Nak Bantu Anak Bercakap Guna Makanan Pun Boleh Pakar Ini Jelaskan Caranya
Perkataan pertama yang keluar daripada mulut anak buatkan mama papa rasa sangat teruja. Tapi ada juga sesetengah kanak-kanak yang mempunyai masalah lambat bercakap. Hal itu sering membuatkan ibu bapa risau.
Sebenarnya ada banyak cara untuk rangsang anak-anak mula bercakap. Salah satunya adalah melalui makanan. Mungkin ramai yang tidak tahu mengenai perkara ini. Justeru perkongsian oleh Noriza Dahalan tentang membantu anak dengan makanan sangat menarik untuk diketahui.
Hai mommy daddy! Betul ke makan ada kaitan dengan bercakap ni? Mesti ramai nak tahu kan? Okay jom saya nak terangkan.
Kita semua makan menggunakan mulut, apabila nak bercakap pun kita gunakan mulut. Cuba buat dua perkara ni:
Sebut perkataan ”BOTOL”
2. Bayangkan anda sedang menyedut air boba yang sedap dari straw
Kalau anda dah buat kedua-dua perkara ni, saya nak anda fikir, sedar tak bentuk mulut anda semasa melakukan kedua-dua aktiviti ni adalah sama? Pipi anda melengkung ke dalam manakala bibir pula muncung ke depan. Sebenarnya kita menggunakan bahagian oral motor yang sama untuk melakukan kedua-dua perkara ni iaitu semasa makan, minum dan bercakap.
Apa itu oral motor?
Oral motor adalah bahagian di mulut yang merangkumi bibir, lidah, pipi & rahang. Bahagian-bahagian oral motor ini yang akan terlibat semasa makan, minum & bercakap. Ia menggunakan oral motor yang sama dan boleh dikatakan perkembangan oral motor ini selari dengan perkembangan dalam kemahiran makan. Bahagian-bahagian oral motor ini perlu dilatih supaya dapat digunakan dengan baik. Anda kena ingat, makan bukan hanya bertujuan untuk merasa kenyang, tetapi ianya juga penting dalam melatih bahagian oral motor. Pergerakan seperti mengunyah dan menggigit dikaitkan dengan perkembangan pertuturan. Ini bermakna, sekiranya bahagian oral motor tidak dilatih, ianya sekaligus dapat mempengaruhi skil anak bercakap di kemudian hari.
Bagaimana untuk melatih oral motor dengan makanan?
Untuk pengetahuan anda, tekstur makanan yang berbeza diperlukan untuk perkembangan oral motor. Sebab itu la, anda semua tidak digalakkan untuk beri anak sesuatu tekstur makanan terlalu lama. Ia boleh menyebabkan:
– Gangguan perkembangan oral motor anak kerana kurang dilatih
– Menyebabkan bayi sukar dan tidak mahu menerima rasa dan tekstur baru
– Menyebabkan kelewatan dalam kemahiran mengunyah dan perkembangan otot
Apa peranan lidah?
Adakah anda tahu, lidah memainkan peranan yang penting dalam skil makan dan bercakap kerana ianya termasuk dalam bahagian oral dan perlu dilatih? Bagaimana kita nak latih lidah ni? Makananlah yang akan melatih penggunaan lidah. Sebab itu ada pertukaran tekstur makanan sehingga anak mampu mengigit, mengunyah, menahan makan daripada terkeluar dari mulut dan menelan.
Kedudukan lidah di tempat yang berbeza di dalam mulut akan menghasilkan bunyi yang berbeza. Tak percaya? Cuba sebut huruf T, D, S, K, L, N, R. Dapat tak rasa dengan jelas lidah anda berada di tempat yang berbeza semasa menyebut setiap huruf-huruf tu? Bunyi yang dikeluarkan juga berbeza mengikut kedudukan lidah dan pergerakkan bibir, pipi dan rahang. Sebab itu la, penting agar anak anda diperkenalkan dengan perubahan tekstur dari cecair ke pepejal pada umur yang sesuai.
Apa kebaikan tekstur makanan yang diperkenalkan?
