Mujahid Rayu Umno Sokong Anwar
(Suara TV) – Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa mendakwa UMNO telah menjadi mangsa kumpulan ‘pembelot’ dalam Kerajaan Perikatan Nasional.
Dalam artikel terbaharu bertajuk ‘Membuang Sial Langkah Sheraton’ yang dimuat naik di Facebooknya hari ini, beliau mengajak UMNO untuk bersama-masa Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.
Mujahid berkata, ‘mangsa pembelot’ masih ada ruang untuk melakukan sejarah dengan bersama membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan majoriti yang kukuh.
“Kunci memimpin pemulihan besar-besaran negara kini berada di genggaman DSAI dan 91 MP yang solid bersamanya.
“Para pembelot telah dikenali rakyat manakala mangsa-mangsa pembelot masih ada ruang untuk melakukan sejarah dengan bersama membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan majoriti yang kukuh.
“Saya merayu rakan-rakan Ahli Parlimen rentas politik kepartian supaya kali ini marilah kita berganding bahu membina ketahanan negara di waktu krisis ini,” kata Mujahid.
Menurut Mujahid, UMNO sebagai mangsa sedar bahawa jika mereka terus bersama pembelot bahana ketulahan sumpah sheraton akan menghantui parti itu.
“Sebab itu kita dapati suara UMNO dah mula lantang mengkritik hubungan pelik antara mereka dan TSMY. Mereka sokong kerajaan PN tetapi enggan memetrai perjanjian.
“Pada awal langkah sheraton, niat mereka ialah mahukan parlimen dibubarkan awal untuk membuka jalan kepada PRU.
“Tetapi apabila opsyen itu tertutup mereka ambil sikap menyokong PN tetapi dalam keadaan penuh berhati-hati sambil bergelut memahami kesetiaan PAS dalam MN yang main kayu tiga dengan PN,” kata Mujahid.
Mujahid turut mendakwa langkah Anwar menggamit kesedaran dari kelompok yang menyokong pembelot dan mereka perlu keluar dari sumpahan Sheraton bagi menstabilkan keadaan dari ketidaktentuan yang berlaku.
Justeru katanya, UMNO perlu sedar bahawa demi survival politik, parti itu perlu bangkit dalam keadaan bermaruah dan tidak diperbudakkan oleh parti hingusan seperti Bersatu.
“Tapak UMNO masih kukuh, mereka ada masa untuk reboot dan kembali berpencak di medan demokrasi untuk membetuli keadaan.
“Tidak masuk akal untuk kekal disumpah ‘sial sheraton’ sedangkan DSAI berusaha keras membuangnya. Negara memerlukan MP-MP untuk membentuk satu majoriti yang lebih kukuh dan kerajaan yang stabil dengan sokongan rentas kepartian,” kata Mujahid.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2020/10/18/mujahid-rayu-umno-sokong-anwar/