Saya tak pasti sama ada sudah pernah ada orang Malaysia menjejaki pergunungan ini. Namun, dalam catatan ini, saya akan bercerita dari sudut pengembaraan, dan tempat-tempat menarik untuk dilawati biarpun bukan dari ahli kaji bumi. Mungkin akan ada lagi orang Malaysia yang tertarik untuk datang menikmati keunikan utara Vietnam ini.
Field trip map, credits to Lam Son
Kami bertolak dari Saigon menaiki kapal terbang seawal 6 pagi untuk ke Hanoi. Penerbangan mengambil masa 2 jam. Setibanya, di Hanoi, rombongan menaiki 2 kenderaan 16-seater untuk memulakan perjalanan darat. Hari pertama kami menuju bandar Ha Giang sejauh 320 km dari Hanoi. Perjalanan mengambil masa 10 jam termasuk berhenti makan di bandar Tuyen Quang & melawat outcrop geologi dari zaman Oligocene di Phu Tho. Kami melalui provinsi Yen Bai sebelum memasuki Ha Giang. Kami singgah di tepi jalan sahaja untuk menunaikan solat jamak Zuhur-Asar. Bandar Ha Giang merupakan pekan kecil, ibu kota buat provinsi Ha Giang yang bersempadan dengan China. Ia juga merupakan pintu masuk kepada taman geologi (carbonate) Dong Van yang bakal kami jelajah selama 3 hari. Jarak perjalanan hari ini sejauh 320 km.
Keesokannya, kami bergerak seawal pagi untuk memulakan perjalanan berkenderaan menaiki pergunungan plateau karbonat Dong Van. Kawasan seluas 2356 km2 ini diikiraf sebagai salah satu dari rangkaian geopark global, yang juga termasuk Langkawi Geopark.
Quan Ba Heaven’s Gate adalah satu persinggahan di puncak bukit yang mempersembahkan lanskap pemandangan lembah dan pergunungan yang cukup magikal. Ia hampir-hampir seperti lukisan indah yang mempesonakan. Tempat ini merupakan puncak bukit yang diletakkan pencawang, tapi orang ramai boleh mendaki bukit tersebut melalui tangga yang disediakan. Kami singgah di sini untuk menikmati pemandangan disamping menghayati pelajaran geomorfologi pergunungan ini.
Nui Co Tien atau Fairy Bosom pula adalah persinggahan seterusnya di Quan Ba yang memaparkan pemandangan unik pergunungan utara Vietnam. Tempat tersebut dinamakan Fairy Bosom kerana dua bukit karst yang cantik & hampir serupa, yang muncul dilapangan sawah padi. Ia dikatakan mirip buah dada bidadari, lalu dinamakan sedemikian berdasarkan cerita-cerita lagenda tempatan. Apapun, keindahan lanskap di sini memang menawan dan mempesonakan sehingga menjadi destinasi landmark daerah Quan Ba ini.
H’Mong King Vuong’s Palace merupakan tinggalan istana Vuong Duc Chinh, seorang berketurunan Cina yang diangkat menjadi raja kaum H’Mong kerana pengaruh dan kekayaannya pada zaman pengamalan feudalisme. Istana ini terletak berhampiran pekan Dong Van di lembah Sa Phin. Istana yang dibina dengan fusion konsep Cina, Perancis & Vietnam kini sudah berusia lebih 100 tahun. Ianya dibina daripada batuan mahal, kayu berkualiti dan jubin terracotta dan dikatakan menelan belanja USD4 juta ketika itu. Istana tersebut mengandungi 64 bilik dan dipenuhi ukiran-ukiran halus dari hasil kerja tangan terbaik orang H’Mong. Tour guide yang membawa kami mengunjungi sekitar istana ini merupakan generasi ke-4 dari keluarga Vuong. Kedudukan istana ini di lembah pergunungan dikatakan dipilih dengan ilmu Feng Shui dan merupakan tempat strategik dari serangan musuh. Istana ini dikelilingi tembok keselamatan dan taman yang indah yang mententeramkan pengunjung.
