Emosi Mengatasi Segalanya Cool Dapat Hentam Kerajaan Kata Pua
MALAYSIA NOW
Ahli Parlimen DAP mempertahankan pendiriannya berhubung persefahaman rentas parti yang ditawarkan perdana menteri.
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua. Gambar: Facebook Walaupun partinya menolak tawaran Muhyiddin Yassin, ahli Parlimen Damansara dari DAP, Tony Pua tetap mempertahankan pandangannya, mengatakan ramai orang bertindak berdasarkan emosi sehingga terburu-buru menolak persefahaman rentas parti politik yang ditawarkan perdana menteri.
Ketika ditemubual oleh Harith Iskander dalam rancangan yang membincangkan isu semasa negara, Pua berkata sukar bagi ahli-ahli politik mengenepikan politik dan bekerjasama merentasi bendera parti bagi menyelesaikan masalah rakyat.
“Contoh terbaik untuk kita ketepikan politik dan bekerjasama adalah dalam isu tawaran perdana menteri kepada kita. Tetapi emosi mengatasi segalanya.
“Saya benar-benar faham ada perasaan marah itu, tetapi ketika ada rasa itulah saya buat hantaran (di media sosial) tersebut dengan harapan untuk ketepikan sikit politik ini, dan ini adalah peluang untuk kita beri kebaikan kepada negara,” kata Pua, yang kini mendapat kecaman daripada beberapa rakan pembangkangnya.
Setiausaha publisiti DAP itu berpendapat mereka sekurang-kurangnya harus duduk berbincang berhubung cadangan yang ditawarkan Muhyiddin baru-baru ini.
Pada Jumaat Muhyiddin menyenaraikan tujuh perkara dalam usaha persefahaman rentas parti politik bagi mengelakkan pentadbiran kerajaan ketika ini jatuh dan boleh menyaksikan kumpulan “kleptokrat” mengisi kekosongan kuasa dan menganggu usaha melawan pandemik Covid-19.
Antara lain, beliau berjanji untuk menyalurkan peruntukan dana yang sama rata kepada semua ahli Parlimen, menggubal undang-undang anti lompat parti, menghadkan penggal jawatan perdana menteri, dan memastikan perwakilan ahli Parlimen yang seimbang sama ada daripada kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen.
Muhyiddin juga turut berjanji untuk melaksanakan Undi 18 bagi membolehkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas mengundi pada pilihan raya akan datang.
Pua bersama ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming adalah dua ahli Parlimen DAP yang secara terbuka berkata perkara itu harus dibincangkan gabungan pembangkang.
DAP yang merupakan parti komponen dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) bagaimanapun menolak cadangan itu beberapa jam selepas tawaran tersebut diumumkan.
Pua berkata, walaupun DAP pernah memiliki beberapa peluang untuk mengenepikan politik demi menyelesaikan masalah rakyat akibat pandemik, langkah itu dianggap tidak popular.
“Secara umumnya, ini bukan perkara paling ‘cool’ untuk dilakukan. Lebih ‘cool’ bila dapat hentam kerajaan, ia lebih mudah,” katanya.
Beliau turut memberikan sebuah contoh pertemuan DAP dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz untuk menyerahkan cadangan bagi dimasukkan dalam rancangan pemulihan Covid-19 yang dilaksanakan kerajaan dan menambah beberapa cadangan mereka diterima.
Pua juga turut mengambil contoh pelantikan Ong dari DAP oleh Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk memantau perjalanan vaksinasi di Lembah Klang.
“Tidak begitu cool untuk duduk dalam jawatankuasa di mana kerajaan yang buat kerja untuk selesaikan masalah yang sukar kerana kita mungkin akan turut diheret olehnya.
“Adakah saya terlalu jujur bercakap di sini?” kata beliau dalam temu bual malam tadi.
Menjelaskan pendiriannya mengenai persefahaman rentas parti, Pua berkata ia adalah peluang untuk melaksanakan perubahan dalam negara.
Beliau turut mempersoalkan ahli politik pembangkang yang menolak cadangan itu dengan alasan kerajaan ketika ini tidak boleh dipercayai.
“Saya rasa kita harus pertimbangkan. Pertimbangkan bermaksud pergi jumpa dan berunding, bincang dulu.
“Kemudian pertanyaan seterusnya apakah kita dapat percaya atau laksanakannya. Itulah sebabnya bincang itu penting.”
Pua berkata persoalan keikhlasan tidak timbul kerana ia sama seperti sesebuah transaksi.
“Anda mahu beli rumah? Saya tidak percaya anda terus bayar. Anda bayar deposit terlebih dahulu, deposit pula tidak akan dikembalikan supaya saya tahu anda betul komited untuk patuhi syarat-syaratnya.
“Jadi masalah keikhlasan dan kepercayaan tidak lagi penting kerana deposit telah dibayar. Dan jika dia tidak laksanakan, anda tak akan berikan (sokongan), kerana mulai sekarang hingga 8-10 bulan ke depan, setiap rang undang-undang dibentang memerlukan sokongan pembangkang. Jadi kalau anda tak laksanakan, kami tidak sokong anda, dan kerajaan jatuh, kita tak mahu itu berlaku.
“Sekiranya kita tidak miliki apa-apa, dia pun tak boleh janjikan apa-apa, dan kita pun tak boleh jamin dia boleh buat sesuatu. Tetapi sekarang kita ada sesuatu, dan kita boleh meraih sesuatu,” kata Pua.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/emosi-mengatasi-segalanya-cool-dapat.html