Mohamad Sabu Jamin Bawa Isu Cptpp Ke Kabinet Suara Keadilan 28 12 2022
Enam tuntutan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Jaminan itu diberikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu selepas menerima satu memorandum daripada Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad kepadanya hari ini.
Nurfitri hadir ke Wisma Tani di Putrajaya bagi mewakili 54 organisasi yang membantah perjanjian CPTPP yang dimeterai pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu.
Katanya, perjanjian itu terlalu kompleks dan seumpama jerangkap kepada ekonomi Malaysia yang dibimbangi bakal menyukarkan Kerajaan Perpaduan merangka polisi mesra rakyat.
"Tujuan memorandum ini supaya kementerian menjalankan penilaian dan kajian terperinci kerana sejak perdebatan mengenai CPTPP ini, tiada satu pun pendirian oleh kementerian berkenaan kesan perjanjian kepada hak petani dan industri secara secara keseluruhan," katanya.
Turut hadir bertemu Mohamad Sabu adalah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman.
Pada 5 Oktober lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan Kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP.
MITI dalam satu kenyataan kemudian berkata, selaras dengan keputusan itu kerajaan menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September lalu.
Sementara itu menurut Nurfitri, analisis kos dan faedah yang dikeluarkan MITI tidak langsung mengkaji kesan CPTPP terhadap petani, penternak, nelayan, usahawan sektor pertanian serta pengguna, malah tiada penilaian kesan kepada keterjaminan makanan negara.
"Antara tuntutan kami adalah negara-negara yang meratifikasi CPTPP wajib menyertai Konvensyen Kesatuan Antarabangsa Bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV) 1991.
"Konvensyen ini bertujuan memberikan perlindungan dan hak monopoli yang meluas kepada pembiak baka tumbuhan bagi tujuan kononnya menggalakkan pelaburan dan inovasi.
"Sistem UPOV berat sebelah dan menafikan kepentingan dan sumbangan petani. UPOV menghalang petani melakukan inovasi dan menafikan hak tradisi petani untuk bebas berkongsi dan menjual benih terlindung yang dituai dari ladang mereka sendiri," katanya.
Beliau juga bimbang kesan perjanjian itu kepada nelayan.
Di bawah perjanjian itu tegasnya, subsidi untuk nelayan boleh disekat jika seseorang nelayan menangkap spesis ikan yang dikategorikan sebagai spesis yang berkurangan kerana terlalu banyak ditangkap.
"Peraturan ini tidak adil kerana ia meletakkan kesalahan kekurangan spesis ikan kepada nelayan kecil sedangkan punca utama kepupusan ikan adalah daripada pencemaran dan penggunaan pukat yang diharamkan oleh bot-bot tunda yang besar.
"Tidak ada pengecualian berkenaan hal ini untuk nelayan kecil atau nelayan pantai," katanya.
Beliau juga bimbang perjanjian itu akan memberi kesan kepada petani apabila perlindungan pemasaran ekslusif terhadap agrokimia akan meningkatkan harga racun
"CPTPP memberikan 10 tahun keistimewaan perlindungan pemasaran eksklusif terhadap agrokimia yang akan menyebabkan harga racun pertanian meningkat tiga kali ganda.
"Adalah lebih baik supaya petani beralih kepada kaedah pertanian alami, perubahan mendadak dalam harga racun kimia boleh menyebabkan petani gulung tikar dengan lebih awal," katanya lagi.
Artikel oleh: Suara Keadilan
MOHAMAD SABU JAMIN BAWA ISU CPTPP KE KABINET
https://www.suarakeadilan.my/post/mohamad-sabu-jamin-bawa-isu-cptpp-ke-kabinet
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ppim4u.blogspot.com/2022/12/mohamad-sabu-jamin-bawa-isu-cptpp-ke.html