Doktor Pakar Dedah Identiti Pesakit Covid 19 Menyalahi Tataetika
 SUARA MERDEKA

  TINDAKAN seorang doktor pakar di Kementerian Kesihatan Malaysia   (KKM) mendedahkan identiti pesakit kepada umum dengan merujuk kepada  individu ternama di Sabah yang dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth  (HQE) di Kota Kinabalu, Sabah, adalah menyalahi tataetika seorang doktor  perubatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata  kerahsiaan pesakit menjadi keutamaan bagi profesion perubatan dan KKM  sentiasa menekankan perkara itu.
 “Saya harapkan ini bukanlah satu kebiasaan yang Dr  (doktor) amalkan kerana KKM sememangnya bergantung kepada Pegawai  Perubatan Pakar untuk mendidik Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan  Siswazah.
    “Dr juga agak arif dengan selok belok di HQE, namun kemungkinan perlu  menyemak kembali protokol pengendalian Pesakit Bawah Siasatan (PUI)  yang disahkan COVID-19 ke hospital COVID-19,” katanya dalam kolum Tinta  Minda di laman sesawang www.bernama.com.
Beliau berkata demikian mengulas warkah Dr Tachdjian kepada Perdana  Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ‘Cukuplah abah, anak-anak derita’ yang  mendedahkan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor positif COVID-19 dan  dirawat di HQE serta situasi semasa di hospital berkenaan  termasuk petugas kesihatan yang dikuarantin kerana dijangkiti pandemik  tersebut.
				 Dr Noor Hisham berkata kes disahkan status jangkitan positif COVID-19  dan didapati stabil akan dimasukkan terus ke wad COVID-19, dan protokol  yang sama digunakan untuk semua kes tanpa mengira status kes dalam  masyarakat.
Beliau berkata terdapat kemungkinan berlaku situasi kes perlu  menunggu katil dikosongkan di wad COVID-19 yang berlaku dari semasa ke  semasa.
Mengulas mengenai peningkatan kes COVID-19 di Sabah, Dr Noor Hisham  berkata data kes harian yang dibentangkan setiap hari serta mesyuarat  harian bersama perdana menteri dan Sidang Media COVID-19 kini dilakukan  secara ‘sidang video’.
“Saya telah menerangkan tindakan kerajaan bagi memastikan kapasiti  ujian di makmal-makmal, peningkatan jumlah katil bagi kes COVID-19  mencukupi, pembelian peralatan dan pengagihan alat bantuan pernafasan.
Pada awalnya, petugas di Kota Kinabalu digerakkan untuk membantu  hospital di daerah timur Sabah serta pusat-pusat kuarantin dan rawatan  COVID-19 berisiko rendah. KKM turut menggerakkan petugas kesihatan  daripada negeri-negeri ke Sabah dan ditempatkan di hospital-hospital di  Kota Kinabalu bagi menggantikan lompong keperluan petugas di Kota  Kinabalu,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata situasi lebih mencabar apabila petugas  kesihatan juga dijangkiti COVID-19 daripada komuniti, tempat kerja,  rakan setugas atau semasa pengendalian kes itu.
“Mereka perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan kontak rapat  perlu dikuarantinkan. Namun, pujian harus diberi kepada pihak pengurusan  HQE dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
“Pelan mobilisasi diteruskan, perkhidmatan berjalan dan situasi  dijangka bertambah baik. Petugas kesihatan terus cekal bertugas  sementara lebih ramai pasukan bantuan perubatan tiba,” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, kementerian akan memastikan kelengkapan  perlindungan diri (PPE) mencukupi di semua hospital seluruh Malaysia  termasuk di HQE.
Katanya, kelulusan pusat diterima pada 2 Okt bagi permohonan  perolehan secara darurat untuk PPE di Sabah, manakala sistem pangkalan  data pusat dibangunkan semasa gelombang satu dan dua COVID-19 membantu  kementerian lebih bersedia.
Dr Noor Hisham berkata semua pihak hendaklah bersatu hati melandaikan  keluk semasa gelombang kedua COVID-19 serta fokuskan terhadap tenaga  dan usaha bagi menentang musuh tersebut sambil berdoa dan  bertawakal.-BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/doktor-pakar-dedah-identiti-pesakit.html