Pemberian Bantuan Tunai Malaysia Antara Negara Terbaik
Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai
Gambar hiasan Cadangan program RM45 bilion untuk memulihkan ekonomi yang dikemukakan oleh DAP kepada kerajaan adalah menarik dan kesediaan kerajaan menerimanya adalah baik.
Begitupun, kritikan DAP ke atas kerajaan kerana kecenderungan menurunkan bantuan secara menyeluruh seolah-olah keadaan yang runcing telah berlalu dan ekonomi negara kini di dalam proses pemulihan adalah tidak tepat.
Ini kerana graf yang dibuat oleh DAP hanya mengambil kira pemberian wang tunai sebanyak RM80 billion sedangkan sebenarnya hampir RM630 billion kaedah rangsangan telah dikemukakan di dalam beberapa bentuk yang semuanya dimanfaatkan oleh para isi rumah dan peniaga di Malaysia.
Mengapa kadar pemberian tunai semakin menurun ialah kerana kerajaan telah semakin tersekat di dalam membuat pinjaman disebabkan Parlimen hanya meluluskan had pinjaman sebanyak 60% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang turut menyusut disebabkan kesan kegawatan ini.
Kini kerajaan telah menetapkan akan meningkatkan had pinjaman kepada 65% dari KDNK. Ini tentunya menjanjikan tambahan peruntukan bantuan tunai sebanyak lebih dari RM60 billion lagi yang pasti akan diumumkan selanjutnya.
Jadual perbandingan bantuan tunai antara negara yang dibuat oleh DAP juga mungkin tidak begitu tepat kerana ia hanya membandingkan angka kasar bantuan oleh setiap kerajaan di negara berkenaan.
Jika diambil kira bantuan per kapita, mengambil kira bilangan rakyat dan bantuan khusus yang diterima, pastinya Malaysia adalah antara negara terbaik di dalam pemberian bantuan.
Apa lagi jika kuasa beli pariti diambil kira bila membandingkan dengan negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun, Jerman, Brazil, Itali dan Perancis, pastinya Malaysia telah melakukan yang terbaik.
Cadangan menambahkan keupayaan Kementerian Kesihatan amat dialukan. Pelaburan di dalam alat ujian pengesanan virus COVID-19 amat diperlukan kerana kita perlu segera mengasingkan kumpulan isi rumah yang terjangkit dengan yang sihat. Ini merupakan asas fundamental di dalam usaha menangani gejala ini.
Saya merasakan jika kita dapat memastikan orang yang mempunyai gejala dikurung di dalam rumah atau dirawat di hospital, kita boleh membuka ekonomi dan kehidupan sosial kita dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada.
Tidak perlulah kita membezakan sektor perlu atau genting dan sektor lainnya. Semua aktiviti ekonomi perlu boleh dikendalikan serta merta untuk memulihkan ekonomi kita serta merta.
Pengwujudan berpuluh hotel yang kosong dan di dalam proses penjualan boleh menjadi asas untuk membentuk industri e-housing. Ini boleh diinisiasikan secara swasta dengan sokongan kerajaan bagi memastikan semua isi rumah di Malaysia mempunyai bumbung untuk menginap.
Bantuan kepada peniaga mikro dan peniaga kecil perlulah bersasar untuk menyediakan mereka menghadapi era perniagaan baru selepas kegawatan selesai.
Penambahan nilai bantuan kepada kumpulan miskin tegar dan kumpulan yang hilang sumber pendapatan amat dialu-alukan. RM 2,500 adalah angka yang sesuai kerana itulah tahap kos sara hidup minima di Malaysia.
Pemberian pinjaman moritarium tanpa faedah untuk kumpulan yang benar-benar memerlukan boleh dipertimbangkan. Mungkin bank dan kerajaan boleh berkongsi kos di dalam membiayai kos pinjaman ini.
Penyelesaian akhirnya ialah untuk menggunakan institusi khusus seperti model Dana Harta dahulu untuk menangguhkan pinjaman bagi satu tempoh yang lebih panjang dari 6 bulan.
Ekonomi Malaysia perlu dibuka serta merta dengan kawalan ketat hanya membenarkan orang yang sihat untuk keluar rumah dan menjalankan aktiviti biasa di dalam ekonomi.
Jika kawalan dan hukuman ingin dikuatkuasakan, kumpulan orang yang mempunyai gejala COVID-19 yang mencuri keluar rumah inilah yang sepatutnya didenda dengan banyak. Namun, perlu ada satu kumpulan sukarela yang akan membantu kumpulan bergejala ini untuk menjalani kehidupan normal dari rumah.
Sebenarnya, kegawatan ekonomi disebabkan oleh pandemik COVID-19 ini telah memberikan rahmat yang penting kepada negara. Ia telah menonjolkan betapa runcingnya pengagihan kekayaan dan pendapatan di negara ini.
Isi rumah di Malaysia boleh dibahagi kepada tiga golongan yang sangat jelas iaitu kumpulan elit dan kaya yang kurang dari 10%, kumpulan miskin tegar kira kira 20% dan kumpulan menengah yang meliputi 70% isi rumah.
Kegawatan ekonomi kini telah lebih jelas mendedahkan sifat dan kewujudan tiga kumpulan isi rumah yang sangat nyata ini. Kini terpulanglah kepada kerajaan untuk mengorak semula sistem ekonomi bagi menangani ketiga kumpulan isi rumah ini dengan adil.
Saya yakin apa yang diperlukan ialah untuk kita merombak semula struktur ekonomi kita. Sistem ekonomi bebas – berasaskan model ASM (Anglo Saxon Model) sudah berlalu. Hampir semua negara di dunia menyedari kepentingan menjaga kesejahteraan rakyat marhaen sebagai tonggak utama di dalam pengurusan ekonomi.
Mungkin kita boleh melihat model ESM (European Social Model) yang lebih sejahtera seperti yang diamalkan oleh Norway, Sweden, Denmark, Finland dan lain-lain.
Lebih baik dari itu, mungkin sudah tiba masanya kita kembali memperkenalkan Sistem Ekonomi Islam sejati. Kebelakangan ini sudah banyak ditonjolkan bagaimana ekonomi Barat yang diasaskan oleh Adam Smith, Ricardo dan John Maynard Keynes dan lain-lain di tahun 1600-an adalah merupakan ciplakan dari prinsip ekonomi yang diasaskan oleh pemikir Islam seperti Imam Al-Ghazali, Ibnu Khaldun dan Ibnu Taimiyyah di awal tahun 1110-an.
Apa yang membezakan mereka ialah ekonomi Islam adalah berteraskan kepada gelagat dan tabiat isi rumah (manusia). Ia adalah berteraskan kepada prinsip adab, akhlak dan aspek etika yang perlu menjadi tonggak.
Misalnya sedang ekonomi konvensional sibuk mengurus sumber yang terhad untuk cemerlang, ekonomi Islam adalah berasaskan pada prinsip sumber ekonomi yang melimpah luas dijanjikan oleh Allah.
Tempoh kegawatan ini boleh digunakan untuk kita sama-sama memikir bagaimana kita boleh menstrukturkan ekonomi kita secara cukup halus dan berkesan bagi mencapai matlamat jangka panjang menjadi sebuah masyarakat yang sejahtera dan bahagia keseluruhannya. AGENDA DAILY
(*) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai - Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/pemberian-bantuan-tunai-malaysia-antara.html