Fatwa Terkini Mufti Wp Hukum Beli Barang Kemas Pakai Dulu Bayar Kemudian
Soalan

Assalamualaikum, saya ada soalan berkenaan sebahagian kedai emas yang menawarkan pembelian barang kemas secara pakai dulu, bayar kemudian secara ansuran. Adakah perkara ini diharuskan? Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan
Hukum membeli emas perhiasan secara pakai dulu bayar kemudian secara ansuran daripada kedai emas adalah diharuskan berdasarkan pandangan sebahagian ulama yang mengatakan bahawa emas perhiasan tidak dikira sebagai item ribawi.
Namun, mereka yang ingin memilih pandangan jumhur yang berpendapat bahawa barang perhiasan emas termasuk dalam kategori item ribawi dan ingin keluar daripada khilaf untuk mengambil jalan berhati-hati dan selamat, maka boleh menggunakan alternatif berikut untuk membayar secara ansuran dan mendapatkan terus barang kemas:
1.Pembelian menggunakan kad kredit islamik kerana ia dianggap tunai.
2.Membuat pinjaman daripada pihak lain kemudian membeli emas secara tunai.
Jika pembelian emas perhiasan itu menggunakan kad kredit konvensional, pinjaman tidak patuh syariah atau mana-mana instrumen yang mengandungi unsur riba, maka hukumnya adalah haram.
Huraian Jawapan....
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Emas merupakan salah satu item ribawi yang tertakluk kepada beberapa syarat-syarat khusus apabila ingin dijual dengan item ribawi seperti wang ringgit. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit RA bahawa Nabi Muhammad saw bersabda:
الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ
Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti diserahkan secara lani (on the spot)”.
(Riwayat Muslim)
Hadis ini menjelaskan salah satu syarat yang wajib dipenuhi dalam pembelian emas dengan wang iaitu jual beli dan penyerahan kedua-dua item tersebut mesti berlaku secara lani dan tidak dibenarkan untuk berlaku secara bertangguh. Oleh itu, pada asasnya pembelian emas dengan wang yang mana kedua-dua merupakan item ribawi yang sama illah secara ansuran adalah haram. Perkara ini disepakati oleh para ulama bagi emas jongkong, syiling dan dinar. Untuk bacaan lanjut, sila rujuk artikel Al-Kafi #1817: Hukum Membeli Emas Secara Ansuran.
Walau bagaimanapun, para ulama berbeza pendapat berkenaan emas perhiasan atau emas yang telah ditempa adakah ia dikira sebagai item ribawi atau tidak.
Pendapat pertama: Jumhur ulama berpandangan bahawa emas dan perak adalah item ribawi walaupun emas perhiasan dan pembentukan emas itu menjadi perhiasan tidak memberi kesan kepada hukum tersebut.[1] Di sisi mereka, emas yang telah ditempa tetap tertakluk kepada hukum-hakam jual beli sorof.
Pendapat kedua: Ibn al-Qayyim dan guru beliau Ibn Taimiyah berpandangan bahawa emas perhiasan tidak dikira sebagai item ribawi kerana ia sudah tidak berfungsi sebagai medium pertukaran. Oleh itu, pertukaran emas perhiasan dengan wang tidak tertakluk kepada hukum riba.[2] [3] Syeikh Taqi Uthmani juga memilih pandangan bahawa pembelian emas perhiasan dengan wang secara bertangguh adalah diharuskan dengan syarat mestilah dijual dengan harga semasa akad dilakukan.[4]
Pendapat kedua ini juga difatwakan oleh Jabatan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah)[5] dan juga selari dengan keputusan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan:
“Syarat-syarat khusus jual beli emas yang bercirikan item ribawi khas bagi emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi”.[6]
Berdasarkan penjelasan di atas, boleh disimpulkan bahawa hukum pembelian emas perhiasan secara “pakai dulu bayar kemudian” iaitu dengan membeli secara ansuran daripada kedai emas adalah diharuskan berdasarkan pandangan sebahagian ulama yang menyatakan bahawa emas bukan item ribawi. Oleh itu, jual beli emas perhiasan tidak terikat dengan syarat pertukaran item ribawi.
