Kes Covid 19 Naik Salahkan Kerajaan Tersilap Langkah Kata Pakar
Dua kumpulan perubatan mengaitkan peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini dengan kegagalan kerajaan melaksana prosedur kuarantin secara ketat ke atas mereka yang pulang dari Sabah.
Jurucakap Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata kuarantin 14 hari seharusnya diwajibkan tanpa mengira keputusan ujian awal, dengan mereka yang pulang diuji kali ke-2 pada hari ke-13. Prosedur itu sama seperti prosedur ketibaan antarabangsa.
Mereka berkata, kegagalan untuk kuarantin diburukkan lagi dengan kegagalan amal jarak fizikal, memakai pelitup muka, dan SOP lain.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzli mengkritik keputusan tidak mewajibkan kuarantin ke atas mereka yang pulang dari Sabah sebelum 27 September dan, kemudian membenarkan mereka lepas tanpa sebarang sekatan pergerakan sementara selepas hanya sekali keputusan ujian negatif.
Dalam perutusan khas semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengakui kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah antara punca peningkatan kes Covid-19.
Dr Subramaniam Muniandy, presiden MMA, mengkritik kerajaan kerana lambat bertindak terhadap risiko dibawa mereka yang pulang dari Sabah semasa kempen PRN.
“Ujian mandatori dan kuarantin untuk mereka yang pulang sepatutnya dibuat lebih awal kerana orang ramai membuat perjalanan ke daerah yang terjejas di Sabah pada hari-hari menuju PRN,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen Azrul Khalib mengatakan membuat keputusan seperti itu bukan hal rumit.
“Kuarantin kendiri selama 14 hari akan sangat bermanfaat dalam mengawal penyebaran jangkitan, terutama ahli politik yang berjumpa dan berinteraksi dengan ramai orang berbanding orang biasa,” katanya.
Azrul berkata mengadakan pilihan raya ketika wabak berisiko tetapi menambah kebimbangan tersebut boleh dikurangkan sekiranya “diurus dengan baik” dan “ada disiplin serta pematuhan SOP yang kuat oleh ahli politik dan orang awam.
Subramaniam berkata, kurangnya pematuhan SOP yang diterima ramai wajar disalahkan kerana peningkatan kes baru.
“Kementerian Kesihatan berulang kali mengingatkan masyarakat tentang pentingnya mematuhi SOP, tetapi nampaknya ramai tak patuh, termasuk ahli politik yang berkempen di Sabah,” katanya.
“Sebilangan ahli politik dan orang awam dalam acara politik dilihat tak jaga jarak fizikal sementara ada yang tanggalkan pelitup muka macam dapat kita lihat dengan jelas dalam sedutan rakaman kempen di TV.”
Dr Kuljit Singh, presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, bagaimanapun, berkata seseorang tidak boleh menyalahkan prosedur kuarantin yang lemah tanpa bukti untuk menyokong dakwaan itu.
Katanya, kemungkinan mereka yang membuat keputusan (adakan pilihan raya) melihat corak penyebaran dan jangkitan. Mungkin itu nasihat yang diberikan kepada mereka, tambahnya.
Beliau memberitahu FMT, seseorang tidak boleh pastikan sama ada peningkatan itu disebabkan oleh prosedur kuarantin yang lemah.
Namun, Dr Subramaniam berkata, ahli politik perlu memimpin dengan tunjukkan teladan.
“Rakyat ditangkap dan didenda kerana ingkar PKPP dan SOP setiap hari, tetapi orang VIP nampak seperti bebas,” katanya.
“Rakyat sekarang ini berasa marah dengan dwi standard dalam penguatkuasaan.” FMT
Sabah dilanda gelombang kedua Covid-19
The post Kes Covid-19 naik: Salahkan kerajaan tersilap langkah, kata pakar appeared first on MYKMU.NET.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/10/07/kes-covid-19-naik-salahkan-kerajaan-tersilap-langkah-kata-pakar/