Serpihan Disyaki Jatuh Dari Angkasa Ditemui Di Pantai Nenasi

PEKAN – Serpihan objek dipercayai jatuh dari angkasa ditemui di kawasan Pantai Kampung Tanjung, Nenasi, di sini, sekali gus mencetuskan perhatian orang ramai.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan objek tersebut daripada pegawai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kira-kira jam 5 petang semalam.
Menurut beliau, hasil siasatan awal oleh MOSTI mendapati objek berkenaan dipercayai jatuh di laut sebelum dihanyutkan arus ke kawasan pantai terbabit.
“Serpihan objek itu berukuran kira-kira 4.26 meter panjang dan 3.64 meter lebar, selain terdapat teritip, iaitu hidupan marin, melekat di sekelilingnya,” katanya ketika dihubungi.
Bebas Radiasi, Dipindahkan Ke Balai Polis
Mohd Zaidi memaklumkan, siasatan turut dijalankan oleh Bahagian Penguasa Angkasa MOSTI, Jabatan Tenaga Atom Malaysia serta Agensi Angkasa Malaysia.
“Hasil ujian dan siasatan mengesahkan objek tersebut bebas daripada sebarang unsur radiasi,” jelasnya.
Beliau berkata, objek itu telah dipindahkan sementara ke Balai Polis Nenasi bagi tujuan keselamatan dan siasatan lanjut, sebelum diambil oleh agensi berkaitan.
Tambahnya, berat serpihan tersebut dianggarkan mencecah sekitar 500 kilogram.
Orang Ramai Diminta Berwaspada
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya menemui sebarang serpihan objek mencurigakan, khususnya yang disyaki berkaitan angkasa lepas.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa satelit milik China pernah terjatuh ke bumi antara tahun 2018 hingga 2022, dengan serpihannya ditemui di beberapa lokasi termasuk Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.
Antara yang pernah dilaporkan ialah satelit Tiangong-1 pada 2018 dan roket Long March 5B pada 2022, dengan serpihan dipercayai ditemui terapung di perairan Sarawak serta Kalimantan, Indonesia. – The Malaysian Update
The post Serpihan Disyaki Jatuh Dari Angkasa Ditemui Di Pantai Nenasi appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2026/01/01/serpihan-disyaki-jatuh-dari-angkasa-ditemui-di-pantai-nenasi/