Cecair – Puri – Kisar halus
Untuk bayi baru lahir, mereka hanya dapat menghisap dan menelan dan serta mempunyai sistem pencernaan yang belum matang. Pergerakan rahang dan lidah yang digunakan dalam penyusuan membantu melatih bayi untuk mengunyah. Biasanya sekitar empat hingga enam bulan, bayi mempunyai kawalan rahang dan bibir yang lebih baik. Jadi mereka mampu menggerakkan lidah ke atas, bawah dan depan yang mana membolehkan mereka lebih mudah untuk menghisap, mengunyah dan memindahkan makanan ke bahagian belakang mulut untuk ditelan. Semasa perkembangan kanak-kanak terus meningkat, mereka belajar lebih banyak kawalan oral motor. Semuanya adalah proses yang berterusan dan akan mengembangkan skil pertuturan anak.
Dilecek – Kisar kasar – Separa pepejal
Menawarkan makanan dalam tekstur ini kepada anak anda dapat melatih anak mengunyah dan perkembangan otot di mulut seperti pergerakan pada rahang. Ianya boleh juga digabungkan bersama-sama dengan puri kegemaran anak anda kerana menghisap, menggigit, mengunyah adalah tingkah laku yang penting dan akan membantu anak anda sedar tentang kemampuan mulutnya untuk bergerak dan berubah.
Pepejal / “Finger food”
Makanan dalam bentuk pepejal atau “finger food” membantu dalam perkembangan dan menguatkan otot rahang, bibir dan lidah yang diperlukan ketika bercakap. Bibir juga penting kerana membantu mengawal makanan di dalam mulut supaya tidak terkeluar dan ianya penting untuk bunyi yang dihasilkan dengan bibir seperti menyebut huruf M, B, P, O, V, Y. Oleh yang demikian, sekiranya bahagian oral ini tidak dilatih, ianya menyebabkan anak sukar untuk menyebut perkataan dan meningkatkan risiko anak lambat bercakap.
Cara Memperkenalkan Pelbagai Tekstur Makanan
Pertukaran tekstur makanan ni jangan terus mendadak. Anda boleh cuba cara menggabungkan tekstur dahulu supaya anak dapat menerima pertukaran ini secara perlahan-lahan. Contohnya kalau nak tukar dari puri ke makanan yang dilecek, cuba gabungkan sedikit makanan yang dilecek ke dalam puri tersebut supaya anak masih dapat rasa tekstur puri tetapi akan ada sedikit tambahan tekstur lain. Jadi anak tak terkejut dengan pertukaran tekstur makanan tersebut. Lama-kelamaan, cuba tingkatkan tekstur makanan dilecek lebih banyak dari tekstur puri dan seterusnya 100% dalam tekstur dilecek
Selain itu, sekiranya anda beri anak makan 3 kali sehari, anda boleh cuba berikan anak 1 hidangan makanan dalam bentuk yang tekstur dilecek, 2 hidangan lagi dalam tekstur puri. Kemudian tukar pada 2 hidangan makanan dalam tekstur dilecek dan 1 hidangan makanan dalam tekstur puri sehinggalah anda berjaya menukarkan ketiga-tiga hidangan makanan sehari dalam bentuk tekstur dilecek.
Sekiranya anak menunjukkan reflek seperti muntah, jangan putus asa dan terus berhenti cuba perkenalkan tekstur makanan yang baru pada anak. Untuk mahir dalam sesuatu perkara, kita perlu ada pengulangan. Anda kena sentiasa ingat, makanan anak anda perlu ada pertukaran tekstur supaya dapat melatih oral motor anak. Anda perlukan kesabaran dan usaha yang berterusan. Teruskan mencuba.
Percayalah, pasti anda akan nampak hasil daripada usaha dan penat lelah anda dalam menyediakan makanan untuk anak. Usaha anda tak pernah sia-sia. You can do it!
Noriza Dahalan Merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan dengan Kepujian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2016. Telah berkecimpung dalam bidang pemakanan kanak-kanak yang mempunyai masalah seperti picky eater, berlebihan & kurang berat badan di Aishah Kassim Academy pada awal tahun 2018.
Sumber: Noriza Dahalan
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
The post Nak Bantu Anak Bercakap Guna Makanan Pun Boleh, Pakar Ini Jelaskan Caranya! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/nak-bantu-anak-bercakap-guna-makanan-pun-boleh-pakar-ini-jelaskan-caranya/