Kit Siang Sahaja Tak Cukup Mana Pemimpin Dap Lain Soal Penganalisis
   Senior Editor    MINDA RAKYAT 

PETALING JAYA: Kenyataan Lim Kit Siang tentang Jawi susulan  kontroversi pengenalan kepada khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu  Tahun 4 tidak memadai untuk meleraikan isu berbangkit, kerana tiada  susulan daripada pimpinan DAP dan NGO Cina, kata seorang penganalisis. 
“Kenyataan Lim sebenarnya amat membantu dalam meleraikan isu ini, namun kenyataan Lim sendiri tidak memadai. 
“Ia  perlu disusuli oleh kenyataan pemimpin-pemimpin DAP atau NGO kaum Cina  di peringkat menengah dan akar umbi,” kata Awang Azman Awang Pawi dari  Universiti Malaya. 
Beliau menambah semua komponen Pakatan  Harapan dan anggota jemaah menteri perlu melakukan penjelasan agar isu  itu tidak tersasar daripada matlamat sebenar.  
 Awang Azman  mengingatkan tidak semua rakyat faham sejarah bahasa Melayu serta  kaitannya dengan tulisan jawi dan seni khat, termasuk orang Melayu  sendiri, dan oleh itu mereka perlu disantuni dan diberi pencerahan  tentang keperluannya dalam sistem pendidikan. 
“Ini memerlukan jentera kerajaan turun ke bawah,” katanya. 
Awang  Azman berkata demikian beberapa jam sebelum mesyuarat pimpinan DAP bagi  membincangkan isu itu malam ini di ibu pejabat DAP, Kuala Lumpur. 
Beliau  berkata sudah tentu isu ini mempunyai kesan politik terhadap Pakatan  Harapan, apatah lagi terdapat pihak yang phobia terhadap orang Melayu  dan Islam. 
Awang Azman berkata PH betul-betul tersepit kerana  gabungan itu boleh hilang sokongan sebahagian orang Cina dan India jika  rancangan itu diteruskan, dan hilang sokongan sebahagian besar orang  Melayu jika ia ditarik balik. 
“Sudah pasti pembangkang akan  gunakan isu ini kononnya penyokong PH majoritinya orang Cina yang tolak  pengajaran khat dan orang Melayu dalam PH tunduk kepada parti yang  dikuasai DAP,” katanya. 
“Ini modal terbesar kepada pembangkang  sedangkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu meningkatkan  sokongan orang Melayu,” katanya. 
Pada Sabtu, Mahathir  mengumumkan pengenalan kepada seni kaligrafi dalam mata pelajaran Bahasa  Melayu Tahun Empat adalah muktamad, menegaskan kerajaan tidak pernah  menghalang penulisan bahasa ibunda lain. 
Sebelum ini, lebih 100 pemimpin akar umbi DAP termasuk 13 Adun menggesa menteri-menteri parti itu membantah rancangan tersebut.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/08/kit-siang-sahaja-tak-cukup-mana.html