Pekerja Asing Ada Permit Boleh Kembali Bekerja Ismail Sabri
Bernama                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Menteri  Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sidang Dewan  
Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,             KUALA LUMPUR – Pekerja asing yang mempunyai permit dan berada di  Malaysia dibenarkan kembali bekerja apabila sektor mereka beroperasi  semula, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail  Sabri Yaakob.
Beliau berkata, kebenaran itu tertakluk kepada syarat yang memerlukan  mereka menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum kembali bekerja.
Keputusan ini dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri  Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini, katanya pada sidang  media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini  hari ini.
Menyentuh mengenai aplikasi MySejahtera, Ismail Sabri berkata,  sehingga kini, seramai 6.2 juta pengguna telah memuat turun dan  mengaktifkan aplikasi itu selain 254,833 premis perniagaan yang turut  mendaftar.
Namun, katanya masih terdapat premis perniagaan yang tidak  menyediakan QR Code MySejahtera dan hanya menyediakan QR Code aplikasi  yang dibangunkan pihak lain.
“Kerajaan ingin menggesa pihak pengusaha perniagaan untuk mendaftar  dengan aplikasi MySejahtera bagi memudahkan usaha kerajaan membendung  jangkitan COVID-19,” katanya.
Sementara itu, seramai 1,623 pendatang tanpa izin, 526 tekong serta  110 penyeludup ditahan menerusi Operasi Benteng sejak 1 Mei lepas hingga  semalam.
Ismail Sabri, berkata pihak berkuasa juga menahan 59 bot dan 161  kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara.
“Semalam, Polis Diraja Malaysia membuat 67 sekatan jalan raya Operasi  Benteng di seluruh negara dan memeriksa 39,183 kenderaan bagi mengekang  kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong tikus dan berjaya  menahan lima warganegara asing atas kesalahan imigresen,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, 68 individu ditahan semalam  atas kesalahan ingkar arahan PKPP, dan daripada jumlah itu, 14 individu  direman manakala 54 lagi dikompaun. – Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/pekerja-asing-ada-permit-boleh-kembali.html