Kami Satay Dan 3 Kanak Kanak Perempuan
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيمTemani Master ambil satay di Taman Seroja.
Sambil tunggu tu Master sempat minum, kemudian datang 3 kanak-kanak perempuan.
Mereka order sebungkus nasi goreng dengan telur.
Kemudian tuan kedai hantar sate ke meja kami.
Kakak nak satay...Seorang daripada 3 kanak-kanak perempuan itu meluahkan keinginannya.
Mana cukup duit. Ayah suruh beli nasi goreng je kan.Sedih pula dengar. Mereka bertiga, kemudian dicampur dengan ayah mereka sudah berempat, dan mereka hanya pesan nasi goreng sebungkus bersama telur.
Master pun rasa sebegitu. Master nak saja berikan sebungkus satay tu kepada mereka.
Kami beli banyak pada masa itu kerana keluarga Master datang melawat.
Tetapi hasrat Master itu hanya terpendam di hati.
3 kanak-kanak perempuan itu kemudian bergurau-senda bergelak ketawa sambil menunggu pesanan mereka disiapkan oleh tukang masak.
Akhirnya ketiga-tiga mereka berlalu pergi dengan sebungkus nasi goreng bersama telur.
Tedi pun taip kisah ini, namun Tedi tak pernah terbitkannya. Kisah kami dan satay bersama 3 kanak-kanak perempuan itu hanya tersimpan di dalam draft.
Tetapi ia adalah kisah yang selalu bermain di benak fikiran Tedi.
Kenapalah kami tidak tawarkan satay itu kepada mereka?Banyak sangat yang kami fikirkan. Fikir pelawaan akan ditolak. Fikir satay yang kami beli takkan cukup untuk santapan tetamu. Fikir apa reaksi ayah kepada 3 kanak-kanak perempuan itu?
Kenapa kami tak tawarkan saja? Kenapa banyak benda yang difikirkan?Pada malam itu satay yang kami beli tidak habis dimakan.
Sekali lagi, dan berkali-kali selepas itu kami menyesali akan apa yang kami tidak lakukan.
Bagaimanakah keadaan kanak-kanak itu sekarang? Kenapa pada masa itu mereka hanya beli sebungkus nasi goreng dan telur?
Adakah mereka tidak mempunyai wang untuk belanja makan?
Setiap kali Tedi terkenangkan persoalan-persoalan ini, Tedi rasa sangat bersalah.
Bagaimanakah keadaan mereka sekarang?
Ketika Tedi menyiapkan karangan yang telah lama terperam ini, sudah hampir 8 tahun berlalu.
3 orang kanak-kanak perempuan itu pasti telah menginjak usia remaja.
Kepada para pembaca interpretZZ sekalian, tolong Tedi doakan mereka.
Semoga 3 kanak-kanak perempuan itu hidup bahagia, mendapat pendidikan yang baik, dan dapat menebus kesusahan hidup mereka sebelum ini. Semoga mereka dilindungi Allah subhanahu wa ta'ala, dan dikurniakan keluarga yang baik dan soleh.Sesungguhnya hanya Allah sebaik-baik pelindung dan perancang.
Ketika kita sibuk menyalahkan situasi atau orang lain di atas "kesusahan" yang kita alami, kita lupa bahawa ada lagi orang yang lebih susah. Benarlah hanya dengan melihat kepada mereka yang di bawah akan membantu mengingatkan kita agar mensyukuri nikmat yang diberi.
Akhirnya Tedi menyudahkan catatan ini. Adakah ia akan melegakan penyesalan Tedi?
Wallahu'alam.
Kisah ini berlaku pada 20131102 dan disiapkan dan diterbitkan pada 20200703.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.interpretzz.com/2020/07/kami-satay-dan-3-kanak-kanak-perempuan.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+Interpretzz+%28interpretZZ%29