Hubungan Najib Dan Syarikat Israel Kerajaan Pn Perlu Siasat Segera
Oleh: FAIZ FADZIL
Laporan media Israel, Calcalist, pada 28 Mei 2020 mendedahkan bahawa rejim Najib Razak pada April 2018 telah menjalankan transaksi komersial bernilai US$ 1.5 juta (RM 6 juta) dengan syarikat Israel, Senpai Technologies Ltd. Merujuk dokumen yang difailkan di mahkamah, Calcalist melaporkan bahawa Kerajaan BN telah membeli perisian pengintipan (spyware) daripada Senpai untuk digunakan oleh Special Branch Polis Diraja Malaysia bagi mengintip aktivis dan ahli politik pembangkang.
Ini jelas bertentangan dengan dasar Malaysia yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, yang sering menindas Palestin untuk berdekad lamanya. Ini juga bercanggah dengan kempen Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) yang menentang sebarang transaksi komersial dengan mana-mana entiti berkaitan Israel.
Ini bukan kali pertama nama Najib dikaitkan dengan Israel. 10 tahun lepas, pemerintahan Najib telah bekerjasama dengan firma perunding perhubungan APCO Worldwide yang terlibat dengan “Jewish lobby” atau pun agenda lobi Yahudi di Amerika Syarikat. Malah, dalam tempoh Jun 2009-July 2010, kerajaan BN telah membayar US$ 24.2 juta (RM 76.8 juta) kepada APCO untuk kontrak “perundingan perhubungan kerajaan” sepertimana yang didedahkan di Parlimen oleh Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu.
Terdapat persamaan antara cawangan APCO di Malaysia ketika itu dan Mind Teams Sdn Bhd yang dikatakan mencetuskan idea “1Malaysia”, meniru konsep “One Israel”. Ketua kedua-dua firma berkenaan adalah Paul Stadlen, yang pernah dilantik menjadi penasihat media Najib. Pada tahun 2019, Paul Stadlen telah didakwa SPRM untuk kesalahan pengubahan wang haram, tetapi telah melarikan diri.
Selain skandal APCO, kerajaan BN pimpinan Najib terus dilihat lebih terbuka kepada Israel apabila pada awal tahun 2018 sebelum PRU-14, buat kali pertama dibenarkan kemasukan diplomat Israel secara rasmi ke dalam Malaysia. Sebelum itu pada Oktober 2015, Najib telah berjabat tangan secara mesra dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
PAS ketika itu telah menyelar tindakan Najib sebagai “pengkhianatan” terhadap umat Islam seluruh dunia. Ironinya, PAS kini bersekongkol dengan Najib dalam gabungan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN). PAS sanggup melupakan kesalahan besar Najib ini demi kepentingan politik.
Namun, dalam skandal terbaru ini, Najib seperti biasa cuba menafikan penglibatannya dalam pembelian spyware daripada Senpai. Beliau juga berkata kerajaan BN telah terbubar pada bulan April 2018, iaitu bulan yang sama perjanjian pembelian itu dilaporkan dimeterai.
Sungguh pun begitu, urusan rasmi kerajaan diteruskan kerajaan BN pimpinan Najib selaku “caretaker government” walau pun setelah Parlimen dibubarkan pada 7 April 2018. Oleh itu, Najib tidak boleh melepaskan tanggungjawab ke atas transaksi ini.
Di samping itu, Najib juga berkata bahawa pembelian perisian itu jika benar-benar berlaku, tidak melibatkan Pejabat Perdana Menteri dan beliau bukan Menteri Dalam Negeri. Ini menunjukkan seolah-olah Najib menyalahkan Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, yang turut bertanggunjawab atas Special Branch. Pelik, selaku Perdana Menteri tidak tahu transaksi tersebut sedangkan ia adalah bagi manfaat parti UMNO-BN yang mana Najib adalah ketua ketika itu.
Seharusnya, kedua-dua pemimpin UMNO ini harus jujur dan berterus-terang menjelaskan tentang transaksi komersial dilakukan kerajaan BN dengan firma Israel ini. Mereka juga harus menerangkan mengapa transaksi tersebut dilakukan menerusi sebuah syarikat berdaftar di Cyprus. Kedua-dua pemimpin UMNO ini tidak harus mengaburi mata rakyat Malaysia dengan melepaskan tanggungjawab masing-masing.
Skandal ini adalah satu isu yang sangat membimbangkan. Terdapat dua kesalahan besar yang dilakukan kerajaan BN pimpinan Najib iaitu hubungan dengan entiti Israel dan tindakan mengintip aktivis dan ahli politik pembangkang. Tindakan intipan ini bertentangan dengan prinsip demokrasi dan hak asasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, kerajaan PN yang merangkumi UMNO termasuk Najib dan Zahid Hamidi hendaklah mengambil tanggungjawab menjelaskan dakwaan ini secara jujur dan telus kepada rakyat.
Siasatan perlu dilakukan segera samada perisian pengintipan ini mendedahkan maklumat sulit negara kepada Israel yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
Tindakan Najib selama pemerintahan beliau ini bertentangan dengan sensitiviti rakyat Malaysia terutama umat Islam yang menolak sama sekali sebarang hubungan diplomatik dan komersial dengan Israel serta menunjukkan sikap tidak prihatin UMNO terhadap keganasan Israel ke atas Palestin.
_______________________________________________________________________________
Penulis merupakan ADUN Permatang Pasir dan AJK AMANAH Nasional
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/27954