Lung Cu Flag Tower merupakan tiang bendera paling tinggi di negara Vietnam dan menjadi landmark kedaulatan negara serta tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa. Ia terletak di atas bukit Rong (naga) pada ketinggian 1468 m dan akses ke puncak bukit adalah melalui jalan raya dan lebih 283 anak tangga yang perlu di daki. Menara setinggi 33 m boleh dinaiki melalui tangga yang disediakan. Dari balkoni menara, pengunjung berada begitu hampir dengan bendera Vietnam seluas 54m2 dan kami berkesempatan menangkapnya ketika angin berhenti bertiup. Ukuran keluasan bendera Vietnam itu adalah simbolik kepda 54 kaum yang terdapat di Vietnam. Bendera tersebut dikibarkan pada tiang setinggi 12.9 m di puncak menara. Pemandangan dari atas tiang bendera di atas puncak bukit melihat lembah perkampungan Lung Cu yang dikelilingi gunung amat menggamat hati, meskipun perasaan bercampur-baur dengan gayat ketinggian.
Berhampiran penginapan kami di tengah bandar Dong Van terletak satu jalan lama Pho Co (Ancient Street) yang dikatakan berusia lebih 100 tahun. Kami berjalan melaluinya, melewati rumah-rumah lama yang diperbuat dari tanah liat serta beberapa bangunan dengan arkitektur lama. Di hujung jalan juga adalah sebuah bukit karst yang mengandungi sumber air semulajadi buat bandar Dong Van ini. Kami juga bersarapan di kedai-kedai di jalan ini untuk menikmati juadah sarapan tradisional mereka. Sebuah kedai kopi di jalan ini yang berusia hampir 100 tahun juga menjadi tempat persinggahan kami untuk mengopi di waktu malam. Saya juga sempat membeli belah buah tangan untuk keluarga saya di kedai-kedai sekitar jalan ini.
Ma Pi Leng Pass terletak 15 km dari pekan Dong Van dalam perjalanan ke Cao Bang di timur laut Vietnam. Pada ketinggian 1500m, ia merupakan kawasan geoheritage yang membentangkan lanskap lembah sungai Nho Que serta lapisan-lapisan gunung yang mesmorizing. Rata-rata pengunjung sibuk & asyik bergambar sambil mengagumi ciptaan ajaib Tuhan ini. Di tempat ini sahaja terdapat banyak fitur & singkapan geologi seperti bukti fault, karst, stratigrafi, dan sebagainya. Kami turut diberi penerangan mengenai formasi geologi di kawasan ini, sebahagian dari misi perjalanan kami. Pemandangan gunung-ganang di sini yang berlapis-lapis pasti memukau sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini.
Provinsi Cao Bang
Air terjun yang bertingkat ini menjadi tarikan pengunjung dari kedua-dua sempadan. Pengunjung dari kedua negara dibenarkan menaiki rakit di kolam/sungai di bawah air terjun, namun tidak dibenarkan naik ke darat negara jiran.
Kami berkesempatan menaiki rakit buluh hingga ke air terjun untuk bergambar dan menikmati sendiri percikan shower air yang menuruni bukit tersebut. Kami turut mendekati darat negara China tapi tidak dibenarkan turun walaupun paras air berhampiran darat sudah cetek. Saya sempat mendayung rakit tersebut untuk merasai pengalaman baru.
Pengunjung perlu berjalan dalam 10 minit dari tempat letak kereta ke gua. Pemandangan tanaman kacang soya di lembah bukit-bukit limestone dalam perjalanan ke gua juga merupakan satu keindahan & kenikmatan yang tak disangka.
Berjalan menelusuri gua Nguom Ngao merupakan pengalaman menakjubkan. Sebuah laluan sepanjang 1 km telah dibangunkan, lengkap berlampu untuk pengunjung menyaksikan kehebatan ciptaan Tuhan di dalam gua ini. Stalaktit & stalagmit cantik dan pelbagai bentuk bertebaran & bergantungan seperti pameran masterpiece interior design. Sungai yang mengalir di dalam gua juga membawa udara sejuk & menjadikan suasana dalam gua nyaman. Seorang Muslim yang berjalan dalam gua ini pasti tak putus-putus memuji Tuhan dalam hatinya menyaksikan marvel Tuhan yang dipersembahkan buat manusia yang bertuah.
Bagi yang bertanya tentang makanan sepanjang perjalanan, tentulah tidak ada daging halal. Kami makan di kedai makan tempatan yang bersih & berkualiti. Di pergunungan, kami sekadar makan ikan sungai, nasi, telur & sayur-sayuran. Kami akan pastikan tiada campuran daging, ayam, babi dan alkohol. Di bandar Cao Bang, lebih mudah mendapatkan makanan laut, maka ia memberi variasi sikit buat kami. Selain itu, kami juga membawa bekalan makanan segera halal seperti Brahim’s & mi segera.















|
Kempen Promosi dan Iklan Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua. Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini |