Kenapa Perlu Teruskan Juga Idea Luar Biasa Anda Sekalipun Pakar Kata Itu Idea Gila
Anda mungkin pernah ada idea luar biasa.
Idea luar biasa itu anda ceritakan pada seorang kawan yang bijak dan banyak pengalaman.
Sebaik saja dia mendengarnya, dia terus gelak terbahak-bahak. Kemudian dia berikan pendapatnya yang penuh dengan logik, menolak idea luar biasa anda tu.
Oleh sebab kawan tu memang seorang yang bijak dan segala hujahnya sangat logik. Anda akur dengan nasihatnya.
Maka idea luar biasa itu terus terkubur begitu saja.
Rasa malu pun ada marah pun ada.
Kalau nak ikutkan ego diri, mahu saja anda cabar pendapat kawan tu.
Tapi apa kan daya jauh disudut hati, dinilai dari logik akal anda, nampak benar hujahnya betul.
Diam-diam anda terima.
Sampai sekarang, idea luar biasa itu dah tak terlintas lagi.
Tolak idea luar biasa kawanSaya sendiri satu ketika dulu sering tolak idea luar biasa kawan-kawan.
Saya bukanlah bijak pun. Tapi adalah lebih sedikit pengalaman berbanding kawan-kawan yang datang kongsikan idea luar biasa mereka.
Tak ada niat buruk sedikitpun bila saya tolak idea luar biasa kawan-kawan.
Memang berdasarkan perkiraan logik, idea luar biasa kawan tu pelik dan tak masuk akal. Bertentangan dari formula kejayaan yang ada selama ini.
Kononnya untuk pastikan kawan tak buang masa teruskan ideanya, yang saya yakin tak masuk akal dan tak logik. Maka saya nasihatkan supaya dia cari idea lain yang lebih logik.
Sekarang saya sedar yang saya dah bunuh kreativiti kawan-kawan macam tu.
Sepatutnya saya sokong dan galakkan dia cari jalan untuk jelmakan idea luar biasanya sampai menjadi.
Sejarah idea luar biasa yang ditolakTak payah tengok lama sangat. 100 tahun dahulu saja.
Had laju yang dibenarkan di jalanraya negara Amerika Syarikat satu ketika dahulu adalah 10 batu sejam sahaja. Itu tahap pemikiran orang Amerika 100 tahun lampau.
Anda mungkin rasa pelik kenapa had lajunya perlahan sangat. Kenapa tak tetapkan 100 batu sejam saja.
Tapi tak ada orang yang akan terima idea luar biasa anda untuk buat kenderaan yang boleh lari sampai 100 batu sejam masa tu.
Mengembara ke luar angkasa?
Kalau anda cerita kat orang bijak pasal idea begitu masa tu, tak ada orang nak berkawan dengan anda lagi selepas tu.
Berikut beberapa cerita pasal idea kena tolak.
Fakta sejarah 1 – Pada tahun 1876, Western Union dalam satu memonya buat kenyataan bahawa “telefon adalah satu benda yang tak boleh diguna pakai sebagai alat berkomunikasi. Alat tu lansung tak ada nilai”. Itulah kenyataan yang mereka keluarkan.
Fakta sejarah 2 – Pada tahun 1895, Lord Kelvin, presiden kepada Royal Society berikan kenyataan bahawa, “mesin terbang yang beratnya melebihi berat udara adalah sesuatu yang tak masuk akal”. Masa tu, apa saja yang beratnya melebihi berat udara adalah mustahil untuk melayang terbang.
Fakta sejarah 3 – Pada tahun 1946, Darryl F. Zanuck, boss syarikat 20th Century Fox kata, “TV takkan kemana. Selepas 6 bulan saja masuk pasaran, pasti akan bungkus. Tak ada orang yang nak buat perkara membosankan renung pada kotak plywood setiap malam”. Ternyata dia salah sama sekali.
Fakta sejarah 4 – Pada tahun 1899, pesuruhjaya US Office of Patents, Charles H. Duell kata, “Segala apa saja yang boleh direka cipta sudah habis direka cipta. Tak ada lagi dah”. Punyalah salah kenyataannya logik akalnya pada masa tu.
Fakta sejarah 5 – “Saya rasa jumlah pasaran komputer di seluruh dunia hanyalah 5 buah sahaja”. Itu kenyataan yang dibuat oleh Thomas Watson, Pengurusi IBM pada tahun 1943.
Fakta sejarah 6 – Decca Recording Co. menolak kumpulan The Beatles pada tahun 1962. Mereka kata, “Kami menyampah dengan bunyi musik mereka. Musik guitar macam tu akan mampus tak lama lagi”.
Fakta sejarah 7 – “Orang gila mana nak dengar pelakon bercakap?” itu kenyataan Harry M. Warner, dari Warner Brothers pada tahun 1927. Kalau dia ada sekarang, tentu dia hairan dengar cerita radio, TV, media sosial dll, apa saja cakap pelakon lelaki dan perempuan diikuti oleh ratusan ribu manusia.
Ada banyak lagi idea hebat yang ditolak mentah-mentah oleh bukan calang-calang orang yang bijak dan berpengalaman. Tak lama selepas itu idea yang kena tolak tu ternyata boleh dilakukan dan jadi perkara biasa sahaja.
Idea luar biasa tak logik sekarang sahajaSaya tak mahu nak buat artikel panjang lebar sangat kali ni. Rasanya apa yang nak disampaikan dah boleh difahami dengan jelas dan nyata.
Idea luar biasa. Semua orang kata tak logik. Mereka betul untuk sekarang dan sebelum ini. Tapi tak semestinya betul untuk esok akan datang di depan.
Jika anda ada idea luar biasa, teruskan berusaha untuk bagi jadi. Tak kisahlah kalau orang nak tolak ke, nak gelak ke. Lantak pi kat dia orang.
Orang tolak sebab mereka pakai kiraan logik berdasarkan maklumat yang mereka ada sekarang. Sedangkan apa yang mereka tidak tahu adalah jauh lebih banyak berbanding apa yang mereka tahu. Jadi logiklah mereka tolak sebab maklumat tak cukup.
Bukan bermaksud yang anda tahu lebih dari mereka.
Cumanya, anda percaya pasti ada cara di depan sana. Belum jumpa sahaja lagi. Untuk perkara yang masih belum berlaku, dan anda mahukan ianya berlaku, cukup sekadar gunakan imaginasi anda sahaja.
Memang macam tu bila berangan-angan. Kita hanya berbekalkan imaginasi sahaja.
Kalau berbekalkan logik terhadap apa yang anda tahu sahaja, memang angan-angan itu akan dihentikan serta merta.
Pakai logik hanya untuk menerangkan apa yang dah berlaku. Supaya anda boleh belajar dan lihat corak kejadian.
Tapi dalam bab benda yang belum berlaku, sentiasa pertimbangkan imaginasi sahaja.
Selamat mencuba …
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.hidupringkas.com/2022/06/kenapa-perlu-teruskan-juga-idea-luar.html