Hakikat Dunia Adalah Tempat Permainan Senda Gurau
Seringkali apabila kita dihurung oleh masalah dan kekalutan hidup, kita merasakan kebimbangan, kerunsingan dan kesedihan datang membadai diri sehingga menarik jauh ke dasar.
Kita sukar untuk timbul semula ke permukaan. Kita rasakan masalah tidak pernah habis dan bertimpa- timpa. Kita tenggelam dalam masalah yang ada.
Ada hari, badan terasa sangat berat untuk bangun. Kita penat dengan segala macam tugasan dan tanggungjawab yang menanti. Kita penat dicaci maki. Kita tidak mahu menempuh hari-hari yang ada. Ada pula keadaan yang membuatkan diri menjadi seorang yang sangat pemarah, sentiasa beremosi dan kacau jiwa.
Keadaan di atas pasti dekat dengan diri. Paling tidak kita pernah merasainya walau sekali. Tidak dinafikan juga pada hari ini, ramai daripada kita yang diuji dengan perihal emosi. Kita jadi rentan (vulnerable) dengan masalah yang datang. Semakin banyak masalah, semakin jiwa tidak tenteram dan semakin sukar masalah untuk diuruskan.
Tetapi kita terlupa, bahawa dunia ini disifatkan tempat permainan dan senda gurau oleh Allah SWT.
“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (Surah Al-Ankabut, 29:64)
Ertinya apa? Dunia bukan tempat yang perlu kita berikan seluruh jiwa kita, sehingga akhirnya kita hilang punca. Sehingga akhirnya kita hilang diri sendiri kerana terlalu runsing, terlalu bimbang, terlalu takut, terlalu sedih dan segala macam emosi yang menekan.
Jika dunia ini disifatkan oleh Allah SWT hanya sebagai tempat permainan, maka nilaiannya teramatlah kecil untuk kita. Hakikat ini bukan untuk membuatkan kita tidak serius atau ‘lebih kurang’ sahaja dalam menggalas tanggungjawab harian.
Tetapi untuk kita berfikir bahawa di sebalik seluruh beban dan kepenatan yang kita hadapi, ia adalah perihal dunia yang tidak akan pernah habis selagi kita masih bernyawa. Justeru, adakah berbaloi untuk menggadaikan ketenteraman jiwa untuk masalah dunia yang datang silih berganti?
Tanya diri sendiri walau sekali, di sebalik kehidupan dunia yang disifatkan oleh Allah sebagai tempat permainan dan senda gurau ini, apa yang kita inginkan sebenarnya. Dalam perhubungan yang dijalani dengan pasangan, dengan keluarga atau rakan-rakan, apa yang kita mahukan? Dalam pekerjaan yang dilakukan, apa yang ingin kita capai. Di penghujung hari, apa yang kita mahu bawa pulang.
Moga-moga dengan meletakkan kefahaman tentang hakikat dunia, kita akan lebih jelas perkara yang berbaloi untuk diperjuangkan.
Sumber: tzkrh.com
The post Hakikat Dunia Adalah Tempat Permainan & Senda Gurau appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.islamituindah.my/hakikat-dunia-adalah-tempat-permainan-senda-gurau/