Pengisytiharan Darurat Hanya Rayu Ihsan Dan Kebijaksanaan Agong Anwar
Warkah oleh ahli-ahli parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menimbang semula pengisytiharan darurat bukanlah satu penderhakaan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, warkah oleh ahli parlimen – yang dakwa Anwar sudah lebih daripada bilangan majoriti – hanyalah merupakan rayuan kepada Agong untuk mempertimbangkan semula pengisytiharan darurat, dan apa pun keputusan Agong tetap akan diterima oleh mereka.
“Sekarang ini ahli parlimen yang menulis warkah kepada Agong itu sudah mencecah lebih daripada majoriti.
“Maknanya, majoriti, (yang) bukan membantah, (tetapi) merayu ihsan dan kebijaksanaan Agong untuk menimbang, melihat semula, mengkaji alasan-alasan, yang kami kira, (alasa) yang dibawa oleh perdana menteri itu tidak munasabah, tak cukup kuat.
“Maka mohon Agong menimbang, dan kita terima keputusan, kebijaksanan Agong,” katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook tadi.
Katanya, ahli-ahli parlimen berkenaan berasa bertanggungjawab untuk terus menyuarakan pandangan rakyat berkenaan masalah dihadapi mereka menerusi platform parlimen, yang kini digantung gara-gara darurat.
Sedangkan, parlimen adalah tempatnya di mana menteri “mesti” mendengar soalan yang dibangkitkan dan harus memberikan penjelasan.
Sebelum ini pada 14 Jan, Anwar meminta semua anggota parlimen mengutuskan warkah kepada Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan parlimen bersidang secepat mungkin, sebelum 31 Januari.
PH dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah menghantar warkah itu semalam, bagi memohon proklamasi darurat dipertimbangkan semula.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pula dikatakan menghantar surat kepada ahli parlimen parti itu untuk meminta persetujuan mereka untuk sidang parlimen khas diadakan, di bawah perkara 150(3) Perlembangaan Persekutuan.
Selain PH, pengisytiharan darurat nampaknya turut dikritik oleh tokoh dalam Umno, antaranya menuduh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mahu terus berkuasa setelah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.
Bagi pihak yang mempertahankan darurat, mereka menyifatkan pandangan yang tidak selari dengan pengisytiharan darurat sebagai menderhaka kepada Agong.
Antaranya bekas setiausaha agung BN Annuar Musa yang mempertikaikan tindakan Ahmad, selain Pemuda PAS yang mendakwa Anwar mengajak ahli parlimen menderhaka.
Timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata Anwar tidak perlu mengajar Agung dalam soal darurat.
Pandangan sedemikian bagaimanapun dibidas Anwar.
“Dulu, saya tahu, ada parti politik yang bangkang (secara) terang-terang, dan menyerang kerajaan dalam soal pengisytiharan darurat di Kelantan umpamanya.
“Boleh pula? Ada hukum yang membolehkan.
“Yang ini kita tak menyerang, kita memohon ihsan dan kebijaksanaan tuanku.
“Timbul suara-suara kononnya ini derhaka, termasuk daripada orang yang berucap dulunya, (daripada) cara dan isinya, (yang) paling derhaka,” kata Anwar lagi.
The post Pengisytiharan Darurat: Hanya Rayu Ihsan dan Kebijaksanaan Agong – Anwar appeared first on MYKMU.NET.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2021/01/20/pengisytiharan-darurat-hanya-rayu-ihsan-dan-kebijaksanaan-agong-anwar/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=pengisytiharan-darurat-hanya-rayu-ihsan-dan-kebij