Jangan Kita Lupa Tergubalnya Ruu Anti Lompat Parti Adalah Atas Jasa Jahat Tun Mahathir
Ramai yang memuji Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob atas kejayaan membentang dan seterusnya beroleh kelulusan dalam RUU Anti Lompat Parti yang sebelum ini tertangguh beberapa kali.
Kesungguhannya terhadap RUU itu tidak lain adalah kerana beliau ingin memastikan kemelut politik yang menjejaskan nama negara selepas peristiwa Langkah Sheraton tidak berulang kembali.
Di samping itu, pujian juga tidak harus dilupakan kepada PH kerana melalui MOU yang dimetrai dengan Perdana Menterilah yang dianggap memungkinkan RUU itu menjadi kenyataan akhirnya.
Melaksanakan RUU Anti Lompat Parti adalah antara persetujuan yang terkandung dalam MOU itu.
Tanpa MOU dan sokongan PH, Ahli-Ahli Parlimen lompat parti yang berada dalam kerajaan sekarang mungkin akan menggunakan pelbagai cara untuk menggagalkan undang-undang tersebut daripada menjadi kenyataan.
Ini kerana mereka itu mungkin ada hasrat untuk melompat lagi selepas PRU15 akan datang nanti.
Namun, dengan 90 Ahli Parlimen PH memberi komitmen sokongan, dicampur dengan wakil rakyat UMNO sendiri turut menyokong kerana mereka telah hilang ramai Ahli Parlimen sejak 2018, persefahaman itulah yang merupakan kunci kejayaannya.
Lain-lain parti yang berjiwa suci dan tidak memikirkan habuan duniawi pasti dengan senang hati serta tiada masalah menyokong RUU Anti Lompat Parti itu.
Sebab itu dalam undian yang dilakukan petang semalam, RUU itu mendapat undi menyokong sebanyak 209 dan 11 Ahli Parlimen tidak hadir.
Dengan RUU iru berkuatkuasa, negara kini menempa satu lagi sejarah besar yang bertujuan melindungi mandat rakyat, memastikan kestabilan serta untuk mengelakkan negara terus berdepan krisis politik yang tidak berkesudahan.
Tetapi, sedarkah kita apa yang sebenarnya menjadi punca utama sehingga tergubalnya RUU Anti Lompat Parti itu?
Sementara banyak pihak melihat peristiwa Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH tumbang adalah penyebab utamanya, tetapi kejadian lompat parti sebenarnya bermula lebih awal daripada itu lagi.
Sebaik PH menjadi kerajaan dan Tun Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri, beliaulah yang memulakan usaha menarik beberapa Ahli Parlimen UMNO yang diketuai Hamzah Zainuddin untuk melompat menyertai Bersatu.
Selain kumpulan Hamzah seramai 16 Ahli Parlimen yang melompat parti, selepas itu UMNO Sabah juga berkecai apabila hampir keseluruhan pimpinannya secara beramai-ramai menyertai Bersatu.
Sebagaimana lompatan oleh Hamzah dan gerombolannya adalah sesuatu yang dirancang, apa yang berlaku di Sabah juga demikian sifatnya.
Tindakan Tun Mahathir menarik Ahli-Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu ialah untuk menguatkan partinya yang hanya menang 13 kerusi dalam PRU14 berbanding PKR sebanyak 47, DAP 42 dan Amanah 11.
Muslihat menambah kekuatan Bersatu itu, terutama dengan membawa masuk gerombolan yang diketuai Hamzah adalah kerana Tun Mahathir memang sejak awal ingin memungkiri janji peralihan kuasa terhadap Anwar Ibrahim bagi membolehkannya berkuasa selagi hayat dikandung badan.
Dengan kedudukan kerajaan PH yang stabil dan selesa ketika itu serta jika benar berpegang kepada janji, hakikatnya tidak perlu sama sekali pun Tun Mahathir membawa Ahli-Ahli Parlimen UMNO melompat menyertai Bersatu.
Daripada lompatan berjemaah itulah akhirnya yang membawa kepada berlakunya peristiwa Langkah Sheraton.
Maknanya Langkah Sheraton hanyalah fasa kedua episod lompat parti di mana tapak mulanya ialah dalam hati Tun Mahathir yang membawa Hamzah dan gerombolannya melompat daripada UMNO kepada Bersatu.
Jika gerombolan Hamzah tidak dibawa melompat menyertai Bersatu dan Azmin Ali yang sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor tidak dijadikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Tun Mahathir, bukan saja Langkah Sheraton tiada sebab untuk berlaku, bahkan PH masih lagi kekal sebagai kerajaan ketika ini.
Itulah “jasa jahat” Tun Mahathir yang akhirnya membawa kepada tergubal RUU Anti Lompat Parti di negara ini.
Tanpa “jasa jahat” Tun Mahathir, RUU Anti Lompat Parti mungkin kekal sekadar bahan penyedap ceramah saja kerana tidak pernah terbayang akan berlaku acara lompatan secara berjemaah sebagaimana yang digerakkannya melalui Hamzah.
Untuk itu, dengan tergubal RUU Anti Lompat Parti semalam, wajar juga sebenarnya dikenang “jasa jahat” Tun Mahathir itu buat kenang-kenangan generasi akan datang sambil dititipkan ucapan terima kasih tak terhingga kepadanya. – ShahbudinHusin 29/07/2022.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/07/jangan-kita-lupa-tergubalnya-ruu-anti.html