Kerajaan Baru Mesti Kekalkan Dasar Sedia Ada Dalam Perang Melawan Covid 19 Kata Agong
 MALAYSIA NOW
 Agong berkata ia termasuk program vaksinasi kebangsaan dan usaha mencapai imuniti kelompok dalam negara. 

Petugas kesihatan membuat  pemeriksaan dos vaksin pada picagari dengan berlatar belakang bendera  Malaysia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, di Cheras      Dalam sebuah peringatan  kepada ahli-ahli politik bahawa rakyat tidak boleh dibebankan dengan  kemelut politik yang tidak berkesudahan, Yang di-Pertuan Agong berharap  sebarang kerajaan baru yang ditubuhkan akan mengekalkan dasar-dasar dan  usaha dalam melawan pandemik Covid-19.
“Perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek  pembangunan, program menangani pandemik Covid-19, termasuk program  vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok, dan program pemulihan negara  perlu dikekalkan,” kata Istana Negara dalam sebuah kenyataan  menyimpulkan nasihat yang diberikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah  kepada pemimpin parti politik semalam.
Istana Negara turut berkata Agong juga turut memberitahu ahli-ahli  Parlimen bahawa perdana menteri baru akan dipilih berdasarkan  Perlembagaan.
  Beliau berkata ahli-ahli Parlimen perlu berkhidmat dengan dengan penuh kejujuran demi kemaslahatan rakyat.
“Majoriti ‘frontliners’ berada dalam keletihan kerana berhadapan  ribuan pesakit Covid-19 baru setiap hari. Bahkan, fasiliti-fasiliti  kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan,” katanya.
Istana turut berkata kemelut politik memberikan kesan negatif yang  mendalam kepada ekonomi negara, dan demi kemasalahatan dan keselamatan  rakyat, pilihan raya umum tidak menjadi pilihan sebagai jalan keluarnya.
Beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana  menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan ketika  Malaysia mula menunjukkan penularan signifikan wabak Covid-19.
Keputusan tersebut memaksa kerajaan untuk membelanjakan bilion  ringgit dalam pelbagai pakej rangsangan bagi membantu perniagaan dan  pekerja dalam melangsungkan kehidupan ketika berdepan dengan impak  daripada langkah-langkah membendung pandemik.
Kerajaan sebelum ini juga berjaya menjalankan program vaksinasi  besar-besaran yang kini mencapai 35% populasi negara lengkap divaksinasi  selain kadar vaksinasi hariannya telah mendapat pujian antarabangsa.
Muhyiddin turut memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara, dengan  matlamat utamanya untuk membuka semula sektor ekonomi dan aktiviti  sosial dapat dijalankan seperti biasa.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/kerajaan-baru-mesti-kekalkan-dasar.html