pasti akan membuat keputusan yang tidak memihak kepada Malaysia. Dan Malaysia akan perlu menanggung kos yang besar untuk membayar beliau dan peguam kita di Sepanyol. Yang paling mustahak, mahkamah Sepanyol mahupun Perancis jua tidak menghalang Malaysia mencabar tindakan penguatkuasaan berdasarkan alasan bahawa Malaysia sebelum ini tidak mengambil bahagian di hadapan Stampa.
O) Adakah pasukan petugas khas perlu?
43. Prosiding timbang tara yang dimulakan oleh Cohen dan disokong sepenuhnya oleh Stampa di Sepanyol dan Perancis bukan sahaja suatu salah laku undang-undang yang paling teruk, bahkan ia sebahagian daripada litar timbang tara antarabangsa yang menjadi bobrok. Ia mencemarkan nama baik sebuah sistem, seperti Mafia, dikawal oleh peguam Eropah yang menyalahgunakan sistem perundangan negara mereka, dan dunia timbang tara sehingga memudaratkan negara Dunia Ketiga, seperti Malaysia.
Ini merupakan bidang amalan perundangan yang sangat khusus dan teknikal. Oleh itu, bagi mengendalikan perkara ini, saya telah dibantu oleh peguam-peguam dari Pejabat Peguam Negara, dari Badan Peguam di Malaysia dan peguam Sepanyol yang hadir di mahkamah Madrid. Saya tidak ragu-ragu bahawa peguam yang dilantik oleh Malaysia apabila pertikaian itu dipindahkan ke Perancis juga adalah peguam yang kerap hadir di mahkamah Paris.
44. Oleh itu, sesiapa yang mewakili Malaysia seharusnya telah dilatih dalam bidang undang-undang di pelbagai bidang kuasa bagi memerangi strategi dan taktik multinasional yang diguna pakai oleh Cohen dan Stampa. Mereka semua telah dilantik, dan sudah pastinya melaksanakan tugas profesional mereka secara profesional dan cekap bagi pihak Malaysia.
Oleh kerana ini adalah pertikaian undang-undang, peguam negara, sebagai ketua penasihat undang-undang negara, harus diberikan ruang untuk mempertahankan kepentingan Malaysia. Ia kini berada dalam tangan yang selamat. Tiada keperluan untuk menubuhkan apa-apa pasukan petugas khas atau mana-mana jawatankuasa lain.
Tambahan lagi, ketika saya menulis nota ini, pertikaian ini telah mencapai suatu peringkat yang sudah lanjut. Jawatankuasa hanyalah alasan birokrasi bagi tidak membuat sebarang keputusan. Tolong biarkan peguam negara putuskan sama ada beliau perlu untuk berunding dengan sesiapa; jangan libatkan secara paksa orang yang tidak berkelayakan, kononnya untuk membantu, tetapi sebenarnya hanya mengeruhkan proses membuat keputusan.
P) Kesimpulan
45. Apabila Stampa memutuskan bahawa klausa “Her Brittanic Majesty’s Consular General for Borneo” mampu di sisi undang-undang untuk memberikan kuasa kepada mahkamah di Sepanyol untuk melantik penimbang tara tunggal Sepanyol bagi memutuskan pertikaian di Sepanyol, dan untuk memerintahkan suatu pampasan sebanyak USD14.9 bilion sedangkan kerugian sebenar bagi kemungkiran kontrak ialah RM60,000, beliau telah dengan jeleknya menulis semula terma-terma Perjanjian Pemberian 1878.
Tidak ada sebarang sistem undang-undang, domestik atau antarabangsa, yang membenarkan pengubahan radikal sedemikian oleh seorang pihak ketiga terhadap persetujuan asal pihak-pihak. Award Stampa adalah “per-incuriam”; dan oleh yang demikian, ianya tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan. Award tersebut adalah tidak jujur dan suatu bentuk penipuan kerana perbuatan Stampa yang memindahkan tempat timbang tara ke Perancis apabila mahkamah Sepanyol telah mengarahkannya untuk menghentikan prosiding timbang tara.
Stampa dan Cohen adalah musuh Malaysia dalam perang litigasi yang mereka lancarkan terhadap Malaysia. Kita mesti bersatu untuk menangkis serangan ini. - FMT
Tommy Thomas adalah peguam negara antara 2018 dan 2020.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/07/penjelasan-tuntutan-sulu.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Apa Sebenarnya Isu Waris Kesultanan Sulu Dengar Penjelasan Peguam

Apa Sebenarnya Isu Waris Kesultanan Sulu Dengar Penjelasan Peguam

papar berkaitan - pada 22/7/2022 - jumlah : 136 hits
Isu waris Kesultanan Sulu yang melibatkan kerajaan sedang hangat diperdebatkan baru baru ini Apa sebenarnya isu yang berlaku pada perjanjian hak waris Kesultanan Sulu pada 1963 sejak Sabah menyertai Malaysia Ikuti Haniff Khatri yang menceri...
Siaplah Najib Ini Draf Laporan Polis Besar Besaran Esok Kerana Jadi Punca Tuntutan Waris Sulu

