19 111 Pati Sudah Dihantar Pulang Kata Ismail Sabri
 FMT Reporters

Menteri  Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat 7 Julai  kerajaan 
sudah menghantar pulang lebih 19,111 PATI ke negara asal  masing-masing.PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari  ini memaklumkan, sehingga 7 Julai lalu seramai 19,111 pendatang asing  tanpa izin sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
“Tiga negara tertinggi yang terlibat adalah Indonesia seramai  (8,575), Bangladesh (2,584) dan Myanmar (1,890),” katanya dalam  kenyataan, hari ini.
Ismail turut memaklumkan, polis menahan dan mengeluarkan kompaun ke  atas 36 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan  pergerakan pemulihan (PKPP).
“Ia melibatkan sukan sentuh (18 individu), aktiviti  melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (2)  serta aktiviti yang melanggar SOP (16 individu),” katanya.
Tambahnya, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai polis  membuat 64,434 pemeriksaan sejak semalam bagi memantau dan  menguatkuasakan pematuhan SOP PKPP.
“Sebanyak 2,630 pasukan pematuhan yang melibatkan 12,396 anggota  membuat pemantauan di 3,949 pasar raya, 5,673 restoran serta 1,977  penjaja, 1,159 kilang, 3,718 bank dan 901 pejabat kerajaan.
“Juga 1,302 terminal pengangkutan darat, 248 terminal pengangkutan  air serta 93 terminal pengangkutan udara sudah dipantau oleh pasukan  petugas,” katanya.
Ismail berkata, polis sendiri sudah membuat pemantauan pematuhan SOP  solat Jumaat dan sebanyak 2,507 buah masjid yang melibatkan 287,296  jemaah dipantau.
   “Hasil pemantauan mendapati bilangan jemaah adalah mengikut kapasiti masjid serta mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.
Garis panduan pentaksiran sekolah
Pada masa sama, Ismail berkata, Mesyuarat Khas Menteri-menteri  Mengenai PKP bersetuju dengan pembentangan Kementerian Pendidikan  Malaysia (KPM) mengenai garis panduan pengurusan pentaksiran di sekolah.
Jelasnya, antara kandungan garis panduan yang dipersetujui adalah  pentadbir sekolah perlu menyusun jadual pentaksiran pusat mengikut  kesesuaian berdasarkan takwim peperiksaan yang dikeluarkan oleh KPM.
“Guru perlu merancang pelaksanaan pentaksiran pusat berdasarkan  kesediaan murid untuk ditaksir dan menjadualkan semula pentaksiran jika  terdapat murid yang bergejala.
“Guru juga perlu memberi penekanan kepada aspek penjarakan sosial,  kebersihan dan keselamatan semasa proses pentaksiran dilaksanakan,”  katanya.
Tambah Ismail, bagi pengendalian peperiksaan awam pula, ia perlu  mengambil kira pertambahan bilangan bilik yang digunakan untuk  peperiksaan apabila penjarakan sosial dilaksanakan.
“Jika terdapat calon bergejala serius, pihak sekolah perlu  menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan nasihat  untuk tindakan selanjutnya serta memaklumkan kepada ibu bapa atau  penjaga.
“Ketua pengawas peperiksaan perlu memastikan semua urusan  pengendalian peperiksaan awam di pusat peperiksaan dan di luar pusat  peperiksaan mengambil kira penjarakan sosial, kebersihan dan  keselamatan,” katanya.
Pemeriksaan di tapak pembinaan
Ismail juga berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia  (CIDB) membuat pemeriksaan di 30 tapak binaan di seluruh Malaysia yang  melibatkan 62 penguat kuasa.
“Pemeriksaan CIDB mendapati 26 tapak binaan patuh SOP ditetapkan,  manakala 4 tapak binaan tidak beroperasi. Jumlah kumulatif tapak binaan  yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,972 tapak binaan.
“Manakala itu, 525 tapak binaan lagi tidak patuh SOP dan diberi  amaran. Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan ditutup  kerana tidak mematuhi SOP,” katanya
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/19111-pati-sudah-dihantar-pulang-kata.html