Pendahuluan Karangan Jenis Contoh
Antara format terpenting dalam sesebuah karangan penulisan Bahasa Melayu ialah pendahuluan karangan.
Berikut diterangkan mengenai jenis dan contoh pendahuluan karangan.
Maksud Pendahuluan Karangan
Pendahuluan merujuk kepada latar belakang tajuk karangan yang diperoleh.
Pendahuluan karangan adalah penting dalam memberikan gambaran kepada tajuk sesuatu karangan.
Ini kerana pendahuluan memberikan gambaran awal untuk menarik minat pembaca bagi melanjutkan pembacaan kepada isi-isi penting.
Jenis Pendahuluan Karangan
Terdapat beberapa jenis pendahuluan seperti berikut:
i) Jenis Definisi
Untuk pendahuluan jenis ini, penulis akan memberikan takrifan atau definisi berkaitan tajuk yang dihuraikan.
Pendahuluan bagi jenis ini adalah sesuai berkaitan karangan deskriptif atau perbahasan.
Contoh:
Alam sekitar ditakrifkan sebagai “satu ruang yang terangkum di antara dasar lautan paling dalam dengan atmosfera angkasa sehingga mencecah ketinggian
15 kilometer dari aras bumi yang dihuni oleh segala makhluk bernyawa”. Litupan
ruang inilah yang biasanya dirujuk sebagai biosfera, yang dianggap alam sekitar bagi manusia.
ii) Jenis Pendapat tokoh
Pendahuluan bagi jenis ini adalah bagi menyatakan pendapat seseorang tokoh.
Lazimnya, jenis pendahuluan ini ditulis dalam bentuk dialog atau ayat penyata.
Contoh:
Menurut Mantan Perdana Menteri, Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, pencemaran alam sekitar berpunca daripada kegiatan pembangunan. Walau bagaimanapun pembangunan tidak boleh dihentikan sama sekali. Tindakan yang perlu dilakukan adalah dengan mengurangkan pencemaran tetapi pada masayang sama meneruskan pembangunan.
iii) Jenis Suasana
Pendahluan jenis ini ditulis bagi menggambarkan sesuatu melalui suasana yang sesuai.
Contoh:
Sesudah seharian membeli-belah di pasar raya, perut pula berkeroncong, sudah tentu tergerak untuk ke restoran. Ketika itu, yang terlintas di fikiran ialah makanan segera seperti KFC ataupun MacDonald. Sebab itulah makanan segera terus dikunjungi oleh orang ramai. Kini, boleh dikatakan, di setiap bandar dan pecan, pasti terdapat restoran makanan segera. Tidak dinafkan, banyak faktor mendorong wujudnya restoran sebegini terutamanya di kawasan bandar.
iv) Jenis Persoalan
Pendahuluan jenis ini ditulis dengan mengemukakan beberapa ayat tanya yang berkaitan dengan tajuk.
Contoh:
Dalam arus pemodenan ini, industri pelancongan menyumbang sumber pendapatan yang besar kepada negara. Mengapakah pelancongan penting kepada negara? Kerajaan mula menitikberatkan pembangunan pelancongan memandangkan keuntungan daripadanyaadalah lumayan. Namun begitu, adakah pembangunan pelancongan membawa kebaikan sahaja? Sebenarnya, pelancongan juga merupakan jalan masuk bagi sindiket-sindiket haram. Peningkatan kadar jenayah ini akan menjejaskan pembangunan negara dalam banyak aspek.
v) Jenis Peribahasa
Pendahuluan jenis ini memerlukan penulis memasukkan satu atau lebih peribahasa Melayu yang sesuai.
Contoh:
Pepatah Melayu ada menyebut, “adat bersaudara, saudara dipertahankan, adat berkampung, kampung dipertahankan, adat bersuku, suku dipertahankan, dan adat bernegeri, negeri dipertahankan. Peribahasa ini menggambarkan semangat hidup kekitaan dalam kalangan masyarakat terdahulu. Walau bagaimanapun, atas nama pembangunan, semangat kekitaan atau kejiranan semakin luput dalam diri masyarakat. Tidak dinafkan, banyak faktor telah menyebabkan terhakisnya semangat tersebut dalam diri individu.
vi) Jenis Sejarah
Pendahuluan jenis ini memerlukan penulis menceritakan latar belakang sejarah dan perkaitan dengan tajuk karangan.
Contoh:
Olahraga merupakan acara sukan asli pertama yang diadakan dalam Sukan Olimpik pada 776 SM. Pada ketika itu, olahraga hanya meliputi acara ‘lumba trek stadium’. Pada pertengahan abad ke-19, satu organisasi formal pertandingan olahraga ditubuhkan. Sejak itu, beberapa pertubuhan atau organisasi olahraga telah ditubuhkan dengan giat di Amerika Syarikat khususnya. Oleh sebab sejarah olahraga di Sukan Olimpik begitu lama, sudah sewajarnya Malaysia memikirkan agenda yang tepat untuk menaikkan mutu sukan negara. Oleh itu, pelbagai usaha boleh dilakukan oleh banyak pihak bagi merealisasikan matlamat tersebut.
vii) Jenis Gabungan
Pendahuluan jenis ini adalah menggabungkan dua atau lebih pendahuluan. Contohnya pendahuluan peribahasa dan sejarah.
Contoh:
Kini, kesesakan lalu lintas merupakan satu masalah yang masih cuba diatasi oleh pihak berkuasa. Kesesakan lalu lintas telah menjadi satu fenomena yang bukan sahaja menyusahkan para pengguna jalan raya, tetapi boleh menimbulkan masalah sosial, pencemaran alam sekitar, dan psikologi kepada penghuni bandar-bandar besar. Kesesakan lalu lintas menjadi cabaran kepada pihak berkuasa tempatan sehingga segala tumpuan dan tenaga telah dicurahkan untuk menangani masalah ini. Keadaan ini bertambah buruk apabila bilangan penduduk serta kenderaan seperti kereta, bas, dan lori bertambah seperti kedatangan kelkatu selepas hujan di kawasan tersebut. Menurut satu rencana yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa menunjukkan Kuala Lumpur telah dilanda sindrom kesesakan lalu lintas yang amat parah. Banyak kenderaan tersadai di jalan raya dan menimbulkan kekucar-kaciran dalam sistem perhubungan dan pengangkutan. Apakah langkah-langkah yang wajar dan drastik perlu diambil untuk membanteras masalah ini? Kempen kongsi kereta yang dilancarkan oleh kerajaan tidak membawa sebarang kesan. Oleh itu, setiap pihak haruslah mengambil inisiatif dan memberi komitmen supaya kesesakan lalu lintas yang semakin menjadi-jadi dapat dikurangkan atau dibendung.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/pendahuluan-karangan/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=pendahuluan-karangan