Mengetuk Pintu Rezeki Dengan Taubat
Daripada Al-Aghari bin Yassar AL-Muzani r.a berkata; Rasulullah s.a.w bersabda: “Wahai sekalian manusia bertaubatlah kepada Allah s.w.t. dan mohonlah keampunan (istighfar) kepadanya, sesungguhnya aku bertaubat seratus kali dalam masa sehari” [Muslim no.2702/43]
Manfaat HadisHadis ini adalah dorongan buat umat manusia sekaliannya supaya bertaubat kepada Allah dan memohon keampunan kepada-Nya. Sedangkan baginda s.a.w yang maksum dan juga sebaik-baik penciptaan pun memohon keampunan atas dosanya yang telah lalu dan yang akan datang sebanyak seratus kali sebagai contoh buat ummatnya, inikan pula manusia yang sentiasa berlumuran dosa yang lebih perlu untuk berbuat demikian
Taubat dan memohon keampunan yang berterusan ini bukan sahaja boleh menghapuskan dosa yang tampak zahir pada mata bahkan dosa-dosa yang tidak disedari kewujudannya seperti rasa hasad,riya’ dan sebagainya. Oleh itu insan yang mengharapkan kurniaan nikmat daripada Allah sepatutnya rasa malu dengan dosanya terlebih dahulu kemudian bertaubat, seterusnya barulah memohon kepada Allah ditunaikan hajat. Adapun bilangan istigfar yang disebutkan dalam hadis tidak menggambarkan bilangan secara khusus untuk diikuti oleh ummat ini tetapi menunjukkan kepada insan untuk sentiasa melaziminya
Taubat bermakna manusia kembali kepada Allah s.w.t, peraturan-Nya dan hukum-Nya. Ia adalah perbuatan membuang dan mengosongkan diri daripada segala bentuk campuran yang buruk atau campuran yang boleh merosakkan jiwa. Taubat juga menjaga diri daripada percampuran nilai-nilai lain dan kembali kepada nilai-nilai Allahs.w.t sahaja dalam setiap aspek kehidupan. Sekiranya seseorang itu termasuk ke dalam golongan orang-orang bertaubat kepada Allah s.w.t maka campuran itu tidak wujud lagi pada dirinya. Inilah sifat orang bertaubat
Taubat akan menutup segala pintu kejahatan dan membuka pintu kebahagiaan serta kebaikan. Ini boleh dilakukan dengan cara beristigfar kepada Allah dan mentauhidkan-Nya. Sesiapa yang ingin menyihatkan badan hendaklah dia menjaga makan minum daripada makanan yang memudharatkan. Sesiapa yang ingin menyihatkan jiwa dan hati maka hendaklah dia meninggalkan segala dosa
Selain itu hadis ini juga menyarankan kita untuk senantiasa berusaha bertaubat walaupun dengan istighfar kerna manusia hakikatnya tidak tahu bila kematian datang menjemput. Justeru, wajar bagi seorang mukmin yang mengharapkan pengakhiran yang baik iaitu memperoleh syurga daripada Allah melazimi taubat
Cara- Cara BertaubatUlama’ bersepakat bahawa taubat adalah wajib bagi setiap dosa tidak terkecuali dosa kecil apatah lagi besar. Manakala cara pembersihan dosa manusia dibahagikan kepada dua iaitu:
1. Dosa antara hamba dan AllahBerusaha bersungguh tinggalkan maksiat yang dilakukanRasa penuh penyesalan atas dosa yang dilakukanMenanam keazaman tidak akan mengulanginya lagi
2. Dosa antara insan dengan insanBerusaha bersungguh tinggalkan maksiat yang dilakukanRasa penuh penyesalan atas dosa yang dilakukanMenanam keazaman tidak akan mengulanginya lagiMemohon maaf terhadap orang berkaitan atas kesalahan
Kelebihan IstighfarManusia mungkin hanya melihat istighfar ia merupakan lafaz yang mengandungi elemen memohon keampunan semata-mata, walhal kelebihan istighfar menjangkaui apa yang manusia sangka. Allah s.w.t berfirman menggambarkan kelebihannya:
Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.[Quran 71:10 (Nuh)]
Nabi Nuh a.s merupakan antara tokoh yang terkenal dalam bidang dakwah selain nabi Muhammad s.a.w disebabkan usaha baginda yang begitu gigih menyampaikan risalah Allah dalam tempoh yang begitu lama iaitu Sembilan ratus lima puluh tahun. Demikian pengikut baginda begitu sedikit. Bukanlah bilangan itu menjadi ukuran berjaya sesuatu dakwah tetapi kerana natijah manusia menerima hidayah hanya dengan kehendak Allah, tetapi bahtera dakwah yang baginda kelola telah mencapai tahap yang Allah perintahkan
Adapun kaum nabi Nuh a.s terkenal dengan sifat keras hatinya. Siang malam. Secara terbuka, secara tertutup dan secara terbuka dan tertutup diseru supaya menyembah Allah yang Esa, tetapi masih berdegil dengan kepercayaan mereka. Berbagai cara dan pelbagai waktu diajak, mereka bukan sahaja tidak mahu menerima bahkan mengguris hati Nuh a.s dengan memekakkan telinga mereka dari mendengar ajakan dan melitupi pandangan mereka daripada baginda untuk menunjukkan perasaan benci mereka terhadap peringatan yang dibawa.
