Buruk Bab 1
Bab 1
KERINGAT terbit di dahinya. Ke kanan dan ke kiri dia menoleh. Matanya masih terpejam rapat. Suhu badannya pula naik mendadak. Keadaannya seperti meracau-racau.
Tidak semena-mena dia terjaga sambil menjerit, "Jangan!!!" Mendengar suaranya kuat, Mak Leha cepat-cepat melangkah laju menuju ke kamarnya. Segera pintu dibuka.
“Sofia!" Mak Leha segera mendakap anaknya. Sofia membalas pelukan. "Pia mimpi buruk lagi ke?” Soal Mak Leha.
“Ya mak.” Setiap malam Sofia sering diganggu mimpi. Dia kian dihambat ketakutan. Malamnya terigau-igau. Kadang dia bimbang hendak lelapkan mata. Bayangan mengerikan selalu datang.
“Kalau Pia berterusan macam ni, mak risau Pia.” Luah Mak Leha sambil mengusap ubun-ubun kepala Sofia. Sejak kebelakangan ini, Sofia selalu meracau. Dia tak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku kepada anaknya.
Sejak kematian suaminya tiga bulan lalu, keadaan Sofia banyak berubah. Sering menyendiri dan langsung tidak mahu berhubung dengan sesiapa.
“Saya takut mak, saya takut.” Sofia menangis. Dia sudah tidak tahan lagi dengan semua ini.
“Sabar Pia. Nanti mak tolong ikhtiar berubat.”
“Saya tak sakit mak. Saya tak sakit. Saya cuma susah nak tidur.” Katanya. Sofia ada beritahu ibunya bahawa dia selalu termimpikan seorang lelaki misteri berkelubung. Wajah lelaki itu tidak jelas.
“Mak faham.” Mak Leha menenteramkan Sofia agar jiwa anaknya itu tidak bergelora. Lagipun hari sudah jauh malam. Dia temankan anaknya di kamar.
***
AWAL pagi seorang kawan datang. Kehadiran itu hanya ingin melawat dan bertanya khabar. Sudah lama tidak bertemu Sofia. Namun kunjungannya hampa. Sofia tidak mahu keluar dari kamar.
“Mak cik dah pujuk dia tapi dia tak nak jumpa siapa-siapa.” Mak Leha harap Aisyah tidak berkecil hati.
“Tak apalah kalau macam tu mak cik, tolong sampaikan surat ni pada dia.” Aisyah sudah menjangkakan hal itu. Sudah banyak kali Aisyah hubungi melalui telefon tapi tak dapat. Sofia sengaja menutup telefon.
“Baiklah.” Mak Leha mengambil sepucuk surat itu dari tangan Aisyah.
Aisyah mengorak langkah keluar dari rumah. Ketika kakinya hendak mencapai sepatu, tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu yang melanggar bahunya. Dia pun menoleh ke dalam rumah. Hanya Mak Leha yang tercegat di belakang mengulum senyum tawar.
Perasaan aku sahaja kut, Aisyah cuba melupakan sahaja. Dia anggap itu cuma mainan perasaan. Dia mengorak langkah ke arah kereta yang diparkir.
“Dik.” Aisyah terdengar suara orang memanggilnya. Dia menoleh dan nampak seorang perempuan depan pintu pagar bertentangan dengan rumah Mak Leha. Jiran Sofia. Dia pun pergi mendekatinya.
“Ya kak ada apa?” Kerutan pada dahi Aisyah terbentuk sebaik sahaja memandang kelibat wanita yang memanggilnya itu.
“Adik ni kawan anak rumah tu ya?”
“Ya saya. Kenapa?” Soal Aisyah tapi wajah kakak tu nampak cuak.
"Dik... Akak ni bukan nak menyibuk, tapi akak rasa ada suatu yang tak kena." Beritahunya pada Aisyah dan membuatkan gadis itu berasa sedikit terkejut. Apa la yang tak kena tu agaknya? Dia bingung sendiri.
“Maksud akak?”
“Akak ni bukan nak buat cerita, tapi tengah malam tadi masa akak dan suami balik lewat, kami ternampak dia menari-nari depan pagar rumah dia tu kemudian akak dengar dia cakap sorang-sorang.” Aisyah ketap bibir mendengar apa yang kakak tu beritahu.
“Tak apalah kak, saya dah lambat ni.” Aisyah mengelak dari lama-lama berborak di situ. Banyak urusan lain yang dia nak kena selesaikan. Bukan dia tak risau, bukan dia tak mahu ambil peduli, tapi memang dia tengah bingung sekarang ni. Ditambah pulak dengan apa yang kakak ni kasi tahu. Semakin kurang sedap hatinya.
“Hati-hati, dik.” Pesan kakak tu. Aisyah rasa tak sedap hati tapi dia tak mahu memberatkan kepalanya mendengar cerita karut. Dia anggap Sofia cuma kemurungan setelah pemergian ayahnya tiga bulan lalu.
