Kerajaan Kaji Semula Mekanisme Subsidi Petrol Susulan Peningkatan Ketara Harga Minyak Mentah
Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata sekiranya mekanisme subsidi minyak tidak disemak, golongan kaya akan menikmati lebih manfaat berdasarkan tahap penggunaan yang lebih besar berbanding berpendapatan rendah.KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula mekanisme subsidi petrol susulan peningkatan mendadak harga minyak mentah Brent di pasaran dunia yang kini melepasi paras USD100 setong, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata sejak peningkatan signifikan minyak mentah dunia bermula tahun lalu, kerajaan terpaksa menampung peningkatan subsidi petrol diesel dan gas cecair memasak (LPG) sehingga 10 kali ganda, iaitu dari RM200 juta pada Jan 2021 kepada lebih RM2 bilion pada Jan 2022.
Malah, katanya, isu pergolakan antara Rusia dan Ukraine juga dijangka melonjakkan lagi harga komoditi berkenaan, yang kini berada paras tertinggi sejak 2014.
“Pengguna pada masa ini hanya membayar 2.05 sen seliter untuk petrol RON95 tetapi kos sebenar RON95 pada Mac sebenarnya telah mencecah 3.70 seliter.
“Ini bermakna kerajaan terpaksa menampung perbezaan sebanyak RM1.65 setiap liter. Sebagai contoh kita isi minyak RM100 atau kira-kira 49 liter, jumlah (subsidi) yang dibayar kerajaan adalah RM81.
“… kerana jumlah kos sebenar berdasarkan harga pasaran adalah RM181 bagi 49 liter RON95. Ini bermaksud subsidi kerajaan sehingga 45% daripada jumlah keseluruhan yang perlu dibayar,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang mahu tahu sama ada satu penyelarasan program subsidi petrol, diesel dan LPG perlu diadakan memandangkan harga antarabangsa bagi minyak mentah dan gas asli naik mendadak ketika peperangan Rusia-Ukraine sedang meruncing.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata kerajaan dijangka menanggung subsidi minyak lebih RM2.5 bilion sebulan dan mencecah RM28 bilion bagi keseluruhan tahun ini susulan kenaikan harga minyak mentah dunia.
“Dengan kenaikan ini dijangka jumlah subsidi melebihi RM2.5 bilion sebulan. Sekiranya harga minyak mentah kekal melebihi USD100 setong jumlah subsidi bagi keseluruhan 2022 dijangka mencecah RM28 bilion berbanding RM11 bilion bagi tahun lepas,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, jurang besar antara harga runcit berbanding harga pasaran sebenar akan mengakibatkan ketirisan subsidi yang lebih tinggi disebabkan penyeludupan keluar produk petroleum.
Malah, katanya, sekiranya mekanisme subsidi minyak tidak disemak, golongan kaya akan menikmati lebih manfaat berdasarkan tahap penggunaan yang lebih besar berbanding berpendapatan rendah.
“Dengan itu kerajaan akan mengkaji semula mekanisme subsidi minyak supaya dapat dilaksanakan lebih bersasar dan menumpukan bantuan dan subsidi kepada golongan rentan dan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Pelaksanaan subsidi secara bersasar dijangka dapat mengoptimumkan sumber kewangan kerajaan dan penjimatan yang dicapai dapat diagihkan semula untuk program lebih berkesan yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Harga minyak mentah Brent di pasaran dunia kini mencecah USD110 setong. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/03/kerajaan-kaji-semula-mekanisme-subsidi.html