Apa Hukum Makan Katak

Tidak terdapat ayat al-Quran menyebut tentang haram makan
katak. Jika meneliti nas dan dalil daripada hadis tentang hukum makan katak
didapati Rasulullah SAW tidak pernah menjelaskan hukum yang jelas tentang makan
katak. Sebaliknya yang ada ialah hadis larangan membunuh katak.
Dalam satu hadis disebutkan daripada Abu Hurairah katanya
bahawa Rasulullah telah menegah daripada membunuh surah (sejenis burung),
katak, semut dan pelatuk. (Riwayat Ibn Majah)
Dalam hadis lain disebutkan Rahman bin Uthman berkata telah
menyebut seorang ahli perubatan berada di sisi Rasulullah dan dia telah
menyebut katak akan dijadikan ubat, maka Rasulullah melarang membunuhnya.
(Riwayat Ahmad)
Dalam sebuah hadis lagi disebutkan: "Daripada Abdul
Rahman bin Uthman bahawa Rasulullah telah melarang membunuh katak. (Riwayat
Nasai)
Ada juga hadis yang menyebut bahawa suara katak pada musim
hujan merupakan tasbih kepada Allah. Berdasarkan hadis itu menyebabkan ada ulama
termasuk Imam Syafie berijtihad dan menganggap kerana Rasulullah melarang
membunuh katak, maka hukum makannya pun haram.
Bagaimanapun, ketiga-tiga hadis melarang membunuh katak
serta beberapa hadis yang menyebut bahawa katak itu sebagai tasbih kepada Allah
adalah hadis yang lemah disebabkan terdapat perawinya yang lemah dan tidak
boleh dipercayai.
Ada sesetengah ulama mengkategorikan katak seperti ikan dan
haiwan-haiwan yang tinggal dalam air. Mengenai kategori ini ada nas yang umum
daripada ayat al-Quran dan hadis dihurai dan ditafsirkan (bukan secara
terang-terang dan muktamad) bahawa semua haiwan yang tinggal dalam air adalah
harus dimakan.
Nas yang umum daripada al-Quran itu bermaksud:
"Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari
laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi
orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang
buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah,
yang kepada-Nya kamu akan dihimpunkan. (Surah al-Maidah, ayat 96)
Nas yang umum daripada hadis pula seperti hadis riwayat
Ahmad, Tirmizi, Malik, Darimi dan lain-lain yang bermaksud: "Ia (laut)
bersih airnya dan halal bangkainya."
Berdasarkan nas daripada al-Quran dan hadis yang umum ini
serta hukum yang diambil daripada kaedah syariah asal setiap sesuatu itu harus,
maka dapat dikatakan semua haiwan yang tinggal dalam air harus dimakan termasuk
katak.
Bagaimanapun, hukum halal ijtihad seperti ini adalah
terserah kepada adat dan pertimbangan kita masing-masing. Jika ada orang
tergamak, bukan saja katak tetapi buaya pun boleh dia makan.
Sementara itu ada sesetengah ulama mengkategorikan katak
dari golongan haiwan dua alam yang dipanggil dalam bahasa Arab, barmai (darat
air).
Haiwan jenis dua alam ini dianggap haram dimakan oleh sesetengah ulama dan
hukum ijtihad ini jika dilaksanakan sepenuhnya, maka beberapa jenis ketam,
siput dan kerang tidak boleh dimakan.
Pun, didapati hukum haram dimakan haiwan dua alam tidak ada
dalam al-Quran dan hadis, tetapi ia merupakan hukum ijtihad sesetengah ulama
berdasarkan adat tempat dan persekitaran yang mereka tinggal.
Secara umumnya majoriti (jumhur) ulama menganggap semua
haiwan laut (air), sama ada ikan dan binatang-binatang lain harus dimakan.
Hukum majoriti ulama ini berdasarkan ayat 96 daripada surah al-Maidah dan hadis
yang menyebut bahawa bangkai laut adalah halal seperti tersebut di atas.
Bagaimanapun, sesetengah mazhab seperti Syafie dan Hambali
berbeza dengan majoriti ulama kerana mereka menganggap katak haram dimakan
disebabkan ada hadis-hadis yang melarang membunuhnya.
Tetapi seperti telah disebut di atas bahawa kedudukan semua
hadis yang melarang membunuh katak itu adalah tidak kuat belaka.
Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya ketika menghurai
ayat 96 daripada surah al-Maidah itu menyebut bahawa asy-Syabi (Aamir bin
Syarahil) berkata: Jika ahli keluargaku makan katak, nescaya aku memberi mereka
makannya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2025/12/fve.html