Lhdn Buka Kaunter Bantuan Khas Kerajaan Mulai Esok
BH ONLINE

  KUALA  LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membuka kaunter Bantuan  Khas Kerajaan (BKK) mulai esok untuk permohonan rayuan Bantuan Prihatin  Rakyat (BPR).
LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan kaunter itu akan dibuka  dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari berdasarkan waktu bekerja bagi  setiap negeri serta melalui janji temu sahaja.
"Ia juga terhad kepada pelanggan yang berisiko rendah  berdasarkan aplikasi MySejahtera. Pelanggan yang hadir wajib mematuhi  setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti mengimbas  aplikasi MySejahtera, sentiasa memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu  badan dan mengamalkan penjarakan fizikal," menurut agensi itu.
Pertanyaan berkaitan BPR boleh diajukan kepada talian BKK di  1800-88-2747 yang dibuka dari 9 pagi hingga 4 petang (Isnin hingga  Jumaat).
Semalam, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz  mengumumkan tempoh rayuan bagi permohonan BPR yang tidak diluluskan akan  dibuka mulai 15 hingga 30 Jun ini.
Kenyataan LDHN turut memaklumkan urusan bagi Kaunter Duti Setem  (Pejabat Setem Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil) kekal  dibuka kepada pelanggan dan Pembayar Duti Individu yang tidak boleh  mendaftar sebagai pengguna Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem  (STAMPS) seperti ditetapkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan  Pergerakan (PKP) 3.0.
Waktu operasi kaunter adalah berdasarkan hari bekerja di setiap negeri iaitu dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.
Turut kekal beroperasi Kaunter Pusat Bayaran di Pusat  Bayaran Kuala Lumpur, Pusat Bayaran Kota Kinabalu dan Pusat Bayaran  Kuching pada Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Talian pejabat akan berfungsi seperti biasa dengan waktu operasi  terhad iaitu bagi Hasil Care Line (Pusat Panggilan dan Live Chat) waktu  operasi ialah Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang  manakala bagi ibu pejabat atau cawangan LHDN, talian adalah ditutup.
Menurut kenyataan itu, pelanggan disyorkan membuat semakan senarai  pejabat dan cawangan LHDN yang ditutup sementara terlebih dahulu sebelum  hadir ke mana-mana premis bagi mengelakkan sebarang kesulitan.– BERNAMA   
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/lhdn-buka-kaunter-bantuan-khas-kerajaan.html