***
SURAT yang dititipkan Aisyah ada di atas meja solek. Dia bangun dari birai katil dan mengambilnya lalu kembali duduk. Sampul dibuka lalu dibaca isinya.
…Sofia, pertama sekali aku mohon maaf sekiranya selama ini aku ada berbuat salah. Sejujurnya aku sayangkan persahabatan kita, cuma setiap kali aku nak jumpa dengan kau, mesti kau mengelak.
Aku tak tahu apa yang dah berlaku kepada kau. Sahabat kita yang lain juga hairan, Zana, Yati dan Tikah bingung memikirkannya. Mereka datang cari kau, tapi kau tak nak jumpa mereka.
Kalau kau ada apa-apa masalah, tolonglah beritahu kami. Mana tahu kami boleh bantu. Kita kan sahabat selamanya.
Aisyah…
Tak mungkin kamu semua dapat bantu aku... Kerana aku sayangkan persahabatan kitalah maka aku tak mahu bertemu kalian... bisik hatinya sambil menitiskan air mata.
Pintu bilik diketuk. Mak Leha masuk bawa dulang berisi makanan di atasnya.
“Meh makan Pia.”
Sofia menyeka air matanya. Dia tak mahu ibunya melihat dia terus menangis.
“Saya tak ada selera nak makan mak.” Sofia tunduk. Wajahnya pucat lesu. Mak Leha pula melabuhkan punggung di sisi Sofia usai dulang diletakkan atas rak.
“Jangan macam tu Pia... Pia kena makan, kalau tak nanti perut masuk angin.” Mak Leha risau, Sofia kian susut tubuhnya. Mata pun dah cengkung.
“Mak,”
“Ya Pia.”
Sofia nak beritahu sesuatu kepada ibunya. Cuma dia bimbang ibunya bertambah risau.
“Malam tadi saya mimpi ada jiran kita mati.” Mak Leha terkejut mendengarnya.
“Mainan tidur tu Pia. Jangan dilayan sangat. Pia, mak nak bawa kamu pergi klinik. Badan kamu ni masih panas.”
“Saya tak sakit mak, berapa kali saya nak beritahu mak.”
“Yelah, tapi kamu mesti janji dengan mak yang kamu akan makan bubur tu.” Mak Leha pun bangun.
Tiba-tiba kedengaran siren ambulans. Mak Leha nak keluar meninjau. “Siapa pulak yang nak beranak ni?” Fikir Mak Leha. Sofia menurut langkah.
Terkejut Mak Leha, ramai orang berkumpul di hadapan rumah tu. Rata-rata adalah jiran tetangga rumah teres, namun ada juga yang kebetulan melalui kawasan tu, berhenti untuk tengok.
Oleh kerana rasa ingin tahu mula tebal, dia pergi dekat dan bertanya pada salah seorang jirannya.
“Apa yang berlaku Ros?”
“Senah kena tikam Leha. Suaminya pulak gantungkan diri.”
“Hah?? Anak-anak dia macam mana?” Mak Leha tersentak. Entah apalah nasib kedua anak mereka yang masih kecil? Berdetak kencang datuk Mak Leha.
“Mati kena tikam. Senah tadi hidup lagi, tak tahulah apa jadi, kritikal. Ada dalam ambulans tu.” Beritahu Ros. “Takutnya aku Leha.” Tokoknya lagi.
Ya Allah... Mak Leha urut dada. Berderau darahnya. Terasa jadi kecil kepalanya. Dia kembali semula ke rumah dan menarik tangan anaknya yang tercegat depan pintu.
“Masuk Pia.” Mak Leha tutup pintu rumah.
“Kenapa mak?”
“Keluarga Senah mati. Laki dia pulak bunuh diri. Dua orang anaknya pun dah mati kena tikam. Cuma Senah masih hidup lagi tapi keadaan kritikal.” Beritahu Mak Leha tak sedap hati.
Sofia berubah riak. Dahinya berkerut. Terbayang-bayang apa yang berlaku di dalam mimpinya malam tadi. Dia mimpi, dua kanak-kanak mati ditikam, si ibu turut ditikam demi menyelamatkan diri dari amukan si ayah.
Sofia cuba halang, tetapi malangnya lelaki tua berkelubung itu telah menyekat kemaraannya. Kemudian dia lihat tusukan singgah ke perut si ibu. Dia hanya nampak kelibat samar-samar. Lantas si ayah itu menggantungkan diri.
“Pia.” Sofia tersentak. Dia terimbas tadi. “Kenapa?” Soal Mak Leha sebab dia perhatikan Sofia termenung sejenak seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Mak Leha ingin tahu apa yang berada di dalam kepala anaknya tu. Namun Sofia enggan menyatakan hakikat sebenar-benarnya.
“Tak ada apa-apa mak.” Balasnya cuba berselindung dari pengetahuan ibunya. Kalau boleh dia nak menceritakan segala-galanya tetapi buat masa sekarang, belum tiba waktunya. Mungkin bila tiba masanya, keadaan akan berubah.
~Bersambung...
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://rashidsalim.blogspot.com/2020/07/buruk-bab-1.html