Pemimpin Politik Wajar Ambil Berat Titah Raja Raja Melayu
Oleh Suzalina Halid 

 IPTI  meminta semua pihak, khususnya pemimpin politik supaya menumpukan  seluruh tenaga kepada usaha mengurus ketidakseimbangan sosioekonomi  masyarakat ketika penularan COVID-19 semakin membimbangkan. - Foto  BERNAMA KUALA LUMPUR: Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI) menggesa  semua pihak, khususnya pemimpin politik supaya menumpukan seluruh tenaga  kepada usaha mengurus ketidakseimbangan sosioekonomi masyarakat ketika  penularan COVID-19 semakin membimbangkan. 
 Timbalan Presidennya, Ismail Mina Ahmad, berkata gesaan itu selaras   dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Pemangku Raja  Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin  Al Mustafa Billah Shah sempena menyambut Maal Hijrah 1443, baru-baru  ini.
Beliau juga mengharapkan semua pihak wajib menerima panduan dan nasihat melalui titah berkenaan dengan hati yang terbuka.
"Semua pihak, terutama pemimpin politik harus menumpukan seluruh  tenaga kepada usaha mengurus ketidakseimbangan sosioekonomi masyarakat  yang amat mendukacitakan.
"Selain memutuskan rantaian wabak COVID-19 yang membimbangkan,  kekusutan isu politik yang semakin berlarutan boleh mengakibatkan  ketidakstabilan negara yang lebih teruk.
 "Justeru, panduan dan nasihat Raja-Raja Melayu yang memberi kesan  signifikan itu wajib dihayati dengan semangat Hijrah dan dibuktikan  secara konkrit dalam tindakan kearifan politik maslahah masyarakat,"  katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 Melalui titah Sultan Ibrahim dan Tengku Hassanal, antara inti  signifikan dan ucapan yang berasingan itu adalah panduan dan nasihat  kepada semua pemimpin politik supaya mengutamakan perpaduan ummah. 
 Selain itu, baginda berdua turut menasihati pemimpin politik supaya  menjaga kestabilan sosiopolitik negara dan bukannya masa untuk  bertelagah serta berebut kuasa, tetapi bersatu dalam membantu rakyat.
Sultan Johor turut meluahkan perasaan kecewa baginda berkaitan situasi perebutan kuasa politik semasa.
 Ismail Mina berkata, semua pemimpin politik perlu menghayati jiwa  Hijrah dengan memberhentikan segera perbalahan dan tindakan perebutan  kuasa politik ketika masyarakat dan negara sedang berada di dalam  keadaan luar biasa. 
 "Dalam keadaan ketika ini ia memerlukan tindakan luar biasa daripada  semua pihak, terutama pemimpin politik yang kelihatan semakin ghairah  dan agresif untuk menguasai koridor kekuasaan.
"Amalan dan tindakan politik demokrasi dalam norma biasa harus  digantikan dengan kaedah kewajipan semasa, justeru IPTI mengharapkan  semua pemimpin politik perlu berjiwa besar dengan menahan sifat amarah  masing-masing.
 "Mereka perlu menjana sifat sabar yang luar biasa dalam keadaan yang  luar biasa seperti sekarang ini, selain perlu memberhentikan segera  segala pergelutan dan perlakuan bersengketa seperti nasihat dan titah  Raja-Raja Melayu itu," katanya.
Katanya, gencatan senjata politik perlu diadakan bagi menjernihkan keadaan yang sudahpun keruh serta mendukacitakan itu.
"Semua pihak, terutama pemimpin politik perlu berganding bahu dengan  badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mengurus masyarakat dan negara  untuk keluar daripada keadaan ketidakseimbangan sosioekonomi ini,"  katanya.   
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/pemimpin-politik-wajar-ambil-berat.html