Kalau Setakat Umno Tak Masuk Pn Tapi Masih Sokong Kerajaan Ia Bukanlah Satu Keputusan Besar
Sebagai memenuhi janjinya dua hari lalu yang UMNO akan membuat “keputusan politik besar” susulan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang diterima Najib Razak, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara tersebut
Dalam kenyataan media itu, dua perkara yang dikira besar dapat disimpulkan:-Pertama, UMNO tidak akan menyertai PN, sebaliknya akan terus memperkukuhkan MN bersama-sama dengan Pas
Kedua, kemasukan Bersatu ke dalam MN akan diperhalusi terlebih dahulu sebelum diluluskan
Kenyataan media penuh Zahid Hamidi berkaitan dengannya adalah seperti di bawah ini
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~KENYATAAN MEDIAAhmad Zahid HamidiPresiden UMNO30 hb Julai, 20201. UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN)
2. Sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan Ahli-ahli Parlimen UMNO & BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu
3. YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai MN
4. Hasrat PPBM ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi
5. Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN
6. Saya akan menyerahkan kepada JK Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat PPBM sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~Adakah pengumuman Zahid Hamidi ini boleh dianggap suatu keputusan politik yang besar
Jika diteliti, pengumuman Zahid Hamidi ini bukan saja tiada yang besar, malah tidak bermakna apa-apa sekali pun
Pengumuman beliau bahawa UMNO tidak akan menyertai PN dan hanya akan memperkasa MN tiada makna apa-apa sebenarnya kerana PN belum ditubuh atau didaftarkan lagi sebagai sebuah gabungan politik yang sah
Dengan itu, tidak berbangkit sama sekali sama ada UMNO menyertai PN atau tidak
Lainlah jika PN itu sudah didaftarkan dan dengan UMNO tidak menyertainya, PN sebagai kerajaan boleh tumbang disebabkan keputusan itu
Kedudukan PN sebagai kerajaan memang tidak berdaftar dan ia sudah pun diketahui umum, cuma sebagaimana disebut Zahid Hamidi sendiri, terbentuknya kerajaan PN adalah melalui sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN semata-mata
Dalam hal ini, walaupun tidak menyertai PN, tetapi sokongan UMNO dan BN terhadap kerajaan serta Muhyiddin Yassin tetap diteruskan juga
Jadi, apa bezanya
Kenapa sementara tidak menyertai PN, tetapi UMNO masih mahu berada dalam kerajaan PN yang tidak berdaftar itu
Tidakkah pelik bunyinya
Bukankah lebih jantan dan terpuji jika Zahid Hamidi terus saja mengumumkan, selain tidak menyertai PN, UMNO dan BN juga menarik balik sokongan terhadap PN
Jika itu yang dilakukan, barulah terlibat ia suatu keputusan politik yang benar-benar besar serta mengejutkan yang memungkinkan Parlimen turut terbubar
Sekaligus, barulah juga ternampak ia suatu pembelaan yang meyakinkan terhadap Najib yang sudah dijatuhkan hukuman denda dan penjara
Begitu juga dengan pengumuman bahawa penyertaan Bersatu ke dalam MN akan diperhalusi terlebih dahulu sebelum dapat diluluskan, ia juga tidak boleh dikira suatu keputusan politik yang besar
Pengumuman ini hanya menampakkan suatu prosedur biasa yang mesti dilalui oleh Bersatu sebagai anggota yang baru mahu menyertai MN
Cuma, barangkali dengan pemakluman itu Zahid Hamidi mahu memberitahu Bersatu bahawa jika permohonan Bersatu menyertai MN diluluskan, mereka adalah anggota baru dan mesti hormat serta ada rasa terhutang budi kepada UMNO yang sedia memberi laluan serta dianggap mengetuai gabungan tersebut
Tetapi, bagaimana jika Pas yang merupakan anggota MN yang lagi satu lebih bersungguh menyokong kemasukan Bersatu berbanding UMNO
Mampukah UMNO menolaknya dan begitu besarkah kedudukan parti itu dalam MN
Pokoknya, kalau setakat mengumumkan UMNO tidak menyertai PN, tetapi masih kekal bersama-sama berada dalam kerajaan serta pemakluman penyertaan Bersatu ke dalam MN akan diperhalusi terlebih dahulu, lebih baiklah tak payah buat apa-apa kenyataan media berkaitan dengannya
Tiada apa-apa yang berbeza pun, malah Muhyiddin juga tidak rasa terancam sama sekali dengannya. (Shahbudindotcom 30/07/2020)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/07/kalau-setakat-umno-tak-maauk-pn-tapi.html