92 Individu Termasuk 14 Pati Ditangkap Ismail Sabri
Manzaidi Mohd Amin                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Ismail Sabri Yaakob              KUALA LUMPUR – Seramai 92 individu termasuk 14 Pendatang  Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan polis dalam dua operasi berkaitan  Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
Penahanan itu dibuat atas kesalahan melanggar prosedur operasi  standard (SOP) PKPP menerusi Task Force Operasi Pematuhan dan kesalahan  Imigresen dalam Operasi Benteng di pintu masuk sempadan.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail  Sabri Yaacob, daripada 78 individu yang ingkar arahan PKP, 42 dikenakan  kompaun, manakala seorang direman dan 35 individu lagi dibebaskan dengan  jaminan polis.
“Menerusi Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis, sebanyak  64,303 pemeriksaan telah diadakan bagi memantau dan menguatkuasa  pematuhan SOP PKPP.
“Dalam jangka masa 24 jam, 78 individu ditahan kerana kesalahan  ingkar PKP termasuk aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang  menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar SOP,” katanya  dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mengenai Operasi Benteng yang melibatkan polis, tentera, Maritim  Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM), Ismail Sabri  berkata, mereka mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada  dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat  penularan wabak Covid-19.
Katanya, sebanyak 67 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh  negara diadakan dan memeriksa 40,495 kenderaan bagi mengekang kemasukan  Pati terutamanya di lorong tikus.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak cuba  memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan  mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya.
Mengenai penyiaran berita palsu berkaitan Covid-19, beliau  menyatakan, sehingga semalam, sebanyak 266 kertas siasatan dibuka oleh  polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Dari jumlah itu, kata beliau, sebanyak 172 masih dalam siasatan,  manakala 30 kes telah didakwa di mahkamah, 12 lagi diberikan notis  amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 mengaku bersalah.
“Tiada pertambahan kertas siasatan baharu dibuka oleh polis dan SKMM  dalam tempoh lebih dua bulan yang lepas dan ini menunjukkan kesedaran  masyarakat terhadap penyebaran berita palsu telah meningkat.
“Namun, polis dan SKMM sedang dalam proses penilaian beberapa laporan  yang diterima berkenaan berita palsu mengikut peruntukan undang-undang  sedia ada.
“Pihak berkuasa ini akan terus membuat pemantauan ketat terhadap dan  kerajaan memandang serius serta tidak akan berkompromi dengan penyebaran  berita palsu,” katanya.
Pada masa sama, Kata Ismail Sabri, sebanyak 352 penafian dan  penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai  oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membendung penyebaran berita palsu  Covid-19.
Beliau mengingatkan orang ramai berhati-hati sebelum menyebarkan  sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan  maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my  untuk menyemak kesahihan berita. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/92-individu-termasuk-14-pati-ditangkap.html