Kami Terkhilaf Di Kimanis Ilham Centre
Wartawan MalaysiaGazette                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Jentera  WARISAN memasang papan iklan gergasi sempena kempen Pilihan Raya Kecil  (PRK) P.176 Kimanis ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Membakut,  Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL 
KUALA LUMPUR – Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim  mengakui pihaknya telah terkhilaf dalam meramalkan kemenangan Parti  Warisan Sabah (Warisan) di Kimanis.
 “Setelah sekian lama Ilham Centre mengekalkan ketepatan dalam meramal  pemenang dalam siri-siri PRK, kami terkhilaf di Kimanis,” katanya dalam  hantaran di laman Facebook.
 Menurut Yusri, sebagai ketua penyelidik, beliau mengambil tanggung jawab penuh atas kekhilafan kali pertama ini.
 Sebelum ini Ilham Centre dalam dua laporannya membuat rumusan Barisan  Nasional akan tewas di Kimanis antara lain menurut mereka disebabkan  iklim politik yang berbeza di Sabah.
 Mereka menyimpulkan bahawa isu-isu seperti sentimen Melayu-Islam,  semangat peyatuan ummah dan muafakat nasional yang menyumbang kepada  kemenangan BN di Semenanjung tidak relevan di Kimanis.
 “UMNO Sabah kemudiannya jatuh nazak selepas PRU 14 apabila hampir  semua wakil rakyat mereka keluar parti selepas kalah dalam pilihanraya  tersebut.
 “Adakah UMNO dan BN Sabah telah pulih untuk menghadapi PRK Kimanis  ini? Saya tidak temui petunjuk itu,” kata Mohd Yusri dalam laporan  bertajuk Hipotesis Awal PRK Kimanis: Gelombang Semenanjung Terhenti di Borne, Warisan Memiliki Kelebihan di Kimanis.
 Artikel berkaitan: Survey Ilham Centre dibuat dengan niat politik – Najib
 Sementara itu dalam laporan kedua dengan judul PRK P176 Kimanis: Faktor Parti Kerajaan Bantu Warisan Menang, Ilham Centre melihat faktor kelebihan sebagai parti pemerintah, peranan  “big men” yang memangkin peralihan undi penyokong Bersatu dan PHRS ke  Warisan, serta faktor parti lokal akan menyaksikan Warisan bakal keluar  selaku pemenang.
 Namun keputusan pilihan raya yang diumumkan malam tadi nyata memihak  kepada Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya Datuk Mohamad Alamin  malah kemenangan itu lebih bermakna apabila BN berjaya mencatatkan  peningkatan majoriti daripada 156 undi yang diperoleh pada PRU14 kepada  2,029 undi.
 Calon Warisan, Datuk Karim Bujang memperoleh 10,677 undi selepas selesai  penjumlahan keseluruhan 70 peti undi.
 Artikel berkaitan: Ilham Centre selalu memihak kepada PH – Tok Mad
 Mengulas lanjut, Yusri berkata, bagi parti yang menang atau pun yang  kalah, keutamaan seharusnya difokuskan kepada kebajikan serta keperluan  rakyat.
 “Tinjauan kami di sana menunjukkan rakyat masih hidup dalam tahap  sosio ekonomi (SES) terdesak yang perlu diberi perhatian oleh pihak  kerajaan dan pihak yang memenangi PRK ini.
 “Sebagai contoh, sampai bila kita hendak melihat sebahagian penduduk  Bongawan mengharungi perjalanan yang begitu jauh hanya untuk  mengeluarkan duit RM50 kerana mesin ATM tiada di tempat mereka?
 “Kemudahan ATM ini hanyalah satu contoh kecil di celah-celah ribuan  lagi isu kebajikan rakyat yang kami temui di Kimanis seperti bekalan  elektrik, bekalan air bersih, jalan berturap dan sebagainya yang perlu  diberi perhatian.
 “Rakyat perlu disantuni sepanjang masa dengan jiwa yang luhur, bukan  sekadar digula-gulakan sewaktu musim pilihan raya,” katanya. –  MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/kami-terkhilaf-di-kimanis-ilham-centre.html