Judi Siber P Pinang Dalam Kawalan Pihak Berkuasa
YB MOHD YUSNI MAT PIAH

             BERITA mengenai operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM)  menangani kegiatan perjudian di Pulau Pinang banyak mengisi dada akhbar  kebelakangan ini. Ianya satu imej memalukan bagi negeri ini yang  menggambarkan betapa ‘meriah’ Pulau Pinang dengan kegiatan tidak  berfaedah tersebut.
   Tenggelam sudah KOMTAR, Padang Kota, Bukit Bendera, Tanjung Bunga,  Batu Feringgi, nasi kandar, pasembor, laksa dan banyak kemasyhuran  lainnya.
   Tahniah atas kesungguhan pihak PDRM yang berusaha membongkar dan  membanteras kegiatan perjudian ini di mana telah tumbuh dalam pelbagai  rupa. Malah berselindung di sebalik pelbagai aktiviti lain terutama  perniagaan. Malah, menyembunyi atau menjadi rantaian atau sebahagian  kepada jenayah lainnya seperti dadah, pelacuran, gangsterism dan  lain-lain.
   Bahkan muncul dalam kelicikan lain seperti judi siber yang difahamkan  menjana sehingga RM1 juta sebulan kepada pengusaha terbabit.  Persoalannya di mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk bertindak serius  dalam menangani isu ini? Hinggakan muncul kesangsian bahawa kerajaan  negeri pula menjadi ‘pelindung’ kepada kegiatan seperti ini.
   PAS Pulau Pinang sudah lama menyatakan penentangan secara terbuka  sejak berada bersama dalam Kerajaan Pakatan Rakyat lagi. Malah  disuarakan secara aktif melalui peranan Ahli Majlis Pihak Berkuasa  Tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya  Seberang Perai (MBSP) diwakili PAS.
   Memorandum bantahan judi siber juga telah diserahkan kepada Ketua  Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob dan Ketua Menteri, Lim Guan  Eng ketika itu. Serahan tersebut telah disaksikan oleh Presiden PAS,  Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga ketika itu hadir melawat  Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
   Terkini daripada jawapan soalan Sidang DUN Pulau Pinang yang pernah  saya tanya, MBPP hanya mengeluarkan 1,099 kompaun pada tahun 2015 dan 75  kompaun pada tahun 2016. Pada tahun 2017 sehingga 17 Julai 2018 tiada  sebarang kompaun atau tindakan diambil kepada mereka yang menjalankan  sidiket judi siber ini. Isu ini juga akan saya bangkitkan pada Sidang  DUN bulan Oktober nanti.
   Pada bulan April lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya  sendiri terpaksa menerjah tempat sindiket judi siber dijalankan di  kawasan saya iaitu DUN Penaga setelah mendapat banyak rungutan daripada  masyarakat dan tiada tindakan yang diambil. Amat menyedihkan kerana  kawasan saya yang majoriti Melayu mempunyai tempat judi siber, sedangkan  kita tahu orang Melayu Islam tidak akan membuka kedai judi siber  seperti ini.
   Kerajaan negeri dilihat tidak serius mengambil tindakan terhadap isu  ini sehinggakan taukeh-taukeh berani menjalankan judi siber ini. Malah,  banyak telah didedahkan oleh pihak berkuasa sendiri premis-premis  perniagaan yang digempur kerana menjalankan kegiatan judi di sebalik  aktiviti perniagaan mereka. Tindakan PDRM yang menyiasat dan menyerbu  kegiatan ini setiap hari menunjukkan seolah-olah negeri ini menjadi  sarang perjudian judi siber.
   Diharap selepas ini adanya tindakan yang lebih keras daripada  kerajaan negeri dan agensi PBT MBPP/MPSP dalam usaha untuk membanteras  kegiatan ini daripada terus berleluasa di negeri Pulau Pinang, serta  mencambahkan pelbagai kegiatan tidak bermoral atau menyumbang kepada  statistik jenayah lain.   
   *YB MOHD YUSNI MAT PIAH -ADUN Penaga,Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/judi-siber-p-pinang-dalam-kawalan-pihak.html