Cara Adab Masuk Rumah Kosong
Islam adalah agama yang sangat menyeluruh, sehinggakan bab memberi salam ketika hendak masuk ke dalam rumah juga disebutkan di dalam al-Quran seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)" (Surah al-Nur, ayat 27)
Memberi salam juga adalah suatu Sunnah yang melambangkan identiti seorang Muslim. Salam yang mengandungi ucapan beserta doa itu melambangkan betapa eratnya hubungan di antara seorang Muslim dengan Muslim yang lain itu, serta betapa prihatinnya dia terhadap saudaranya.
Begitulah besarnya hikmah di sebalik seruan Nabi SAW terhadap umatnya melalui hadith yang diriwayatkan al-Bara’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda: "Sebarkan (jadikan kebiasaan) salam, (maka) kamu akan sejahtera." (Hadis riwayat Bukhari)
Bagaimana pula ketika masuk ke rumah kosong? Adakah perlu diberikan salam?
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sekiranya seseorang itu masuk ke dalam rumah yang tidak berpenghuni, maka ucapkanlah: “Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah al-Solihin (salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh)” (Hadis riwayat Bukhari)
Syeikh Zakaria al-Kandahlawi dalam mensyarahkan hadith ini telah menukilkan beberapa pandangan ulama yang berkaitan hadith ini.
Dinukilkan daripada Ibn ‘Abbas mengatakan bahawa rumah yang tidak berpenghuni adalah termasuk rumah yang berpenghuni namun tidak ada orang di dalamnya. (Lihat Awjaz al-Masalik ila al-Muwatta’ Malik, 17/206)
Imam al-Suyuthi pula menukilkan bahawa sekiranya masuk ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya terdapat orang Islam, maka ucapkanlah salam, sekiranya masuk ke dalam rumah yang didiami oleh orang bukan Islam atau tiada orang di dalamnya, maka ucapkanlah: “Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah al-Solihin. Lihat al-Dur al-Mansur (6/208).
Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hal ini membawakan firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. (Surah al-Nur, ayat 61).
Beliau mengatakan berdasarkan ayat di atas, sekiranya masuk ke dalam rumah yang didiami oleh manusia atau tidak, maka disunatkan untuk menuturkan, bismillah, memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memberi salam. (Lihat kitab al-Azkar, hlm. 49)
Maka itu, jika masuk ke dalam rumah yang kosong maka ucapkanlah:
"Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah al-Solihin"
Ini menghormati makhluk-makhluk Allah SWT selain daripada manusia yang berkemungkinan tinggal di tempat tersebut.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/06/vbw.html