Adapun kaum nabi Nuh a.s terkenal dengan sifat keras hatinya. Siang malam. Secara terbuka, secara tertutup dan secara terbuka dan tertutup diseru supaya menyembah Allah yang Esa, tetapi masih berdegil dengan kepercayaan mereka. Berbagai cara dan pelbagai waktu diajak, mereka bukan sahaja tidak mahu menerima bahkan mengguris hati Nuh a.s dengan memekakkan telinga mereka dari mendengar ajakan dan melitupi pandangan mereka daripada baginda untuk menunjukkan perasaan benci mereka terhadap peringatan yang dibawa
Tetapi kesabaran Nuh a.s tidak dapat disangkal. Baginda masih tetap menyeru kaumnya untuk memohon ampun kepada Allah s.w.t dan pada-Nya sahaja layak disembah. Tidak cukup sekadar itu, bersama keampunan yang diseru itu, ada janji-janji Allah yang boleh diambil iktibar pada insan terkemudian sebagai galakan untuk berbuat demikian
Dr. Wahbah Zuhaili ada menyebutkan dalam tafsirnya, Al-Munir dalam menerangkan ayat-ayat berkaitan janji-janji Allah ini terhadap mereka yang memohon keampunan kepada lima perkara yang utama:
1. Nikmat rezeki berupa bekalan makanan dan zuriat
"(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;[Quran 70:11 (Nuh)]
"Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).[Quran 70:12 (Nuh)]
2. Nikmat kehidupan dan penciptaan yang sempurna“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya)[Quran 70:13 (Nuh)]
“Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?[Quran 70:14 (Nuh)]
3. Nikmat cahaya dan masa“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat.[Quran 70:14 (Nuh)]
“Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang)[Quran 70:14 (Nuh)]
4. Nikmat tanaman yang subur“Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna.[Quran 70:17 (Nuh)]
“Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya.[Quran 70:18 (Nuh)]
5. Nikmat dipermudahkan urusan dunia“Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan”[Quran 70:19 (Nuh)]
“Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya”[Quran 70:20 (Nuh)]
Jika kaum Nuh a.s memohon keampunan dan bertaubat atas dosa-dosa mereka maka Allah akan berikan rezeki berupa hujan yang berterusan yang akan menghidupkan dan menyuburkan tanaman seterusnya menjadi bekalan kepada mereka dalam meneruskan kehidupan yang mana sebelumnya disekat disebabkan kekufuran mereka
Tidak cukup sekadar itu, Allah juga menjanjikan kepada mereka akan memperoleh zuriat dari kalangan mereka yang mana ia merupakan satu kurniaan yang besar kerana pada hakikatnya anak-anak merupakan rezeki yang amat dibanggakan oleh sekalian manusia secara fitrahnya kerana ia melambangkan penerusan generasi bagi sesuatu kaum
Manusia era kini, kadang-kadang mencari-cari cara untuk memperoleh rezeki hinggakan ada yang terdesak sampai ke tahap melakukan maksiat kepada Allah. Tetapi jika insan memerhatikan janji-janji Allah nescaya akan menyedari bahawa ada jalan keluar yang disediakan tanpa dinafikan perlunya berusaha untuk mencari rezeki
Ia sebenarnya sebagai nilai tambah kerana secara logiknya apabila manusia senantiasa memohon keampunan kepada Allah, maka dia akan lebih dekat hubungannya kepada Penciptanya. Dengan itu, lebih mudah untuk manusia memohon diperkenankan permintaan kerana sesungguhnya Allah yang bersifat Pemurah sangat menyukai hamba yang memohon kepada-Nya
Pun begitu, perlu diingatkan bahawa ia bukan perkara yang mudah kerana kebendaan dan zuriat seperti yang dijanjikan merupakan fitnah yang besar dalam kehidupan insan terutama setelah memperolehnya. Oleh sebab itu, manusia digalakkan untuk melazimi taubat. Allah s.w.t berfirman:Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.[Quran 64:15 (At-Taghabun)]
KesimpulanDalam pada kita memohon keampunan kepada Allah s.w.t, usaha kita jangan dilupa kerana ia merupakan kunci buat kita untuk mencapai kejayaan. Adapun taubat ini diibaratkan ‘ketukan’ kita terhadap pintu rezeki yang mana kesemua kuncinya ada pada Allah. Moga jalan rezeki kita akan lebih dipermudahkan
Wallahualam
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://kelanamuslim.blogspot.com/2016/08/mengetuk-pintu-rezeki-dengan-taubat.html