Rehatkan Kuda Tua Karim Najib Beritahu Pengundi Kimanis
   Jason Santos dan Durie Rainer Fong

Bekas perdana menteri Najib Razak menyampaikan ceramah di kampung Pimping, Kimanis, malam tadi.
KIMANIS: Najib Razak mengkritik calon Warisan bagi pilihan raya kecil  (PRK) Kimanis, Karim Bujang malam tadi, dengan bertanya apakah yang  telah dilakukan oleh bekas Adun Bongawan selama 5 penggal itu untuk  pengundi.
 Najib menyifatkan Karim sebagai “kuda tua” yang tidak lagi mampu  berbuat apa-apa, menyebabkan kira-kira 500 khalayak yang menghadiri  ceramah di Kampung Pimping di sini ketawa.
 “Calon Warisan kuda tua. Jika ia kuda tua, ia harus ‘disembelih’.
 “Dia wakil rakyat selama 5 penggal. Apa yang dia buat?,” soal bekas perdana menteri itu.
Karim, 67, merupakan Adun Bongawan dari 1990 hingga 2013 semasa  beliau masih bersama Umno.
Beliau berdepan calon Barisan Nasional (BN),  Mohamad Alamin, dalam PRK KImanis Sabtu depan.
 Najib berkata, Kimanis memerlukan pemimpin lebih muda dan calon Umno,  Mohamad, yang berusia 48 tahun boleh menjadi suara penduduk serta BN di  Parlimen.
 Beliau berkata, kemenangan BN dalam PRK Kimanis akan membuktikan  bahawa Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 kerana  “penipuan dan fitnah”.
 Bekas presiden Umno itu juga berkata, pemimpin BN tidak pernah cuba  mencuri hak Sabah, dengan menambah bahawa beliau bertanggungjawab  memperkenalkan dasar yang menghendaki sekurang-kurangnya 90% guru  sekolah di Sabah mestilah merupakan rakyat negeri itu.
 Katanya, beliau merupakan perdana menteri pertama yang berusaha  mengambalikan hak Sabah, bukan Dr Mahathir Mohamad, yang pernah memegang  jawatan itu selama 22 tahun sebelum ini.
 “Kita juga memulakan perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia,  tetapi malangnya kita tidak dapat memulakan proses itu. Bagaimanapun  memang menjadi niat kerajaan BN untuk memberikannya (hak Sabah),”  katanya.
Najib juga berjanji untuk menamatkan program Pas Sementara Sabah  (PSS) sekiranya BN berjaya menawan semula Putrajaya dalam pilihan raya  umum ke-15 akan datang.
 Dalam pada itu, pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin menegaskan  PSS tidak dimulakan oleh BN dengan berkata, Warisan-PH beria-ria mahu  menyalahkan BN sehingga mereka “mendorong Menteri Dalam Negeri Muhyiddin  Yassin supaya berbohong”.
 “Ia satu penipuan untuk menutup kesilapan mereka,” katanya.
 Beliau berkata, rancangan PSS tidak pun melepasi tahap perbincangan  jawatankuasa teknikal Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Pendatang  Tanpa Izin.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/rehatkan-kuda-tua-karim-najib-beritahu.html