Ohzarina Cara Menjadi Penganggur Yang Berjaya
Apa yang nak dikongsikan adalah perkara yang dapat anda lakukan untuk menjana pendapatan walaupun hanya dilakukan di rumah.
Jangan sekat kreativiti
Jika dilihat, banyak peluang pekerjaan ditawarkan tetapi graduan tidak pandai mengambil peluang yang ada. Faktor terlalu memilih dan merasakan mereka layak untuk mendapat pekerjaan lebih baik tanpa menyedari bahawa diri tiada pengalaman, sedikit sebanyak mendorong kepada isu pengangguran.
Sebenarnya, kita tidak perlu bergantung kepada sektor pekerjaan sedia ada semata-mata kerana terdapat pelbagai cara lain boleh dibuat untuk menjana pendapatan. Percaya atau tidak, ramai peniaga atas talian seperti blog, Facebook dan laman sosial lain bermula dengan bisnes kecil-kecilan. Usia muda penuh dengan kreativiti dan idea menarik, berstatus penganggur adalah waktu paling tepat untuk merealisasikan idea ini sebelum anda diterima bekerja dengan organisasi lain pada masa akan datang.
Sebagai contoh, anda boleh memulakan perniagaan sendiri dengan menggunakan ilmu yang dipelajari ketika menuntut di universiti. Ini kerana, graduan siap sedia dilatih dengan ilmu semangat keusahawanan yang membolehkan kita berniaga sendiri yang ternyata mampu membawa keuntungan tanpa bergantung kepada majikan kerana kepuasan sebenar adalah atas hasil usaha sendiri.
Bisnes atas talian
Boleh dikatakan hampir 99 peratus remaja mempunyai laman sosial sendiri dan umum mengetahui manfaat laman sosial ini untuk berhubung dengan orang lain di seluruh dunia.
Apa kata dengan kebaikan Internet ini, anda mulakan perniagaan sendiri. Mungkin fikiran celaru dan tidak tahu bagaimana nak memulakannya, segala cara perniagaan juga anda boleh pelajari di internet.
Modal adalah perkara penting untuk memulakan bisnes, apatah lagi berstatus penganggur, pastilah kita tiada duit untuk memulakan perniagaan.
Penulis berpendapat, anda boleh memulakan perniagaan dengan menjual baju terpakai ataupun dipanggil ‘pre-loved item’ di laman web, tanpa mengeluarkan sebarang duit, dengan cara ini anda boleh membentuk jaringan pelanggan untuk kembangkan bisnes dengan produk lain pada masa akan datang.
Selain itu, mungkin ada di antara anda yang gemar membuat kuih, kek cawan, kek ataupun hasil jahitan tangan ketika bosan di rumah.
Hobi pada masa lapang ini boleh dijadikan bisnes kecil-kecilan. Iklankan hasil kerja tangan anda tak kiralah sama ada makanan, pakaian ataupun kad ucapan, pastinya akan ada orang yang membelinya.
Cikgu tuisyen
Bagi sesiapa yang kurang berminat untuk duduk menghadap skrin komputer selama berjam-jam dengan menjual barang, anda boleh gunakan kemahiran dan pengetahuan yang ada untuk memperoleh wang saku bulanan.
Tidak salah sekiranya anda membuka kelas tuisyen di rumah ataupun menjadi guru tadika di kawasan tempat tinggal. Selain memperoleh duit poket hasil usaha sendiri anda juga dapat menimba pengalaman baru.
Penganggur yang sedang menanti pekerjaan sesuai memang senang untuk menjana duit poket.
Bisnes yang paling menguntungkan ialah bisnes yang kita tidak perlu bersusah payah memberitahu orang lain tetapi mereka akan datang kepada anda disebabkan perkhidmatan diberikan terbaik dan memudahkan orang lain.
Jika anda lakukan kelas tuisyen di rumah, persaingan mungkin kecil kerana tidak ramai yang membuka kelas tambahan di rumah terutama di kawasan luar bandar.
Dari segi kos pula, mungkin pada peringkat awal anda perlu membeli beberapa buku panduan tetapi ia berbaloi kerana pendapatan guru tuisyen juga boleh mencecah ribuan ringgit jika anda komited dan tahu pelbagaikan perkhidmatan.
Cari pendapatan sampingan, tiada yang mustahil dalam dunia ini. Meskipun anda berstatus penganggur, anda boleh cari duit sampingan.
Contohnya, menulis juga mampu menjana pendapatan. Banyak lagi bisnes yang boleh dibuat melalui atas talian tapi pastikan ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh bukannya separuh jalan. Jadilah penganggur yang produktif. Teruskan usaha!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ohzarina.blogspot.com/2014/05/ohzarina-cara-menjadi-penganggur-yang.html