Kisah Ajaib Jean Hilliard Ditemui Beku Dalam Salji Tapi Hidup Kembali
20 Disember 1980, Minnesota
Seorang gadis tidak menyangka bakal melalui hari paling ajaib dalam hidupnya. Sebaik sahaja pulang dari menziarahi rakan, Jean Hilliard, 19, yang memandu kereta bapanya terbabas ke dalam parit akibat jalan licin dipenuhi salji
Mujur baginya, Jean tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dalam suhu serendah -22 darjah Fahrenheit (bersamaan kira-kira -30°C), dia berisiko menjadi beku pada bila-bila masa
Tidak mahu mati kebekuan di dalam kereta sendirian, dia berjalan kaki meredah salji menuju ke rumah seorang rakan yang terletak kira-kira 3 kilometer dari lokasi kemalangan untuk mendapatkan pertolongan
Namun, tidak sempat meminta bantuan, dia terjatuh kaku di jalan masuk kediaman Wally Nelson tanpa disedari sesiapa di tengah malam buta
Kewujudannya hanya disedari Nelson pada jam 7 pagi hari kemudiannya, enam jam setelah Jean terbaring kaku. Tanpa membuang masa, Nelson memasukkan rakannya yang beku dan pucat ibarat patung ukiran ais ke dalam kereta menuju ke hospital
Beku macam daging dari peti ais
Keadaan Jean membuatkan para doktor menjadi buntu. Semua anggota badannya menjadi keras bagaikan batu serta tak dapat digerakkan. Kulitnya beku dan tidak boleh ditembusi picagari, malah jarum turut patah ketika doktor cuba menyuntiknya. Mata Jean juga tidak memberi sebarang tindak balas terhadap cahaya
Dengan degupan jantung yang terlalu perlahan pada kadar lapan degupan seminit, Jean seolah-olah tiada harapan lagi untuk hidup. Doktor mengambil keputusan untuk meletakkan pek hangat dan lembap untuk meningkatkan suhu badannya
“Tiada sebarang reaksi sehingga dua ke tiga jam dia mencair. Tubuhnya sejuk, keras, hanya seperti daging beku yang keluar dari peti sejuk,” kata Dr. Edgar Sather yang merawatnya kepada The New York Times.
Sekitar 1 tengah hari, Jean mula sedar dan meminta air. Kaki dan tangannya mula mencair pada malam hari yang sama. Tiga hari kemudian, Jean mula dapat menggerakkan kakinya, menyelamatkan anggota tersebut dari dipotong seperti yang dipersetujui doktor-doktor merawatnya sebelum itu
Jean akhirnya dibenarkan keluar daripada wad 49 hari selepas mendapat rawatan
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.kelimerah.com/2019/11/video-kisah-ajaib-jean-hilliard-ditemui.html