Naratif Dakwa Adib Tak Dibunuh Salah Tidak Adil Pada Keluarga
Siti Hafidah
Harap polis terus usaha tangkap pembunuh walaupun sukar									  	 	   

		 			 			BANGI – Usaha menuntut keadilan di atas kematian anggota bomba, Allahyarham  Muhammad Adib Mohd Kassim mesti diteruskan meskipun menemui jalan sukar  serta memakan tempoh masa yang lama.
Justeru, Pengasas Gabungan Peguam  Malaysia (MLC), Lukman Sheriff Alias berharap pihak polis tanpa berputus  asa akan menangkap pembunuh Muhammad Adib.
“Saya boleh faham kesukaran mencari  pembunuh kes Adib. Untuk mencari pembunuh dalam rusuhan yang berlaku  tahun 2018 sekarang ini bukannya mudah.
“Kesukaran ini saya boleh hargai. Tetapi  usaha mencarinya mesti tetap dibuat. Jenayah ini tiada batasan tempoh.  Kita usaha mencari keadilan ke atasnya walaupun sukar dan lama,” katanya  dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, walaupun pembunuh Muhammad Adib masih lagi belum ditemui, tidak bermakna tiada kejadian membunuh.
“Tidak menemui saksi terus (direct  witness) sekarang tidak bermakna tiada pembunuh. Semua fakta sudah  dipertimbangkan dan diputuskan dalam inkues.
“Hujah demi hujah sudah pun dikemukakan  dan keputusan dibuat. Segala percanggahan sudah pun dileraikan. Maka  dapatan koroner tidak harus dan boleh dipertikaikan kecualilah ada bukti  lain.
“Setakat ini tiada yang berlainan dan  baharu yang diumumkan. Mana-mana naratif yang menggambarkan dia tidak  dibunuh adalah salah, dusta dan tidak adil kepada keluarga mangsa dan  orang awam,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau turut berharap pihak berkuasa tidak memberi penerangan mengelirukan mengenai kematian anggota bomba itu.
“Tetapi tidak boleh terima jika cuba  menggambarkan tiada pembunuhan. Ini terlalu salah. Ada beza tidak dapat  cari pembunuh dan tiada pembunuhan. Penerangan perlu jelas dan tidak  mengelirukan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri  Abdul Hamid Bador menyangkal dakwaan keluarga Allahyarham Muhammad Adib  bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menghormati dan mengeluarkan  kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.
Katanya, tiada fakta yang terpesong,  tidak benar dan menyimpang dalam sidang media yang dibuat pada 10 Julai  lalu yang mengatakan tiada seorang pun saksi yang nampak Muhammad Adib  dipukul termasuk dua anggota bomba yang berada dekat dengan Allahyarham.
Terdahulu, barisan peguam yang mewakili  keluarga Muhammad Adib berkata, tidak adil Abdul Hamid merumuskan tiada  keterangan yang dapat mengaitkan pembunuhan anggota bomba itu hanya  kerana dua pegawai bomba yang bersama mangsa pada malam kejadian  mengatakan mereka tidak nampak apa yang berlaku.
“Dakwaan ini sudah dijawab dalam inkues  dan tindakan Abdul Hamid menimbulkan semula perkara ini menunjukkan PDRM  tidak meneliti dan tidak faham kronologi kejadian kes ini berdasarkan  keterangan dan bukti yang ada.
“Ketika Muhammad Adib ditarik dan  diserang, dia berada dalam keadaan separa sedar akibat kecederaan  disebabkan hentakan kuat yang mematahkan tulang rusuknya dan adalah  mustahil untuk arwah mempertahankan dirinya ketika beliau ditarik dan  diserang sekali gus menjelaskan mengapa tiada sebarang kesan kecederaan  mempertahankan diri pada tubuhnya,” katanya.
Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai  anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya,  parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada  27 November 2018.
Beliau bagaimanapun meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari menerima rawatan.
Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah  Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat  perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak  diketahui. 			 		
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/naratif-dakwa-adib-tak-dibunuh-salah.html