Siaplah Najib Ini Draf Laporan Polis Besar Besaran Esok Kerana Jadi Punca Tuntutan Waris Sulu

papar berkaitan - pada 19/7/2022 - jumlah : 266 hits
Minggu lalu saya telah menunjukkan bahawa masalah yang diwarisi oleh tiga Kerajaan Persekutuan berturut turut mengenai tuntutan waris Kesultanan Sulu sebenarnya bermula di zaman pentadbiran Dato Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri ...
Usul Tuntutan Sulu Yang Dipertua Dewan Rakyat Perlu Yakin Ahli Parlimen

Usul Tuntutan Sulu Yang Dipertua Dewan Rakyat Perlu Yakin Ahli Parlimen

papar berkaitan - pada 22/7/2022 - jumlah : 227 hits
Isu berhubung tuntutan waris Sultan Sulu bersifat kepentingan awam dan Dewan Rakyat merupakan platform terbaik untuk mendapatkan penjelasan
Strategi Hadapi Tuntutan Waris Sulu

Strategi Hadapi Tuntutan Waris Sulu

papar berkaitan - pada 24/7/2022 - jumlah : 340 hits
Kita tidak boleh mengambil pendekatan politik sempit untuk faedah domestik apabila berdepan ancaman kedaulatan wilayah dari musuh kita yang berada di luar Sebaliknya kita perlu mengambil pendekatan patriotik demi keutuhan negara Seperti mot...
Penjelasan Sulu Siri 1 Tommy Thomas

Penjelasan Sulu Siri 1 Tommy Thomas

papar berkaitan - pada 31/7/2022 - jumlah : 231 hits
PENJELASAN SULU SIRI 1 Nota ini untuk merekodkan pengalaman saya dalam menangani pertikaian tersebut selepas saya ditaklimatkan mengenainya pada Ogos September 2019 semasa enam bulan terakhir saya sebagai peguam negara Pada permulaannya say...
Tuntutan Cuepacs Kakitangan Awam Naik Gaji Sebelum Pru Ini Penjelasan Jpa

Tuntutan Cuepacs Kakitangan Awam Naik Gaji Sebelum Pru Ini Penjelasan Jpa

papar berkaitan - pada 3/8/2022 - jumlah : 303 hits
August 2 2022 Jabatan Perkhidmatan Awam sudah melaksana beberapa penambahbaikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia diperkenal pada 2002 membabitkan penetapan gaji permulaan terendah pelarasan gaji dan penambahbaikan jadual gaji...
Siapa Arah Tommy Thomas Tulis Surat Ni Kepada Waris Sultan Sulu

Siapa Arah Tommy Thomas Tulis Surat Ni Kepada Waris Sultan Sulu

papar berkaitan - pada 21/7/2022 - jumlah : 322 hits
Surat bekas peguam negara Tommy Thomas kepada peguam yang dilantik oleh pihak yang mendakwa sebagai waris sultan Sulu dijadikan sandaran dalam keputusan timbang tara baru baru ini yang kini mengancam untuk merampas aset Malaysia bernilai be...
Sulu Claims Sabah Mca Files Police Report Against Thomas

Sulu Claims Sabah Mca Files Police Report Against Thomas

papar berkaitan - pada 21/7/2022 - jumlah : 164 hits
Sabah MCA has lodged a police report against former attorney general Tommy Thomas over his alleged correspondence with the descendants of the Sulu sultanate In a statement today Sabah MCA said it wanted the police to investigate if there wa...
Mps Ask For Debate On Sulu Claims To Get Briefing At Hotel Instead

Mps Ask For Debate On Sulu Claims To Get Briefing At Hotel Instead

papar berkaitan - pada 21/7/2022 - jumlah : 231 hits
The government will hold a closed door briefing session at a hotel in Kuala Lumpur tonight for parliamentarians on claims over Petronas assets by the purported heirs of the Sulu sultanate While Dewan Rakyat speaker Azhar Azizan Harun had ye...
Tremendous Nadi Collaboration

Kebaikan Rawatan Rendaman Kaki Bersama Garam Bukit Dan Ais Batu

Salam Dalam Salat Jenazah Sekali Atau Dua Kali

10 Praktik Keberlanjutan Yang Wajib Diterapkan Di Tahun 2025

Takwim Cuti Persekolahan Tahun 2025 2026

Whatsapp Tak Lagi Sokong Peranti Android Lama Mulai 1 Januari 2025

Melawat Ke Sand Dunes Di Tottori Jepun

10 Perusahaan Rental Mobil Pontianak Resmi Update 2025


echo '';
5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM


Resepi Udang Khamped Padu Mudah Sedap Dan Confirm Licin Pinggan

The Skill Hexagon The Power Of Multifaceted Abilities

Skill Up Steam Curator

Dua Sahabat Makan Ikan Mentah Minum Air Laut Sepanjang Hanyut

Godox Perkenalkan Lampu Led Knowled Ms60r Bi Yang Sangat Fleksibel

Adi Putra Alami Jangkitan Kuman Di Paru Paru Kini Dalam Keadaan Baik