Kalau Cikgu Tanya Kenapa Tak Benarkan Cakap Nak Vaksin Dengan Paed Tergamak Wanita Ini Ajar Ibu Yang Lain Menipu
'Kalau cikgu tanya kenapa tak benarkan, cakap nak vaksin dengan PAED (sebenarnya tak pun)' - Tergamak wanita ini ajar ibuĀ² yang lain menipu
Sudah ditegaskan bahawa anak-anak perlu diberikan suntikan imunisasi sebelum dihantar ke pusat penjagaan atau sekolah. Namun sehingga ke hari ini, masih ada ibu bapa yang anti-vaksin ini berdegil dan sanggup membuat pengakuan palsu kononnya anak mereka telah divaksin.
Seboleh-bolehnya, mereka mahu anak mereka juga mendapat tempat tanpa mengira akan keselamatan anak-anak orang lain. Pelbagai cara yang dilakukan mereka dan ini boleh mendatangkan kebimbangan kepada ibu bapa lain.
Membaca pengakuan di bawah ini membuktikan bahawa golongan seperti ini masih berleluasa dan mencabul hak anak-anak kita untuk mendapatkan persekitaran yang selamat dan bebas penyakit berjangkit
Perkara ini juga mendapat perhatian dari Dr Amirul Amzar, yang menggesa pihak taska dan tadika bertegas dan tidak berkompromi dalam isu ini demi keselamatan anak-anak asuhan.
TASKA/TADIKA MENOLAK ANTIVAKSIN
SAYA dimaklumkan terdapat beberapa taska atau tadika yang menolak kanak-kanak yang tidak menerima vaksin sepenuhnya. Situasi ini menimbulkan kemarahan pada ibu bapa antivaksin sehingga ada antara mereka yang sanggup menipu dalam mendaftarkan anak-anak mereka
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan TAHNIAH pada pihak pengurusan taska atau tadika yang membuat peraturan sedemikian. Ini adalah tindakan bertanggungjawab yang bijak
Vaksin berkesan dalam melindungi kanak-kanak dari pelbagai jenis penyakit berjangkit. Bukan itu sahaja, pemberian vaksin juga melindungi anak-anak lain yang tidak boleh menerima vaksin atau bayi yang masih kecil yang belum boleh menerima vaksin, melalui imuniti kelompok
Antivaksin suka berhujah memomokkan imuniti kelompok. Kata mereka, golongan yang menolak vaksin ini sedikit sahaja, tak meruntuhkan imuniti kelompok pun
Apa yang mereka gagal faham adalah konsep ini boleh dikecilkan pada populasi kecil setempat, sebagai contoh, kanak-kanak di taska. Secara purata, kanak-kanak di taska menghabiskan masa selama separuh hari, sekurang-kurangnya 5 hari seminggu di taska. Ini menjadikan kehidupan di taska satu rutin pada mereka
Sekiranya pihak taska sewenang-wenangnya menerima kanak-kanak tidak divaksin, risiko penularan wabak akan meningkat. Bayangkan jika 100 orang berdaftar, 30 menolak vaksin. Disebabkan peratusan imuniti jatuh di bawah 70% (tidak kira lagi mereka yang gagal menjana imuniti selepas divaksin), risiko untuk wabak berlaku amat tinggi
Sekiranya wabak berlaku, pihak taska terpaksa bertanggungjawab. Mereka perlu menutup taska berhari-hari. Malah, ibu bapa yang telah memvaksinkan anak mereka juga akan terganggu dengan penutupan ini
Oleh sebab itu, tindakan pihak taska atau tadika menolak golongan antivaksin ini adalah satu tindakan bertanggungjawab yang bijak
Jika golongan antivaksin mahu menarik isu undang-undang, tamparlah pipi mereka dan sedarkan mereka. Mereka adalah klien dan pengurusan taska adalah peniaga. Adalah satu hak kepada peniaga untuk menolak berurusan dengan klien yang berpotensi menyusahkan mereka kelak
Saranan saya:Pihak pengurusan taska dan tadika berhak dan digalakkan menolak ibu bapa antivaksin. Ini bagi menjaga tanggungjawab mereka kepada kanak-kanak lain. Ibu bapa antivaksin seharusnya tidak menyalahkan pihak taska. Jika mereka masih berdegil menolak vaksin, mereka perlu mencari alternatif lain sama ada taska kelolaan antivaksin juga atau pendidikan pra persekolahan di rumah. Jangan menipu jika anda antivaksin. Anda bukan sahaja membahayakan nyawa anak anda, malah membahayakan kanak-kanak lain dan pihak pengurusan taska. Pihak pengurusan taska perlu berhati-hati dengan penipu antivaksin. Dapatkan buku rekod vaksinasi mereka dan semak dengan teliti. Anda terdedah kepada bahaya wabak jika terperdaya dengan mereka ini.
P/S: Antivaksin tolak vaksin kerana kandungannya yang diragui walhal pihak agamawan telah mengharuskan penggunaannya (rujuk Bayan Linnas isu 59). Tetapi, mereka tidak rasa berdosa pula menipu rekod imunisasi anak-anak mereka
Umpama menang berjudi, wang dibelanja untuk ke umrah
Dan mungkin sahabat-sahabat boleh namakan taska-taska yang diketahui ada peraturan menolak antivaksin sebegini? Bagi memudahkan ibu bapa yang membaca membuat pilihan selamat untuk anak-anak mereka
Dr Amirul Amzar
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ceberita.blogspot.com/2018/12/kalau-cikgu-tanya-kenapa-tak-benarkan.html