Memang Ramai Gadis Terjebak Jadi Baby Sugar Kata Zul Yahya
MALAYSIAKINI
Zul Yahya berkata dia pernah bergelumang dengan baby sugar ketika bekerja sebagai pelayan bar suatu ketika dulu.
Berasa dia tidak lagi boleh terus mengunci mulutnya, Zul Yahya tampil berkongsi pengalaman menelusuri 'lorong gelap’ bersama baby sugar dan kini dia bersuara atas dasar keprihatinannya terhadap golongan itu.
Kata pelakon itu, dia mahu menceritakan pengalaman itu sebagai menunaikan tanggungjawabnya terhadap agama selain menggesa rakyat negara ini menghalang kemungkaran yang berlaku dalam kalangan orang Islam.
“Amat menakutkan sekarang sebab dah banyak anak gadis yang terjebak menjadi baby sugar dalam kalangan siswi khususnya.
“Benda dah lama berlaku tapi hari ni makin teruk. Dan kita takut, tutup mulut tapi sampai bila? Bukan masanya untuk kita zip mulut, sembunyikan dan biarkan kemungkaran terselindung kerana bacul.
“Wahai orang ada jawatan dan berkedudukan, berapa ramai anak kampung masuk belajar di universiti tapi esok rosak dengan maksiat? Siapa galakkan?” katanya.
Menurut Zul, gejala baby sugar atau sugar baby ini sering dikaitkan dengan penuntut universiti beragama Islam yang mementingkan hal-hal duniawi.
“Baby sugar ni dalam bahasa kasar tanak, sebut tapi dalam bahasa halusnya orang panggil anak gula atau call girl. Senang, saya cakap pelacuran. Bangsa Melayu, agama Islam.
“Ditambah dengan zaman gajet dan manusia hari ni pentingkan hal duniawi yang berlebihan namun siapa yang jadi pembeli? Siapa galakkan? Tu yang buatkan gejala ini semakin berkembang,” katanya.
Menceritakan kisahnya, pelakon terkenal era 1990-an itu mendedahkan, sebelum menceburkan diri dalam bidang seni dia pernah menjadi pelayan bar (bar tender) di kelab-kelab malam.
Dan dari situlah kata Zul dia bergelumang dengan kehidupannya bersama sugar baby.
“Wallahi, dulu saya hidup dalam zaman gelap. Alhamdulillah Allah SWT tak matikan saya dalam gelap. Bukan saya nak buka aib, masa tu saya tak fikirkan agama, tak fikir padang Mahsyar, kerja hanya untuk keperluan hidup.
“Saya pernah duduk dengan call girl, pernah bersembang dengan mereka, pernah bersama mereka dan pernah hidup dengan mereka,” katanya.
Pada masa sama, Zul, 47, juga mendedahkan sikap "munafik" segelintir pihak yang sepatutnya mencegah gejala tersebut namun sebaliknya mereka sendiri melakukan kemungkaran.
“Tu sebab saya tak hormat pada ahli politik, tak hormat pada VIP. Saya tengok berlaku depan mata. Saya bukan nak salahkan satu jabatan atau satu kementerian.
“Tapi ni melibatkan GRO. Sewaktu saya kerja kelab malam di Jalan Raja Chulan, sepatutnya orang yang datang tu cegah maksiat dan kemungkaran, tapi dia boleh pula jadi tetamu dan berkaraoke dengan GRO tu,” katanya.
Kata Zul lagi, sememangnya negara ini banyak mendirikan masjid, namun usaha menghidupkan agama di sekelilingnya masih belum mencukupi.
Justeru, katanya kebejatan yang berlaku sekarang ibarat petunjuk dari Allah untuk orang ramai agar tidak membiarkan semakin ramai anak gadis terus hidup dalam maksiat.
“Kenapa Allah susahkan kita untuk datang dan mengimarahkan masjid? Berapa banyak majid dalam Malaysia macam cendawan tumbuh. Namun ia hanya bangunan, tak hidup agama dan dakwah di sekelilingnya,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/02/memang-ramai-gadis-terjebak-jadi-baby.html