Hukum Bekerja Di Syarikat Pos Yang Melibatkan Penghantaran Arak
SOALAN:
Saya sedang melanjutkan pelajaran di luar negara dan bekerja part time di syarikat pengeposan barang. Di tempat saya agak susah untuk mencari part time lebih-lebih lagi kerana saya memakai tudung di negara mejoritinya bukan orang Islam. Sebelum bekerja di sini, selain barang-barang umum yang lain saya tidak tahu yang tempat ini ada melibat pengeposan arak. Jadi kerja saya disini selain daripada susun kotak atau surat ada juga arak yang perlu saya susun. Adakah saya termasuk di dalam golongan 10 yang dilaknat Allah SWT?
JAWAPAN:
Pengharaman Arak
Pengharaman arak merupakan perkara yang qati’e dan wajib mengambil berat di dalam kehidupan seharian. Ini kerana terdapat dalil pengharaman yang khusus seperti mana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90)
Selain itu, pengharaman arak juga termasuk kepada golongan yang terlibat dengannya seperti membuat, menghantar dan menjualnya. Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ
“Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” [Sunan Tirmidzi (1295)
Ini kerana, Allah SWT memerintahkan umatnya supaya bertolong-tolong dalam setiap perkara kebaikan dan melarang untuk membantu dalam perkara kemaksiatan. Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Maidah: 2)
Berkenaan dengan sesuatu perkara yang dilakukan menjurus kepada perbuatan maksiat dan haram maka ia adalah diharamkan.
Hal ini dijelaskan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahawa jumhur dari kalangan ulama mazhab Syafi’e, maliki dan Hanbali mengharamkannya seperti menjual makanan kepada seseorang yang diketahui akan makan pada siang hari di bulan Ramadhan. Begitu juga yang contoh yang dibawa oleh ashab Hanabilah yang mengharamkan sewaan kedai kepada penjual arak.
Selain itu, Imam Abu Hanifah berbeza pendapat berkenaan dengan hal ini dengan tidak memakruhkan seseorang itu bukan bertujuan untuk melakukan kemaksiatan. Seperti menjual burung merpati yang berterbangan dan kayu untuk dijadikan alat muzik. Berbeza dengan menjual senjata kepada pemberontak ini kerana menggalakkan berlaku kemaksiatan dan membantu kepada perkara yang berdosa.
Dalam hal yang lain diharuskan seperti menjual besi untuk dijadikan senjata kerana bukan bertujuan untuk membunuh dan tidak termasuk di dalam membantu perkara kemungkaran. Di dalam hal ini juga, perbahasan ulama’ Hanafi mengharuskan berkenaan dengan permasalahan sewaan seperti seseorang itu berkerja untuk membina gereja, membawa arak kepada kafir zimmi dengan tangan atau kenderaannya, menternak khinzir, menyewa rumah untuk kegunaan tempat ibadah orang bukan Islam seperti gereja atau menyewa rumah untuk penjualan arak. Ini kerana, bukan menjadi kemaksiatan kepada perbuatan itu (iaitu perbuatan menyewa) akan tetapi kemaksiatan adalah dilakukan oleh penyewa.
Imam Burhannuddin al-Marghinani menyatakan di dalam hal ini, sewaan itu mengambil manfaat daripada sewa rumah wajib menerima upahan daripadanya dan ia bukanlah dalam perkara kemaksiatan akan tetapi kemaksiatan adalah yang dilakukan oleh penyewa. (Lihat: al-Mausu’ahh al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: 9/212-213)
Perkara Syubhah
Syubhah dari segi istilah merupakan keyakinan tentang haram atau halalnya sesuatu perkara. Atau tidak jelas secara hakikat halal atau haramnya. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 25/338)
Umat Islam digalakkan menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang tidak jelas akan halal dan haramnya. Ini kerana amaran daripada hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ، فَمَنْ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقْد اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وَإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ
“Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah dijelaskan dan perkara yang haram itu pun jelas, sedangkan antara kedua-duanya terdapat perkara yang samar-samar. Perkara itu tidak diketahui oleh ramai orang. Maka barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang samar-samar itu bererti dia telah menyelamatkan agama dan maruah dirinya. Dan (tetapi) barangsiapa yang berada di dalam syubhah itu, (ditakuti) dia akan jatuh ke dalam perkara yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di tepi-tepi kawasan larangan, ditakuti nanti gembalaan akan masuk juga meragut di dalam kawasan larangan itu. Ketahuilah bahawa bagi setiap pemilik itu ada kawasan larangan, dan ketahuilah kawasan larangan bagi Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkan.” [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (20)]
Imam al-Suyuti dalam mensyarahkan hadis menyatakan perkara mutashabihat merupakan perkara yang tidak jelas halal dan haramnya dan sesiapa yang meninggalkannya bererti dia telah menyelamatkan agamanya daripada fitnah. (Lihat: Syarah al-Suyuti ala Muslim, 4/190)
Imam Qurtubi menyatakan bahawa larangan melakukan perkara yang mutashabihat supaya mengelak daripada terjatuhnya kepada perkara yang diharamkan. Dan ini merupakan menghalang atau menyekat daripada berlakunya kerosakan. (Lihat: Tafsir al-Qurtubi, 3/359)
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan di atas dan perbahasan para ulama dapat disimpulkan bahawa:
• Para ulama’ berpendapat bahawa perkerjaan yang melibatkan dengan arak adalah diharamkan seperti pemprosesan dan penjualan arak.
• Berkenaan dengan membawa dan menghantar arak kepada kafir zimmi, jumhur ulama’ mengharamkannya kecuali pandangan Imam Abu Hanifah mengharuskannya seperti yang dinyatakan di atas.
Justeru kami berpendapat, sekiranya terlibat secara langsung dengan mengangkat kotak yang mengandungi arak maka, perbuatan tersebut adalah diharamkan, wajib meninggalkannya supaya tidak terjerumus dalam kemaksiatan.
Oleh itu, kami mencadangkan supaya berbincang dengan majikan untuk dipindahkan kepada bahagian yang tidak melibatkan aktiviti yang bersangkutan dengan arak.
Dan sekiranya sukar untuk menghindarinya, sebaiknya mencari pekerjaan yang lain dan mengelak daripada pekerjaan yang bersangkutan dengan operasi arak.
Dengan meninggalkan perkerjaan yang melibatkan perkara yang haram dan syubhah bertujuan untuk menjaga syariat dan maslahah agama, semoga dengan itu ia akan dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki yang halal oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا, وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah al-Talaq: 2-3)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2020/01/hukum-bekerja-di-syarikat-pos-yang.html