Bila Pbsnt Nak Habis Belajar
Sebut sahaja pasukan Terengganu, ia barangkali cukup untuk menggerunkan pihak lawan -- tapi di atas kertaslah.
Kenyataannya naib juara Piala Malaysia 2018 itu kini hanya di tangga ketujuh Liga Super dengan baki lima perlawanan.
Dimiliki sepenuhnya kerajaan negeri, skuad Terengganu atau kini dikenali sebagai TFC, antara pasukan yang boleh dikatakan berbelanja mewah setiap tahun.
Barisan pemainnya bukan calang-calang, baik tempatan mahupun import.
Setiap tahun juga, penyokong TFC disogokkan dengan kenyataan 'sasaran satu piala' daripada presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), yang bertukar setiap kali Pilihanraya Umum (PRU).
Isu terkini melibatkan perpindahan saat-saat akhir pemain import, Luis Gustavo Camilo, dari Brazil.
Dah hampir sebulan warganet berteka-teki. Akhirnya kenyataan PBSNT muncul hari ini. Terlewat 30 saat dari jendela perpindahan, katanyalah. Itu yang tak lepas daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Sebenarnya, keadaan ini pernah berlaku dalam Liga Perdana Inggeris melibatkan bekas juaranya, Leicester City, yang terlewat 14 saat ketika menandatangani Adrien Silva daripada Sporting Lisbon pada September 2017.
Yang menjadi perhatian penyokong TFC adalah aspek kelemahan pengurusan PBSNT dalam membuat keputusan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, mereka menegaskan ia adalah kes terpencil dan tiada siapa yang mahukan situasi itu berlaku.
Betul. Tiada siapa mahukan situasi itu berlaku tetapi penyokong TFC menjangkakan langkah berkesan yang lebih awal diambil PBSNT dengan mengambil kira profesionalisme yang diagung-agungkan persatuan itu.
PBSNT pernah memuat naik satu hantaran mengenai rombongan belajar ke Johor Bahru satu ketika dulu.
Mungkin masih belajar lagi beberapa tajuk.
Tapi bila PBSNT nak habis belajar sebab penyokong bola sepak di Malaysia ini mahukan kejayaan segera.
Belum lagi bercakap tentang layanan persatuan kepada pengamal media sukan di negeri ini -- jauh berbeza dengan pasukan profesional, Terengganu Cycling Team (TSG).
Patutlah satu pasukan itu sudah menang banyak perlumbaan di serata dunia tapi yang satu lagi, juara Piala Menteri Besar saja.
Oh, sasaran satu piala pun dah tercapailah ya? - Astro Arena
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/06/bila-pbsnt-nak-habis-belajar.html