Mca Gesa Fuziah Minta Guan Eng Mohon Maaf Isu Lynas
Presiden MCA Wee Ka Siong menggesa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berhenti “berpusing-pusing” berhubung isu Lynas dan sebaliknya meminta Menteri Kewangan Lim Guan Eng memohon maaf kepada rakyat berhubung kenyataan yang dibuatnya dalam perhimpunan anti-Lynas pada 2012.
Wee yang juga ahli parlimen Ayer Hitam berkata demikian susulan pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa lesen Lynas Corp Australia akan disambung jika syarikat pengeluar nadir bumi itu menyediakan pelan koheren untuk menguruskan sisa radioaktif dari kilangnya.
Daripada Fuziah berpusing-pusing menjawab isu ini, apa kata beliau meminta Menteri Kewangan Lim Guan Eng supaya memohon maaf kepada rakyat Malaysia atau menarik semula kata-katanya seperti di dalam video ini.
“Jika tidak, sia-sia saja Fuziah menulis panjang lebar,” kata Wee dalam satu kenyataan hari ini.
Wee juga menyertakan pautan kepada klip video yang memaparkan Lim pada perhimpunan anti-Lynas di Georgetown pada 2012.
Lim yang merupakan ketua menteri Pulau Pinang ketika itu memberi ucapan mengecam Lynas.
“Pilihannya adalah antara Pakatan Rakyat yang menentang Lynas, yang menentang loji nuklear atau kita mahu BN yang mahukan Lynas dan loji nuklear? Yang mana yang anda mahu? ” kata Lim dalam ucapannya pada masa itu.
Sementara itu, Fuziah dalam satu kenyataan berikutan pengumuman Dr Mahathir menegaskan pendiriannya bahawa Lynas tidak seharusnya dibenarkan untuk beroperasi.
Dalam kenyataan itu, Fuziah membidas ahli kabinet tertentu yang menurutnya “masih bersama BN” ketika dia dan pihak lain menentang Lynas pada masa lalu.
“Mereka masih terus terpedaya dengan helah Lynas kerana ketika itu mereka bersama dengan kerajaan terdahulu serta mereka memahami isu Lynas dari kaca penilaian kerajaan terdahulu dan gagal memahami isu sebenar tentang Lynas yang diperjuangkan oleh saya dan rakan-rakan,” katanya.
Wee berkata kenyataan Fuziah adalah percubaan untuk menuding jari kepada BN.
“Sedangkan Pakatan Harapan sudah mentadbir negara lebih daripada setahun! Apa guna menjadi kerajaan?
“Lebih melucukan, Fuziah yang juga seorang Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Kuantan ini turut menghentam rakan PH. Mungkin dia nak menyelamatkan diri sendiri.
Jelas menunjukkan kepada kita, kerajaan PH hari ini masih belum bersepakat antara satu sama lain,” kata Wee.
Mkini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/08/05/mca-gesa-fuziah-minta-guan-eng-mohon-maaf-isu-lynas/