Kecuaian Silibus Ini Masanya Kerajaan Bertegas Haramkan Uec
Oleh Zuhayati Yazid
Pemimpin kita terlalu ‘beri muka’ demi kepentingan politik?
BANGI – Pengakuan sumber Pertubuhan Pendidikan Cina, Dong Zong bahawa terdapat unsur kecuaian dalam buku teks sejarah Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – boleh menjadi asas penting untuk kerajaan mengharamkan sijil berkenaan.
Memetik China Press, sumber berkaitan mengakui terdapat unsur kecuaian pada dua gambar dalam buku teks edisi lama, tapi ia telah dibetulkan dalam edisi baru.
“Setiap enam tahun kami akan menilai semula dan menambah baik buku-buku teks, sama dengan amalan kerajaan,” dakwanya.
Mengulas perkara itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya meluahkan rasa kecewa kerana jika perkara ini tidak didedahkan, entah berapa ramai generasi ditipu oleh mereka.
“Sehingga saat ini, Dong Zong langsung tidak memohon maaf – walaupun ianya telah dibetulkan dalam edisi terbaharu.
“Lebih mengecewakan apabila saya dimaklumkan graduan ini berjaya diterima masuk ke institusi pengajian awam untuk kemasukan baharu ini seolah tiada apa yang berlaku.
“Seharusnya UEC ini diharamkan, namun pemimpin kita olah-olah tidak menyedari kesilapan serius yang telah dilakukan,” ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Haji Aminuddin turut menegaskan, apa yang berlaku disebabkan kecuaian dalam silibus itu bukan sesuatu yang mudah tapi ini soal maruah negara.
“Jika kita tidak buat pembongkaran, entah berapa generasi lagi membesar dengan kebodohan ini, yang akhirnya faham naratif yang salah.
“Hakikatnya, mereka sedang perkotak-katik tanah air kita, sekiranya sukatan yang digunakan berlandaskan dasar kerajaan kesilapan tidak mungkin berlaku,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan semua ini berpunca daripada sikap pemimpin yang terlalu ‘memberi muka’ demi kepentingan politik.
“Disebabkan agenda politik untuk kekal memerintah, mereka terpaksa gadaikan perkara asas sehingga merosakkan negara,” katanya.
Sebelum ini, Dong Zong menyiarkan sebuah video berbahasa Melayu didakwa untuk menjelaskan ciri-ciri penyusunan buku teks sejarah UEC.
Ini susulan kritikan yang diterima dari pertubuhan Islam, yang mendakwa buku teks UEC memfokuskan sejarah negara China, seolah-olah tidak mementingkan sejarah Malaysia, tiada rasa cintakan negara dan lain-lain lagi.
Sumber Dong Zong berkata, video tersebut bertujuan untuk menjawab ulasan yang dibuat oleh sebuah pertubuhan Islam.
Sumber mendedahkan, kebelakangan ini pertubuhan tersebut dengan lantang menggesa kerajaan agar tidak mengiktiraf UEC di media sosial, bahkan beberapa minggu sebelumnya ia juga telah mengadakan wawancara yang ‘menggembar-gembur’ mengenai buku teks sejarah UEC.
Menurutnya, video penjelasan berbahasa Melayu yang disiarkan oleh Dong Zong adalah sebagai respons terhadap tindakan pihak tersebut, tetapi video itu tidak menamakan kepada siapa ia ditujukan.
Video turut menyebut kesalahan pada buku teks edisi 2013 yang telah dibetulkan dalam edisi 2019.
Malangnya, semakan Ismaweb.net mendapati video berkenaan tidak lagi boleh dilihat, berkemungkinan sudah ditutup.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/kecuaian-silibus-ini-masanya-kerajaan.html