Waspada Risiko Bunuh Diri Fasa Pandemik Covid 19
Dr Rozanizam Zakaria Putus sokongan sosial, kesan ekonomi  faktor kes bunuh diri meningkat		  			 			KEJADIAN bunuh diri yang melibatkan pesakit COVID-19 merupakan suatu tragedi  yang sangat dikesalkan. Ia mengingatkan kita  tentang bahaya COVID-19  yang tidak terhad kepada gejala fizikal semata-mata.
Banyak kajian diperingkat global secara konsisten menunjukkan perkaitan rapat diantara epidemik COVID-19 dan tekanan psikologi. 
Kajian  awal di China pada awal krisis COVID-19 pada tahun 2019 misalnya  menunjukkan 35 peratus melaporkan gejala tekanan psikologi. Begitu juga  kajian di Amerika Syarikat yang menunjukkan 45 peratus daripada kalangan  dewasa mengakui kesan negatif pandemik ini kepada kesihatan mental  mereka.
Pandemik  ini secara tidak langsung memberi kesan psikologi dalam pelbagai  bentuk. Antaranya ialah kesunyian, keresahan melampau, ketakutan  terhadap risiko jangkitan, kemurungan dan gangguan tidur. 
Dalam  masa yang sama berlaku juga kesan sekunder seperti meningkatnya kes  bunuh diri, keganasan rumah tangga dan penyalahgunaan dadah.   
Pola  peningkatan kes bunuh diri susulan pandemik telah diperhatikan sejak  berlakunya epidemik Spanish Flu dan SARS di Hong Kong sebelum ini.  Kajian juga menunjukkan kesan langsung dan tidak langsung ini berterusan  pada tempoh yang lama memandangkan sebahagian impak pandemik ini  berlangsung pada tempoh yang lama, misalnya kesan sosial dan ekonomi. 
Antara  yang dikenalpasti sebagai berisiko tinggi adalah mereka yang mempunyai  sejarah masalah mental, mereka yang tinggal di kawasan yang berlaku  banyak kes, mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat COVID-19 dan  pekerja kesihatan yang bekerja secara langsung dengan pesakit. 
Secara spesifiknya, terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kepada impak kesihatan mental dalam kes COVID-19 ini  – ketidaktentuan, terputus sokongan sosial dan kesan ekonomi. 
Interaksi  antara faktor-faktor inilah yang akhirnya menyumbang kepada  meningkatnya risiko bunuh diri bagi individu yang terkesan. 
Apa yang boleh dilakukan?
Pencegahan  bunuh diri memerlukan usaha kolaboratif semua pihak. Tidak ada suatu  pendekatan yang spesifik berkesan untuk semua keadaan. Ini kerana  fenomena bunuh diri itu sendiri bersifat multifactorial. 
Secara  umum, pencegahan mesti belaku dalam tiga peringkat – pencegahan kepada  masyarakat umum, pencegahan dalam kalangan mereka yang berisiko dan  pencegahan di kalangan mereka yang sudah mempunyai sejarah penyakit  mental dan risiko bunuh diri. 
Pencegahan  umum boleh berlaku dalam bentuk meningkatkan kesedaran mengenai tanda  awal, membentuk sokongan sosial kepada mereka yang terkesan, bantuan  praktikal seperti kewangan, memperbaiki akses kepada bantuan awal bagi  mereka yang berisiko. 
Kerajaan  juga perlumeningkatkan keupayaan perkhidmatan dengan mengembeling  tenaga semua pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, komuniti  dalam membantu mereka yang berisiko
Keluarga pula perlu ambil perhatian, beri sokongan, bertanya khabar, mengambil berat tentang perkembangan ahli keluarga. 
Masyarakat  secara umum, perlu cakna tentang isu ini, jauhi stigma, elakkan  penyebaran berita palsu dan komen-komen di media sosial yang boleh  menyumbang kepada berlakunya risiko bunuh diri. 
Di  peringkat hospital, seperti mana pada fasa pertama, perkhidmatan  sokongan psikososial COVID-19 perlu diperkasa bagi mengesan mereka yang  berisiko dan memberi bantuan awal sewajarnya. 
* Dr Rozanizam Zakaria
Penolong Professor dan Pakar Psikiatri UIAM
Naib Presiden I-Medik
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/waspada-risiko-bunuh-diri-fasa-pandemik.html