Hukum Sedekahkan Wang Yang Diberikan Seseorang Untuk Tujuan Lain
SOALAN:
Di sini ada satu pertanyaan mengenai duit insurans atas kematian rakan sepejabat, keluarga arwah memberi sumbangan kepada kami rakan sekerja untuk buat makan-makan. Apakah dibolehkan untuk kami sedekah duit tersebut atas nama arwah ke pusat tahfiz? Atau tidak boleh buat perkara lain selain buat makan-makan sahaja? Mohon pencerahan.
JAWAPAN:
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.” (Surah al-Ma’idah: 2)
Di dalam ayat ini, Allah SWT menerangkan suruhan untuk saling membantu dalam perkara kebajikan dan juga ketaqwaan. Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya, menyatakan bahawa البرّ juga boleh membawa maksud hibah. Maka di sini, ayat ini juga menjadi dalil pensyariatan hibah menunjukkan dengan jelas bahawa hibah amatlah digalakkan di dalam Islam. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 3/176]
Berbalik kepada persoalan di atas, berkenaan dengan hukum bersedekah dengan wang yang pada asalnya diberikan bagi tujuan lain (makan-makan). Maka hal ini perlu dilihat dalam bab tabarru’ (kebajikan). Asas bagi tabarru’ ialah akad, maka ia perlu memenuhi rukun-rukunnya iaitu, orang yang membuat tabarru’, orang yang menerima tabarru’, barang yang di- tabarru’ dan sighah (ijab qabul). Di antara rukun-rukun ini, sighah memainkan peranan yang penting dalam menentukan sesuatu itu adalah tabarru’ dan juga menerangkan kehendak mutabarri’ (orang yang memberi kebajikan). [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 10/67]
Dalam hal ini, pada asalnya tidak seharusnya bagi seseorang itu membelanjakan wang ataupun sesuatu (yang diberikan) pada perkara selain yang dikehendaki oleh al-Mutabarri’ (pemberi kebajikan). Ini kerana sifat mereka yang menerima itu dianggap seolah-olah sebagai wakil kepada pemberi tersebut untuk melaksanakan perkara kebajikan. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 3/337-338]
Imam al-Nawawi berkata di dalam kitabnya:
لِلْوَكَالَةِ حُكْمُ الْأَمَانَةِ. فَيَدُ الْوَكِيلِ يَدُ أَمَانَةٍ
“Bagi perwakilan itu adanya hukum amanah, maka orang yang menjadi wakil, dia adalah orang yang menanggung/memikul amanah.” [Lihat: Rawdatu al-Tolibin; 4/325]
Maka, jika seorang wakil itu tidak melaksanakan amanahnya, maka dia telah melanggar amanah yang diberikan oleh pemberi kebajikan tersebut. Walhal, perbuatan khianat amatlah dilarang di dalam Islam. Firman Allah SWT:
{يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ}
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Anfal: 27)
Namun, jika penerima tabarru’ tersebut ingin menginfaqkannya ke tempat lain atau sebagainya, maka perlulah dimaklumkan terlebih dahulu dan meminta izin daripada si pemberi. Dan sekiranya tidak dapat merujuk atau memaklumkan atau meminta izin daripada pemberi atas sebab-sebab seperti tidak dapat menghubunginya dan lain-lain, maka bolehlah ia diinfaqkan untuk perkara-perkara yang bermanfaat, berfaedah atau juga berkebajikan.
Imam al-Ramli berkata:
"معلوم أن الولي أو الوكيل لا يفعل إلا ما فيه المصلحة"
“Seperti mana maklum, bahawasanya seseorang wali atau wakil tidak akan melakukan sesuatu melainkan terdapat padanya maslahah (kebaikan).” [Lihat: Hasyiyah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib; 2/46]
Adapun, berbalik kepada persoalan, jika pemberian tersebut adalah atas dasar nama pemberian atau hibah dan bukannya sebagai menjadi wakil, dan pemberian tersebut telah diterima, maka ia menjadi hak mutlak si penerima, lantas dia berhak untuk melakukan apa sahaja terhadap pemberian itu. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 3/184]
Penutup
Kesimpulannya, kami mengatakan bahawa hendaklah dipastikan terlebih dahulu akad pemberian tersebut, sekiranya pemberian tersebut merupakan hibah, maka ia terserah kepada penerima untuk menggunakannya atau membelanjakannya dengan apa cara sekalipun.
Manakala, sekiranya akad yang digunakan atas dasar perwakilan, maka hendaklah dipenuhi kehendak si pemberi. Namun, jika penerima ingin membelanjakannya pada jalan yang lain, maka hendaklah meminta izin atau memaklumkannya terlebih dahulu kepada pemberi dan tidaklah dibelanjakan melainkan untuk perkara-perkara yang bermanfaat dan juga berfaedah.
Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agama-Nya, menetapkan keimanan kita, memberikan keikhlasan dan keringanan dalam diri kita untuk beribadah. Semoga Allah SWT menerima segala amal perbuatan kita.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2020/03/hukum-sedekahkan-wang-yang-diberikan.html