Jawatankuasa Pandemik Covid 19 Rangka Pelan Jangka Panjang Sederhana
Manzaidi Mohd Amin-
Ismail Sabri Yaakob KUALA LUMPUR – Kerajaan turut memikirkan perancangan jangka panjang dan pendek bagi menangani pandemik Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, bagi menjayakan matlamat itu, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Pandemik Covid-19 yang mana beliau selaku pengerusi merangka pelan secara bersepadu bagi menangani wabak itu.
“Sebanyak Sembilan kluster diwujudkan melibatkan kluster ekonomi, pendidikan, kesihatan dan beberapa lagi.
“Jawatankuasa ini sudah dibentuk dan menteri berkaitan dilantik mengetuai kluster masing-masing. Mereka akan merangka pelan jangka panjang dan jangka pendek mengenai Covid-19.
“Pelan mereka ini akan dibentangkan dalam jawatankuasa induk, yang akan kita umumkan nanti,” katanya pada sidang media khas mengenai Covid-19, hari ini.
Kata Ismail Sabri, jawatankuasa itu ditubuhkan memandangkan kerajaan tidak tahu bila pandemik Covid-19 akan berakhir.
Beliau juga berkata, selagi vaksin tidak diperolehi, selagi itu bahaya ada di sekeliling masyarakat. Namun, kehidupan mesti diteruskan.
“Cuma kita perlu amalkan kendiri dan pada masa sama kerajaan akan menyediakan pelan tindakan jangka panjang dan sederhana ini,” katanya.
Mengenai Operasi Pematuhan PKP, beliau menjelaskan, seramai 508 individu ditahan dengan 501 darinya dikenakan kompaun, enam direman dan seorang diikat jamin.
Katanya, tiga negeri paling tinggi individu dikompaun ialah Wilayah Persekutuan 92 orang, Selangor (155 orang) dan Sabah (36 orang).
Tangkapan pendatang asing tanpa izin (Pati) pula, kata Ismail Sabri, menunjukkan penurunan berikutan kaedah usir yang dilaksanakan.
“Semalam, seramai 18 Pati ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas.
“Pengurangan jumlah tangkapan ini sebab kita gunakan kaedah mengusir, bukan lagi tangkap. Kita usir sebelum mereka memasuki sempadan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/jawatankuasa-pandemik-covid-19-rangka.html