Pembelian secara ansuran menggunakan kad kredit pula islamik pula adalah diharuskan menurut kedua-dua pandangan kerana ia dianggap tunai dan tidak melanggar syarat pertukaran item ribawi iaitu penyerahan secara lani. Hal ini berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengenai Parameter Pelaburan Emas :
“Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan. Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.”[7]
Manakala pembelian emas perhiasan menggunakan kad kredit konvensional, pinjaman tidak patuh syariah atau mana-mana instrumen yang mengandungi unsur riba adalah diharamkan.
Kesimpulan
i. Hukum membeli emas perhiasan secara pakai dulu bayar kemudian secara ansuran daripada kedai emas adalah diharuskan berdasarkan pandangan sebahagian ulama yang mengatakan bahawa emas perhiasan tidak dikira sebagai item ribawi.
ii. Namun, mereka yang ingin memilih pandangan jumhur yang berpendapat bahawa barang perhiasan emas termasuk dalam kategori item ribawi dan ingin keluar daripada khilaf untuk mengambil jalan berhati-hati dan selamat, maka boleh menggunakan salah satu alternatif berikut untuk membayar secara ansuran dan mendapatkan terus barang kemas:
Pembelian menggunakan kad kredit islamik kerana ia dianggap tunai.
Membuat pinjaman daripada pihak lain kemudian membeli emas secara tunai.
Jika pembelian tersebut melibatkan pinjaman daripada syarikat kredit yang tidak patuh syariah atau mana-mana pinjaman yang mengandungi riba, maka hukumnya adalah haram.
WaAllahua’lam
Rujukan:
[1] Wizarah al-Auqaf wa al-Shu’un al-Islamiyyah, al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Mesir: Dar al-Safwah, t.t), jld. 28 hlmn. 102.
ويتعلق بالصياغة جملة من الأحكام:
4 - منها: ذهب جمهور الفقهاء إلى عدم اعتبار الصياغة في بيع الذهب بالذهب والفضة بالفضة، فيشترط في جواز بيعها التماثل في وزن المصوغ فيجب أن يساوي المصوغ غير المصوغ في الوزن.
[2] Muhammad bin Abu Bakar Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin, (Arab Saudi: Dar Ibn al-Jauzi, 1423H), jld. 3, hlmn. 407.
أن الحلية المُباحة صارت بالصّنعة المباحة من جنس الثياب والسلع، لا من جنس الأثمان، ولهذا لم تجب فيها الزكاة، فلا يجري الربا بينها وبين الأثمان كما لا يجري بين الأثمان وبين سائر السلع
[3] Ahmad bin Abdul Halim Ibn Taimiyah, Tafsir Ayat Asykalat ‘ala Kathir min al-‘Ulama’ (Riyad, Maktabah al-Rusyd, 1417) Jld. 2 Hlm. 623-624
وجمهور العلماء يقولون هو لم يدخل في ذلك الحلية المباحة بل لا زكاة فيها فكذلك الحلية المباحة لم تدخل في نصوص الربا فإنها بالصيغة المباحة صارت من جنس الثياب والسلع لا من جنس الأثمان فلهذا لم يجب فيها زكاة الدنانير والدراهم ولا يحرم بيعها بالدنانير والدراهم.
[4] Muhammad Taqi Uthmani, Fiqh al-Buyu‘ ‘ala al-Mazahib al-’Arba‘ah, (Karachi: Maktabah Ma‘arif al-Quran, 2015) jld. 2 hlmn. 763.
أما الموقف الثالث الذي رجحته ورجحه كثير من علماء شبه القارة الهندية والذى ذكرت أدلته فيما سبق على مذهب الإمام محمد رحمه الأ تعالى، فأنه يجوز شراء حلي الذهب والفضة بالنقود الورقية نسيئة بشرط أن يكون سعر يوم العقد ولا يُشترط فيه التقابض، بل لا يُشترط قبض الحلي الحقيقي وإنما يكفي تعيين الحلي لأنه النقود الورقية في حكم الفلوس في أحكام الصرف فقط وشراء الحلي بالفلوس لا يشترط فيه التقابض عند الحنفية بل يكفى تعيين الحلي.
[5] Rujuk: https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/13702/%D8%B4%D8%B1%D8%A7%D8%A1-%D9%88%D8%A8%D9%8A%D8%B9-%D8%A7%D9%84%D8%B0%D9%87%D8%A8-%D8%A8%D8%A7%D9%84%D8%AA%D9%82%D8%B3%D9%8A%D8%B7
[6] Rujuk: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10283
[7] Rujuk: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10283
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ustazcyber.com/2025/09/fatwa-terkini-mufti-wp-hukum-beli.html