Mufti Wilayah Persekutuan Dedah Polis Evo 2 Tiada Unsur Hina Agama Seperti Yang Dikatakan Pemboikot
Polis Evo 2 sudah mula ditayangkan di pawagam bermula hari ini, 20 November 2018. Ya! Jangan tidak percaya, filem ini ditayangkan awal di sesetengah pawagam bagi meraikan filem yang dinantikan penggemar filem. Sebelum ini, Polis Evo 2 mencetuskan kontroversi yang tersendiri apabila diboikot atas alasan menghina agama
Astro Shaw nampaknya mengambil pendekatan untuk mendekati para Mufti untuk menonton filem ini. Terdahulu, Mufti Wilayah Persekutuan dijemput ke sebuah tayangan tertutup yang diadakan supaya filem ini dinilai di mata para agamawan. Dan kini, kenyataan dan ulasan penuh dari Mufti Wilayah Persekutuan boleh dibaca di link ini
Namun, kami akan simplifykan pointnya kalau korang pemalas untuk membaca
1. Watak antagonis bukan pengganas atas nama Islam
Secara umumnya, Polis Evo 2 cuba membangkitkan naratif jihad yang sebenar melawan psuedo-jihad. Watak antagonis seperti Hafsyam (Hasnul Rahmat) tidaklah menampakkan beliau sebagai seorang pengganas atas nama Islam secara mutlak kerana tidak ada dialog atau babak yang klise dalam menggambarkan teroris atas nama agama seperti bertakbir dan menggunakan apa-apa ayat al-Qur’an atau hadis.
Begitu juga, tidak ada langsung padanya ciri-ciri yang sering dibayangkan pada sosok pengganas atas nama agama dalam filem-filem Barat seperti berjambang, ucapan yang penuh dengan nukilan dalil, konsisten dengan ibadah dan lain-lain. Watak Hafsyam digambarkan sebagai pemimpin ajaran sesat yang tegar merokok, mengedar dadah, kejam, akhlak bermasalah, tidak ada langsung babak solat dan lain-lain babak yang boleh menguatkan keyakinan kita bahawa beliau adalah benar-benar seorang pengganas atas nama agama.
2. Penjelasan tentang dialog “Kalau Aku Ahli Neraka, Kenapa Tuhan Takdirkan Aku Berdiri dan Engkau Melutut Depan Aku?!”
Kenyataan di atas adalah apa yang dilontarkan oleh watak antagonis Hafsyam ketika mana berhadapan dengan Inspektor Sani (Zizan Razak).
Idea dalam kenyataan di atas, tidak dijelaskan dengan terperinci sehingga selesai filem. Ianya hanya disampaikan dalam bentuk subteks di akhir jalan cerita dan mungkin tidak dapat dikesan oleh sebilangan besar penonton. Kesannya, ia boleh menimbulkan syubhat dalam isu keadilan Allah, juga konsep iman kepada qadha dan qadar. Dalam kerangka yang lebih besar, ia melibatkan isu permasalahan kejahatan atau mushkilat al-shar (the problem of evil) yang sering dibangkitkan oleh kelompok Ateis dan juga Agnostik.
Idea ini sebenarnya adalah cebisan pemikiran Muktazilah yang melihat apa yang telah ditakdirkan buat seseorang, adalah kebaikan sahaja kerana Allah SWT sama sekali tidak akan melakukan keburukan. (Lihat al-Munyah wa al-Amal, m. 117.). Ini berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jama’ah sebagaimana kata Imam Abd al-Qadir al-Baghdadi yang melihat apa yang dilakukan oleh Allah SWT adalah adil samada ianya baik atau buruk pada pandangan manusia. (Lihat Usul al-Din, m. 26.)
Ini menyebabkan pertembungan naratif baik dan buruk tidak seimbang antara watak protagonis dan antagonis. Penonton mungkin akan kekeliruan dalam menghadam subteks, dalam situasi teks yang lebih mengenengahkan ideologi fanatik dan sesat, tanpa naratif balas yang kukuh daripada watak protagonis.
Dalam Islam, orang zalim yang memperolehi satu nikmat seperti kekuasaan itu bukan petanda Allah redha terhadap orang itu. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Taftazani dalam Syarah al-‘Aqidah al-Nasafiyyah, segala apa yang diizinkan-Nya terjadi, tidak semestinya diredhai-Nya. Keburukan dan kebaikan perlulah difahami melalui Neraca Syarak.
Boleh jadi perkara yang disangka baik itu adalah istidraj yang menjadikan orang zalim itu semakin ingkar dan kufur terhadap nikmat tersebut, seperti Firaun dan Namrud.
3. Filem yang mengangkat martabat wanita
Satu pengiktirafan kepada wanita apabila watak SACC Dato’ Azizat (Erra Fazira) memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan misi menumpaskan ajaran sesat. Watak polis, apatah lagi yang mengetuai misi-misi penting biasanya dimainkan oleh lelaki. Namun, apa yang ditunjukkan oleh Polis Evo 2 adalah berbeza.
4. Pendedahan aurat yang minima
Pendedahan aurat dan juga ikhtilat yang sangat minima. Ini perkembangan baru yang sangat baik dalam filem tempatan.
5. Paparan semangat pihak polis mempertahankan negara dan sentiasa utamakan solat berjemaah
Semangat berpasukan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mempertahankan tanahair dan keamanan adalah mesej yang jelas dizahirkan. Mereka juga digambarkan sebagai individu yang kuat pegangan agama dan mengutamakan solat berjemaah. Malah, SACC Dato’ Azizat juga seorang wanita yang lengkap bertudung dan berpakaian sopan serta menutup aurat.
Nah, sekarang masih fikir nak boikot? Nak cari alasan apa lagi untuk boikot? Yang sudah terang lagi bersuluh, Polis Evo 2 bakal menyalakan sinar box-officenya di pawagam. Jom layan
LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sukafilem.net/2018/11/mufti-wilayah-persekutuan-dedah-polis.html