Doktor Beritahu 8 Komplikasi Boleh Berlaku Kalau Hb Rendah Anak Pramatang Risiko Pendarahan Sangat Tinggi
Apabila mengetahui diri mengalami Hb rendah, ibu perlu tahu risiko & mengambil langkah untuk mengatasinya. Ikuti perkongsian pakar O&G ini.
Anemia atau istilah popularnya ‘Hb rendah’ salah satu masalah ibu hamil yang tidak boleh dipandang mudah. Ia selalunya dapat dikesan melalui prosedur wajib semasa pemeriksaan antenatal di klinik sakit puan.
Hb rendah selalunya dapat dikesan semasa ujian pranatal. Pengesanan awal anemia ketika hamil dan membolehkan rawatan dilakukan lebih awal untuk mengelakkan pelbagai masalah kepada ibu dan bayi.
Menurut Dr Jumeah Shamsudin, pakar perbidanan dan sakit puan Avisena Specialist Hospital, ibu yang mengalami anemia sering keletihan, mudah berasa penat dan mengantuk semasa hamil.
3 TAHAP ANEMIA IBU HAMIL
Anemia semasa hamil mempunyai tahap. Mengikut World Health Organization (WHO), anemia sebagai hemoglobin (Hb ) di bawah paras 11 g / dL. Ia dikategorikan kepada 3 peringkat iaitu;
Ringan Hb 9-11 g / dL
Sederhana Hb 7-9 g / dL
Teruk Hb kurang daripada7 g / dL
APAKAH ANEMIA?
Anemia adalah apabila darah anda tidak mengandungi cukup sel-sel darah merah atau kuantiti hemoglobin (molekul protein yang mengandungi zat besi dalam sel darah merah) kurang daripada biasa. Sel darah merah berfungsi untuk membawa oksigen ke tisu-tisu badan ibu dan bayi.
Lazimnya, anemia berlaku disebabkan oleh masalah pengeluaran sel darah merah yang berkurangan, kehilangan darah, atau kemusnahan sel-sel darah merah.
ANEMIA DISEBABKAN OLEH KEKURANGAN ZAT BESI
Kekurangan zat besi (iron deficeiency anaemia) membawa kepada penghasilan sel darah merah yang kurang. Hal inilah yang sering didepani oleh kebanyakan ibu yang mengalami anemia semasa hamil. Sepatutnya, semasa anda hamil, badan anda perlu menghasilkan lebih banyak darah untuk menampung tumbesaran bayi.
Sekiranya zat besi tidak dibekalkan badan dalam kuantiti yang mencukupi, penghasilan sel darah merah oleh tubuh tidak dapat menampung keperluan ibu dan janin. Dalam masa yang sama, isi padu darah akan makin bertambah disebabkan oleh peningkatan plasma darah. Ini boleh menyebabkan keadaan yang dinamakan anemia relative atau fisiologi.
IBU YANG BERISIKO ALAMI ANEMIA MASA HAMIL
Menurut Dr Jumeah, setiap ibu hamil mempunyai risiko untuk mengalami masalah HB rendah ini. Namun bagi golongan ibu yang disenaraikan ini yang perlu mengambil perhatian serius dan sentiasa mengambil langkah memantau paras sel darah merah untuk mengelakkan masalah HB rendah yang memudaratkan.
Jarak kehamilan yang rapat.
Ibu yang sedang hamil bayi kembar.
Mengalami muntah terlalu kerap ketika mengalami alahan mengandung yang teruk.
Ibu yang tidak atau kurang mengambil makanan yang kaya dengan zat besi dengan mencukupi untuk penghasilan sel darah merah dalam kuantiti yang banyak untuk ibu dan janin.
Ibu mengalami haid dalam kuantiti yang banyak sebelum hamil dan ini menyebabkan zat besi dalam badan berkurangan semasa hamil.
Ibu yang hamil muda iaitu pada usia remaja.
Ibu mempunyai sejarah anemia sebelum ini.
Ibu yang mengambil alkohol.
8 RISIKO YANG BOLEH BERLAKU KEPADA IBU HAMIL ANEMIA
Bagi ibu yang mengalami Hb rendah ini, terdapat beberapa risiko yang perlu dihadapi olehnya dan bayi andai ia tersebut tidak ditangani awal iaitu;
Sistem pertahanan semula jadi badan ibu menurun menyebabkan mereka mudah mendapat jangkitan bakteria atau virus dan mudah jatuh sakit.
Ibu hamil dengan anemia yang teruk mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat komplikasi terutamanya semasa dan selepas kelahiran.
Mereka berisiko mendapat komplikasi jantung di mana degupan jantung boleh meningkat (tachycardia) ke tahap yang luar biasa dan boleh mengalami kegagalan jantung kerana jantung anda tidak mengepam darah ke seluruh badan anda dengan cekap.
Tekanan darah tinggi pada ibu.
Ibu anemia juga berkemungkinan besar memerlukan transfusi darah sekiranya mereka mengalami pendarahan semasa melahirkan.
Bayi juga boleh lahir tidak cukup bulan (pramatang)
Bayi lahir dengan berat badan yang rendah.
Bayi berisiko untuk mendapat masalah anemia kerana kekurangan zat besi.
Artikel berkaitan: Doktor Kongsi 10 Tip Naikkan Paras Hb Ibu Hamil Anemia. Rupanya Ada Jenis Makanan Boleh Gagalkan Usaha!
Mama papa, jom kita belajar cara nak cuci botol susu!
The post Doktor Beritahu 8 Komplikasi Boleh Berlaku Kalau Hb Rendah. Anak Pramatang & Risiko Pendarahan Sangat Tinggi appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://majalahpama.my/doktor-beritahu-8-komplikasi-boleh-berlaku-kalau-hb-rendah-anak-pramatang-risiko-pendarahan-sangat-tinggi/